Oleh NURUL IZZAH ANWAR
Hari ini menyaksikan pelancaran fasa kedua MRT bagi jajaran Sungai
Buloh-Kajang (SBK). Warga kota pastinya teruja melihat pelaksanaan
projek tren sepanjang 53km ini, yang diharapkan mampu menjadi alternatif
kepada kesesakan lalu lintas dan benar-benar memberi manfaat kepada
rakyat.
Saya tekankan semula keperluan untuk mewujudkan jawatankuasa khas parlimen berkaitan pengangkutan awam.
Jawatankuasa ini harus melibatkan pembuat dasar dari pihak kerajaan
dan pembangkang serta ahli akademik dan pakar industri berkait
pengangkutan awam.
Pertama melibatkan kos keseluruhan pembinaan projek MRT. Projek mega
yang melibatkan tiga fasa ini akan merangkumi laluan rel sepanjang 150km
dan perdana menteri sudah umumkan peruntukan keseluruhan projek
berkenaan RM40 bilion.
Jika fasa pertama yang hanya sejauh 53km sudah menelan RM21 bilion
daripada bajet tersebut, tidakkah projek ini secara keseluruhannya
melepasi bajet asal (over budget)?
PKR pernah membangkitkan bahawa projek ini secara keseluruhannya akan menelan kos RM100 bilion tetapi dinafikan kerajaan.
Persoalannya kini, berapakah kos sebenar projek MRT seperti yang
dibentangkan dalam kertas kerja awal dan sekiranya ia 'melepasi bajet
asal' bagaimana kerajaan boleh memastikan bukan rakyat yang harus
tanggung bahana hutang dek perbelanjaan yang melangkaui jumlah bajet
awal?
Kedua, jajaran pertama MRT SBK ini ada persamaan dengan pembinaan MRT
Seoul Line 9 - dengan kewujudan laluan bawah tanah, bermakna kos
pembinaannya adalah lebih mahal berbanding laluan di permukaan darat.
Tetapi kenapa agaknya kos MRT SBK ini 2.5 kali ganda lebih mahal
berbanding MRT Seoul Line 9?
Adakah kerajaan sudah melakukan proses
bidaan yang teliti dan telus? Apakah aspek istimewa yang menyebabkan kos
pembinaan MRT SBK ini lebih mahal berbanding MRT Seoul Line 9?
Kekhuatiran saya jelas, jika kos pembinaan awal telah melebihi bajet
asal, apakah jaminan kos senggara tidak melebihi kos jangkaan, yang mana
di hujungnya bakal dikenakan kepada pengguna?
Jelaslah bahawa kos pembinaan projek MRT yang lebih mahal ini kelak
akan membebankan pengguna – sama ada menerusi kos tambang; atau subsidi
yang ditanggung kerajaan menggunakan dana rakyat.
Hal ini berlaku tatkala kerajaan bakal mengalihkan beban menanggung
kos pembinaan projek ini kepada rakyat, seperti mana beban yang
ditanggung pengguna lebuhraya tol ketika ini.
Rentetan sejarah menunjukkan kemelut kewangan yang sama oleh
Prasarana untuk perkhidmatan LRT, apabila tambang perkhidmatan berkenaan
boleh sahaja dinaikkan.
Pada Disember 2016, tambang LRT telah dinaikkan 100 peratus, dan ini
merupakan gambaran awal kepada penggunaan MRT,projek mega yang tersasar
dari bajet awal.
Jawatankuasa khas parlimen
Persoalan-persoalan inilah yang menjadi sebab kenapa saya mahukan
kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas parlimen mengenai pengangkutan
awam sebagai usaha memperkemas tatacara tadbir urus sistem pengangkutan
negara.
Ia membolehkan kami di kerusi pembangkang terlibat secara langsung
kepada operator dan pelaksana projek terlibat, dalam kes ini MRTCorp dan
Prasarana Malaysia atas nama parlimen. Tatacara sebegini sudah lama
dilaksanakan secara demokrasi di negara maju lain.
Atas nama ketelusan juga, saya menggesa MRTCorp dan Prasarana
menerbitkan laporan bulanan. Saya pasti laporan sedemikian wujud tetapi
untuk kegunaan dalaman sahaja. Jadi tidak sukar untuk menerbitkannya
kepada umum.
Kerajaan tidak wajar mengumumkan projek mega yang menggunakan dana
awam seperti manifesto politik. Alangkah indahnya jika keprihatinan
perdana menteri juga dizahirkan ketika rakyat terkandas di laluan LRT,
dan tambang yang terpaksa dinaikkan oleh pemaju dek kos senggara.
Luhur, tidaklah menjadi niat utama dalam mengkritik setiap dasar
kerajaan tanpa hala tuju. Tetapi projek ini adalah projek infrastruktur
paling mahal yang pernah kita bina dalam sejarah negara.
Malah jajaran pertama ini sahaja sudah menelan RM21 bilion. Bukankah
lebih baik kita teliti bersama setiap sen yang disalurkan agar
benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
NURUL IZZAH ANWAR anggota parlimen Lembah Pantai merangkap naib presiden dan pengarah pilihan raya PKR.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan