Penolakan sebanyak 30 soalan 1MDB oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia merupakan 1 petanda bawah fungsi Parlimen Malaysia kian merosot kerana tidak dapat memberi maklumat atas kepentingan rakyat tentang urus tadbir kerajaan.
Parlimen Malaysia masih gagal meletakkan keterbukaan kepada wakil rakyat memeriksa dan menyemak ketelusan kerajaan dalam mengendalikan wang rakyat. Hal ini memberi defisit kepada peranan parlimen menyemak ketelusan kerajaan.
Hujah speaker menggunakan Peraturan Mesyuarat 23 dalam isu ini bersesuaian dengan kuasa yang diberikan. Tetapi, peraturan tersebut merupakan 1 kelemahan Parlimen Malaysia kerana meletakkan pelbagai syarat yang tidak mendorong semak dan imbang terhadap kerajaan.
Peraturan 23(1) mengariskan 13 kriteria isi-isi pertanyaan yang boleh ditanya oleh wakil rakyat yang memberi kelebihan kepada Menteri berbanding ahli Parlimen. Peraturan 23(2) jelas memberi justifikasi bahawa soalan yang membangkitkan sakit hati bermusuhan antara kaum tidak dibenarkan.
Malah, peraturan ini masih terikat dengan Akta Hasutan 1948. Isu 1MDB pula berkenaan urus tadbir negara dan tidak munasabah untuk ditolak kerana ia soal kepentingan rakyat.
Peraturan 23(4) juga memberi kebenaran kepada menteri untuk enggan menjawab pertanyaan diajukan kepada wakil rakyat dengan alasan ‘mempertahankan kepentingan orang ramai’. Justifikasi ini sebenarnya memberi kerugian buat negara apabila menteri diberikan keistimewaan untuk tidak menjawab pertanyaan wakil rakyat. Sedangkan Perkara 43(3) jelas mewajibkan jemaah menteri bertanggungjawab ke atas Parlimen iaitu menjawab segala pertanyaan dan perbahasan daripada wakil rakyat.
Peraturan Mesyuarat 23 Dewan Rakyat memperlihatkan betapa sukarnya wakil rakyat untuk menyemak ketelusan kerajaan di Dewan Rakyat. Perkara ini membuatkan jawapan menteri dan sikap mereka untuk memberi jawapan tepat dan telus tidak akan tercapai. Menteri lebih suka beretorik politik kedai kopi berbanding fakta yang jelas.
Walaupun Parlimen Malaysia kini mengalami beberapa pembaharuan seperti Minister Question Time (MQT) dan Kamar Khas tetapi ia masih tidak mencapai sebuah praktis demokrasi yang seimbang.
Ketiadaan seorang speaker Dewan Rakyat yang memberi komitmen untuk memartabatkan demokrasi berparlimen Malaysia merupakan sebuah kegagalan terbesar dalam usaha transformasi parlimen.
Sebenarnya, speaker Dewan Rakyat mempunyai peluang menerangkan keputusan menolak soalan berkaitan soalan 1MDB yang ditolak dalam Dewan Rakyat. Tetapi, beliau memilih untuk membuat sidang media menjawab segala persoalan yang dibangkitkan oleh ahli parlimen.
Sepanjang sidang media tersebut, wakil rakyat pembangkang menjadi sasaran utama. Speaker mendakwa pertanyaan yang ditolak mengandungi unsur ‘buah fikiran’ dan tuduhan. Sebagai seorang speaker, beliau perlu memberi peneraangan masuk ke Dewan Rakyat menjelaskan sendiri keputusan menolak soalan 1MDB berbanding membuat sidang media seolah-olah memperthankan kerajaan daripada menjawab isu 1MDB.
Bukankah tindakan tersebut bermotifkan ‘politik’?
Speaker Dewan Rakyat perlu bersikap ‘bebas’ daripada pengaruh mana-mana parti termasuk parti pemerintah. Itulah prinsip diamalkan di parlimen kelas pertama. Tetapi, amat aneh apabila melihat menteri yang menguruskan parlimen senada dengan speaker Dewan Rakyat dalam isu penolakan 30 soalan 1MDB.
Walhal menteri hanya menguruskan aturan mesyuarat Parlimen, bukan urusan pertanyaan.
Kebimbangan Pandikar Amin tentang soalan 1MDB menimbulkan prasangka buruk kepada kerajaan sepatutnya tidak timbul. Jika 19 soalan berkaitan 1MDB telah diterima, maka apakah soalan ini bakal menimbulkan prasangka buruk terhadap kerajaan di dalam Dewan Rakyat atau soalan ini hanya memberi kelebihan kepada kerajaan untuk menjelaskan 1MDB bukan lagi isu negara?
Pendedahan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat atas saman sivil 1MDB seharusnya dibahas dan disoal dalam Parlimen Malaysia, bukan di tanah asing British, Switzerland dan Singapura sekalipun kerana ia melibatkan transaksi dan hak pemilikan negara.
Speaker Dewan Rakyat sepatutnya menjadi penghubung kepada wakil rakyat untuk menyemak ketelusan kerajaan dengan lebih terperinci, bukan menjadi jurucakap kerajaan. Hakikatnya, Parlimen Malaysia masih dibawah Jabatan Perdana Menteri dan kedudukan ini bukti Parlimen Malaysia tidak ‘bebas’.
Transformasi Parlimen Malaysia masih tidak memuaskan dalam mendokong amalan semak dan imbang ke atas kerajaan walaupun berbaki 2 sidang sebelum PRU14.
Pindaan dan kajian semula peraturan mesyuarat Dewan Rakyat, khususnya Peraturan Mesyuarat 23 perlu disegarakan supaya wakil rakyat mendapat kuasa meneliti urus tadbir kerajaan, sama ada Barisan Nasional atau Pakatan Harapan jika dapat mentadbir kelak.
Pindaan ini juga menguatkan lagi imuniti wakil rakyat dalam soal kebebasan bersuara dan mengkritik dasar kerajaan di Parlimen.
0 comments:
Catat Ulasan