KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini memohon maaf
atas kesilapan dan kecuaian menghantar surat tunggakan kepada seorang
pembayar cukai yang turut diletakkan status sebagai sudah meninggal
dunia yang kemudian ditularkan.
LHDN dalam kenyataan hari ini mengakui berlaku kesilapan data borang dan kecuaian dalam menentukan status pembayar cukai.
“Melalui semakan lanjut yang dibuat, LHDN mendapati pembayar cukai
masih hidup dan dengan ini ingin memohon maaf kepada pembayar cukai
tersebut atas kesilapan yang berlaku,” demikian menurut kenyataan itu.
Agensi itu juga berkata surat permohonan maaf akan dihantar kepada
pembayar cukai tersebut dan tindakan bersesuaian akan diambil bagi
mengelakkan kesilapan seumpama daripada berulang.
Sebelum ini, tular mengenai seorang polis bantuan, Amran Mohamed, 45
terkejut selepas menerima surat daripada agensi berkenaan yang meminta
warisnya menjelaskan cukai tertunggak berjumlah RM1,728.50 selain
meletakkan statusnya sebagai sudah meninggal dunia.
Menurut LHDN ia sedang membuat semakan bagi menentukan sama ada
pembayar cukai itu masih mempunyai tunggakan seperti yang dinyatakan
dalam surat tersebut atau sebaliknya, dan akan mengemas kini data
pembayar cukai berkenaan dengan kedudukan cukai beliau selepas semakan
terperinci dilakukan.
Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa menurut Seksyen 74 dan Seksyen
106 Akta Cukai Pendapatan 1967, agensi berkenaan mempunyai kuasa untuk
membuat tuntutan baki cukai tertunggak kepada waris sah mana-mana
individu yang meninggal dunia (si mati).
“Sekiranya waris sah si mati tidak mempunyai kemampuan untuk membayar
tunggakan tersebut secara sekali gus, LHDN menasihatkan waris sah si
mati mengunjungi pejabat LHDN untuk perbincangan bayaran secara
ansuran,” katanya.
Kenyataan turut menjelaskan layanan cukai pendapatan bagi individu
yang sudah meninggal dunia adalah untuk pendapatan yang diterima
sehingga tarikh kematiannya dan akan dikenakan cukai atas pendapatan
individu berkenaan walaupun taksiran akan dibuat atas nama wakil sah.
“Sebagai contoh, dalam tahun 2015, A meninggal dunia pada 1.6.2015.
Oleh itu, pendapatan yang diterima mulai 1.1.2015 sehingga 31.05.2015
akan ditaksir sebagai pendapatan si mati A dalam tahun 2015 dan taksiran
akan dibuat atas nama wakil atau waris sah si mati A,” demikian menurut
kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu sebarang pendapatan yang diperoleh selepas
tarikh kematian tidak akan dianggap sebagai pendapatan si mati
sebaliknya dianggap pendapatan harta pusaka individu yang meninggal dan
ditaksir atas nama waris sah atau pentadbir harta pusaka.
Kadar cukai yang dikenakan ke atas waris sah atau pentadbir harta
pusaka adalah sama dengan kadar cukai yang dikenakan ke atas individu
dan mereka.
Sekiranya si mati mempunyai lebihan kredit, LHDN berkata waris sah
boleh menuntut bayaran balik dengan membawa beberapa dokumen antaranya
sijil kematian, salinan surat pentadbir harta pesaka dan surat akuan
sumpah jika pembayar cukai tidak mempunyai harta.
Bagi tunggakan cukai yang wujud apabila baki cukai gagal dibayar
dalam tahun semasa sehingga melangkau ke tahun taksiran berikutnya,
waris sah bertanggungjawab untuk menyelesaikan bayaran tunggakan itu.
Bagaimanapun sekiranya waris sah si mati tidak mampu untuk
menyelesaikan baki cukai tersebut, aturan bayaran boleh dilakukan secara
budi bicara.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan