Oleh Izmil Amri
SAHABAT saya, Mandeep Karpal, dijemput memantau pilihan raya umum
Myanmar pada penghujung 2015. Entah kenapa, sejak pulang dari Myanmar
itu, berminggu-minggu juga dia hanya bersembang tentang Myanmar dan Aung
San Suu Kyi. Macam tak ada benda lain dia nak sembang.
Saya yang langsung tidak celik politik Myanmar, terpaksalah membaca
supaya tidak kelihatan bodoh asyik hangguk tanpa memahami ekor kepala
dan biji butir sembang-sembang pemerhati politik antarabangsa seperti
Mandeep.
Dia hadiahkan saya sekeping magnet peti sejuk menampilkan bendera
parti Aung San Suu Kyi. Merah warnanya, dihiasi seekor burung merak
berwarna kuning keemasan.
Liga Demokrasi Kebangsaan (National League for Democracy, NLD) adalah
parti yang diasaskan Suu Kyi lewat September 1988 dengan ideologi
tengah-kiri; seperti juga DAP.
Ini selepas beliau terpaksa pulang dari England untuk menjaga ibunya
yang uzur. Takdir menentukan, Suu Kyi harus terjun menyertai politik di
tengah dahaga rakyatnya yang mahukan demokrasi. Mereka mahu anak kepada
Aung San, bapa Myanmar moden ini, memimpin mereka.
Suu Kyi dikenakan tahanan rumah pada Julai ‘89, hampir setahun
selepas NLD ditubuhkan. Ditawarkan kebebasan jika beliau meninggalkan
Myanmar dan tidak kembali lagi, beliau tidak mahu.
Beliau terus dikurung
selama 15 tahun sepanjang tempoh 21 tahun, terpisah dari anak dan
suami. Hanya berucap dari sebalik pagar.
Pun begitu, iradat rakyat tidak boleh ditahan-tahan. Demokrasi bukan
soal sosok pimpinan, tetapi keinginan untuk bebas, megecapi kemakmuran
dan keadilan.
NLD menang besar dengan memperolehi ‘super majority’ sebanyak 86%
kerusi, membolehkan calonnya dilantik menjadi presiden; manakala Suu Kyi
dilantik menjadi ‘State Counsellor’, kepala kerajaan de facto Myanmar.
Pertama kali dalam tempoh 54 tahun, seorang yang bukan anggota tentera
menjadi ketua kerajaan.
Dalam pilihanraya 2015, NLD menggunakan slogan rasmi ‘Time for
Change’. Masa untuk berubah.
Tidak jauh beza dengan slogan ‘Ubah’ yang
digunakan gabungan pembangkang pada pilihanraya umum 2013 di tanah air.
Namun kata Mandeep kepada saya, slogan yang lebih banyak kelihatan adalah ‘We Must Win’.
Kita mesti menang
“Mana-mana saja aku pergi, aku nampak slogan We Must Win.
“T-shirt yang aku beli pun tulis ‘we must win’. Bukan ‘time for change’,” kata Mandeep lagi, lebih kurang.
Bagi saya slogan itu melambangkan keterdesakan rakyat dan politik
Myanmar yang sudah puluhan tahun ditindas rejim tentera tanpa diberikan
hak memilih dalam erti kata yang sebenar. Pada pilihanraya tahun 1990
NLD menang 392 daripada 492 kerusi. Kerajaan junta enggan mengiktiraf
keputusan tersebut dan terus metadbir negara.
Myanmar pada 2015 tidak jauh beza pula dengan kita di Malaysia di
ambang pilihanraya umum ke 14, entah berapa bulan, atau minggu sahaja
lagi.
Keterdesakan Myanmar bererti ia tidak mempunyai pilihan kecuali untuk
bekerja sehingga ia menang. Bukan sekadar lawan kerana melawan, tetapi
lawan sampai menang. Bukan takat seronok melawan, tapi tak
menang-menang.
Ramai rakan taulan yang tersentap urat hatinya apabila menyaksikan
musuh di zaman Reformasi, Dr Mahathir Mohamad, dilantik mempengerusikan
gabungan Pakatan Harapan. Bukan saja tersentap, mereka turut menekan
brek dan bertawaquf daripada terus memberi harapan kepada Pakatan
Harapan, kerana terpaksa berketuakan Mahathir untuk menyelamatkan
negara.
Harapan dan Umno bagi mereka kini sama saja. Seperti pepsi dan
coca-cola. Bersatu adalah Umno dalam Pakatan Harapan kata mereka. DAP
pula kian perlahan kembali menjadi MCA dalam gabungan itu. Amanah,
seperti Gerakan dalam BN; tidak dipeduli dan tidak membawa banyak erti.
Lebih kurang begitulah kata mereka.
Kita boleh faham kekecewaan mereka; mangsa belantan, air gatal, gas
pemedih mata, dan sepatu keras anggota polis di musim demonstrasi hari
Sabtu. Tidak kurang juga yang marah, dan masih melihat bekas darah
Memali di hujung kuku Mahathir.
Namun apa yang jauh lebih besar daripada kekecewaan dan kemarahan itu
ialah hakikat bahawa negara berada di ambang pertembungan politik
paling penting dalam sejarah. Pertembungan bagi menuntut semula "Prang
Besar", nama asal Putrajaya.
Kita tidak ada pilihan. Pakatan Harapan mesti menang. Itu saja jalan
yang ada; jalan ke hadapan tanpa menoleh ke belakang kecuali untuk
mengambil iktibar dan mengusahakan sebuah Malaysia baru.
Kita mesti menang. Umno mesti tumbang.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan