Oleh
BEBERAPA hari sebelum Hari Raya Aidilfitri yang lalu, rakyat Malaysia
sekali lagi digemparkan dengan berita Department of Justice (DoJ),
Amerika Syarikat.
Beberapa watak baru telah dinamakan dalam laporan oleh badan
kehakiman Amerika Syarikat itu.
Antara watak yang telah menjadi
perbualan umum sebelum dan ketika Aidilfitri adalah isteri kepada MO1.
Adalah dilaporkan bahawa isteri MO1 ini telah diberikan hadiah seutas
rantai berlian berwarna merah jambu yang bernilai puluhan juta ringgit.
Rakyat Malaysia juga terkejut dengan laporan Mirander Kerr yang juga
mendapat barangan kemas bernilai lebih kurang US$8 juta.
Seminggu selepas itu, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan bahawa mereka
akan menjelajah ke seluruh pelusuk negara untuk memberikan penerangan
mengenai skandal rasuah global ini.
Kemudianya Ketua Pembangkang Wan
Azizah Wan Ismail turut mengumumkan bahawa satu himpunan ‘Sayang
Malaysia Hapuskan Kleptokrasi’ akan dianjurkan pada bulan September
sebagai pengakhiran jelajah ini.
Saya sebagai seorang yang pro kepada himpunan jalan raya, amat-amat
mengalu-alukan penganjuran himpunan jalan raya ini. Ini adalah penting
untuk kita semua menyatakan bantahan terhadap mereka yang telah terlibat
pada skandal rasuah terbesar ini.
Bagi saya, ini merupakan solidariti antara kita sesama rakyat untuk
menunjukkan penolakan kita terhadap sekumpulan pemimpin negara yang
mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.
Polisi
Namun, pada masa yang sama, saya merasakan bahawa adalah satu
kerugian yang besar jikalau jelajah ini hanya dijadikan satu pentas
mengulangi permasalahan dan rintihan salah guna kuasa MO1 dan
kuncu-kuncunya.
Umum sudah mengetahui akan skandal global 1MDB. Malah, masyarakat
dunia turut mengetahui tentang 1MDB. Tetapi, harus saya akui bahawa
bukan semua rakyat Malaysia yang dapat mengaitkan secara langsung akan
skandal rasuah ini dengan kehidupan harian mereka. Masih ada yang belum
memahami bagaimana skandal rasuah ini telah menjejaskan ekonomi negara
kita.
Tetapi, saya sebagai seorang pengundi muda yang akan mengundi pada
PRU14 nanti amat-amat berharap agar PH akan mula membentangkan
polisi-polisi dan langkah-langkah yang akan diambil oleh PH untuk
memulihkan ekonomi negara ini setelah atau jikalau mereka memerintah
nanti.
Saya merasakan, rakyat diluar sana juga harus diberikan taklimat dan
penerangan sebegini agar mereka akan mendapat pencerahan yang jelas
sebelum mereka ke kertas undi pada hari pengundian.
Pada 2013, rakyat boleh menbayangkan dengan jelas akan apa yang
ditawarkan oleh Pakatan Rakyat pada ketika itu melalui manifesto buku
jingga. Walaupun buku itu mungkin tidak dibaca oleh keseluruh rakyat
Malaysia, namun beberapa initipati dalam buku tersebut telah dihafal
oleh hampir kesemua rakyat Malaysia.
Contohnya, pemansuhan tol, penurunan harga minyak dan pendidikan
percuma. Namun, hari ini, kita masih belum mendengar dua atau tiga
langkah bagaimana kita menangani masalah ini. Adalah satu kerugian
jikalau kesempatan ini tidak diambil untuk memberitahu rakyat bagaimana
PH akan mengatasi masalah ini apabila mereka berkuasa nanti. Saya yakin,
rakyat kini mahu mendengar polisi dan solusi untuk Malaysia baru oleh
PH.
Solusi
Ini adalah peluang terbaik juga untuk PH menyakinkan pengundi akan
betapa seriusnya mereka mahu mentadbir negara ini dan sekaligus
menjatuhkan kleptrokasi dan salahguna kuasa.
Saya ingin mencadangkan agar PH memberikan fokus ke atas
polisi-polisi seperti pendidikan, ekonomi, pengawalan kos harga barang
harian, kesihatan dan juga sistem pilihan raya dan sistem urus tadbir.
Saya akui, menceritakan kepincangan sistem pilihan raya dan urus tadbir
akan sekali lagi menyukarkan atau akan menjadi topik yang tidak popular.
Tetapi, ini boleh dijadikan satu agenda jangkamasa panjang oleh PH.
Pendidikan, ekonomi, harga barangan harian dan isu kesihatan boleh
dijadikan teras utama polisi PH.
Jelajah ini harus dijadikan permulaan
kempen pilihan raya oleh PH kerana kita kini sedang memasuki pusingan
terakhir sebuah perlumbaan kerana pada 22 Jun 2018, Parlimen Malaysia
akan terbubar secara automatik, kalaupun Najib Razak tidak
membubarkannya.
Maka dengan hanya tinggal lebih kurang 12 bulan, peluang ini harus
digunapakai secara maksimum. Mood pilihan raya harus dihidupkan dengan
menunjukkan bahawa PH bukan hanya berkempen sebagai sebuah pakatan parti
politik pembangkang sahaja, tetapi kini sebagai sebuah pakatan yang
bersedia untuk menjadi mentadbir di Putrajaya.
Harapan
Akhir sekali, harapan adalah satu elemen yang paling penting untuk
diberikan kepada kesemua rakyat Malaysia, samada mereka adalah pengundi
ataupun bukan pengundi. Harapan hanya akan lahir melalui kepimpinan.
Saya yakin ramai yang berkaliber untuk menunjukkan kepimpinan ini.
Adalah bonus jikalau PH boleh menamakan pemimpin yang muda untuk
mengetuai barisan kepimpinan kerana majoriti pengundi pada PRU14
merupakan anak muda. PH harus menyelesaikan isu kepimpinan mereka
secepat mungkin agar pada jelajah nanti, rakyat bukan hanya akan
disajikan dengan polisi, tetapi juga akan mendapat harapan apabila
melihat kepimpinan yang benar-benar mahukan perubahan.
Dan jadikan lah Kuala Lumpur nanti sebagai satu pentas dimana anak
semua bangsa hadir untuk menunjukkan kasih sayang kepada negara yang
menolak rasuah dan mahukan Malaysia baru bukan hanya untuk kita, tetapi
untuk anak cucu kita pada hari esok.
0 comments:
Catat Ulasan