Oleh SITI NUR ZAWANI MISCON
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan dari mana kerajaan mendapatkan wang untuk menampung perbelanjaan negara yang dibentangkan dalam Belanjawan 2021.
Beliau berkata, defisit kerajaan sahaja sudah mencecah RM85 bilion iaitu lebih besar dari bajet pembangunan sebanyak RM69 bilion.
Malah, ahli Parlimen Langkawi itu berkata, dua penyumbang utama kepada hasil kerajaan iaitu Petronas dan sektor pelancongan dalam negara juga sama sekali tidak menunjukkan prestasi yang baik ketika pandemik wabak Covid-19.
“Saya juga bukan seorang pakar kewangan, tetapi peruntukan besar bagi belanjawan kali ini sangat membingungkan.
“Nampaknya kerajaan terdesak memasukkan wang ke dalam saku semua orang tanpa mengira kaya atau miskin, yang mempunyai kerja dan tiada pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, Mahathir berkata, beliau menjangkakan kerajaan akan membuat pinjaman besar bagi menampung perbelanjaan sebanyak RM322.5 bilion yang diperuntukan dalam belanjawan tersebut.
Bagi tujuan tersebut katanya, hutang negara akan meningkat kepada RM1.3 trilion dan negara akan bankrap sekiranya kerajaan gagal melunaskan hutang terbabit.
Tambahnya lagi, belanjawan dibentangkan adalah Belanjawan untuk tahun 2021, namun sasaran untuk pemulihan ekonomi yang ditetapkan juga dilihat terlalu optimis.
Beliau juga berharap belanjawan itu dapat diperbaiki semula agar lebih realistik supaya semua ahli parlimen khususnya pembangkang dapat menyokong sepenuhnya Belanjawan 2021.
“Saya fikir banyak lagi perkara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan kos dan meningkatkan pendapatan. Barangkali Menteri Kewangan kita sudah mempertimbangkan kesemuanya.
“Namun hakikatnya ramai yang tidak senang dengan keadaan ini dan ia terbukti daripada maklum balas yang diberikan,” katanya lagi.
0 comments:
Catat Ulasan