Oleh Abdul Muein Abadi
Musim Haji yang bakal tiba tidak
lama lagi direncatkan dengan laporan bahawa pemberontak Houthi yang
menguasai Yaman telah sekali lagi melancarkan serangan peluru berpandu
ke Mekah. Kenapa Houthi cuba hancurkan Mekah? Dari mana mereka
memperoleh peluru berpandu? Siapa yang membantu mereka? Apa penyelesaian
terbaik bagi mengakhiri perang saudara yang berlanjutan ini?
Serangan peluru berpandu kali ini adalah yang kedua dilancarkan oleh
Houthi di mana sebelum ini pada Oktober 2016 serangan yang sama dari
Scud jenis Burkan-1 ke Mekah pernah dilaporkan. Jika tahun lalu Houthi
menafikan dengan mengatakan bahawa mereka menyasarkan lapangan udara
Raja Abdul Aziz di Jeddah, kali ini mereka mengakui sasaran serangan
peluru berpandu mereka ialah Pangkalan tentera Udara Raja Fahad yang
sangat hampir dengan Masjidil Haram. Mujurlah, pada jarak 69 kilometer
dari Mekah ia telah dipintas oleh Arab Saudi di kawasan Al-Wasliya di
Taif. Kenapa mereka menyerang Mekah? Jawapannya kerana perang saudara
di Yaman yang sedang berlangsung.
Situasi terkini di Yaman
menyaksikan Perang Saudara antara Houthi di bawah pimpinan Abdul Malik
Badruddin Al-Houthi yang disokong Iran dengan Presiden AbdRabu Mansour
Hadi yang disokong Arab Saudi semakin meruncing. Dari segi teknikalnya,
Presiden AbdRabu Mansour Hadi yang disokong Saudi ialah pemerintah
Yaman yang sah kerana beliau menang besar dalam pilihan raya 2012
selepas Ali Abdullah Saleh berundur sewaktu peristiwa Arab Spring.
Meskipun seorang yang Sunni, beliau memperoleh sokongan besar
termasuklah daripada warga Syiah hinggakan peratus undian beliau
mengatasi jumlah pengundi Sunni yang sedia ramai di Yaman. Namun Houthi
menarik balik sokongan kepada beliau dan merampas kuasa pada awal 2015
apabila AbdRabu cuba bertindak mengurangkan subsidi petrol dan
mewujudkan desentralisasi kuasa yang dilihat bakal memiskinkan lagi
wilayah Saada Houthi di utara kerana akan wujud kemungkinan isu agihan
peruntukan kewangan yang tidak setara dari kerajaan pusat kelak.
Presiden AbduRabbu yang dipaksa meletak jawatan selepas ditahan
Pemberontak Houthi telah bekerjasama dengan Arab Saudi untuk menuntut
kembali kedudukan beliau sebagai Presiden Yaman yang sah. Disebabkan
Houthi mendapat sokongan kuat Tehran, maka AbdRabbu terpaksa mendapatkan
sokongan Arab Saudi. Lalu Arab Saudi di bawah Menteri Pertahanan Putera
Mohammad Bin Salman mengambil pendirian campur tangan ketenteraan
(Operasi 'Decisive Storm') di Yaman sejak Mac 2015. Sekutu Saudi
seperti UAE turut menjadi mangsa serangan Houthi apabila kapal
tenteranya dibedil di pelabuhan Mocha, Yaman. Lebih membebankan, Arab
Saudi kini ketiadaan sokongan Qatar akibat pemulauan yang dilaksanakan
Riyadh dan sekutunya.
Sebenarnya, perkembangan yang lebih bahaya
berlaku sekitar pertengahan Julai 2017 apabila Houthi menyatakan bahawa
mereka telah berjaya menembak peluru berpandu ke kemudahan minyak milik
Saudi di pelabuhan Laut Merah di Yanbu. Bahkan pihak Amerika Syarikat
mengesahkan dakwaan ini. Hal ini membimbangkan kerana jarak antara
Saada iaitu tempat di mana peluru berpandu tersebut dibedil Houthi di
Yaman dengan Yanbu adalah sejauh 900 kilometer. Hal ini bermakna sistem
persenjataan Houthi kini mampu untuk menyerang mana-mana tempat dalam
wilayah Arab Saudi – termasuklah dua kota suci umat Islam iaitu Mekah
dan Madinah.
Dari mana pemberontak Houthi memperoleh lambakan
peluru berpandu ini? Jawapannya dari Iran yang menyalurkan peluru dan
aset ini menerusi Pelabuhan Hodeiba di Barat Yaman. Kenapa Iran
membantu Houthi? Iran menyokong Houthi kerana kepentingan strategiknya
di Laut Merah dan Teluk Aden. Inilah sebabnya Iran telah menghantar
pelbagai bantuan kewangan dan persenjataan besar-besaran kepada Houthi
sejak 2004 lagi. Banyak kali bantuan persenjataan Iran disekat atau
dirampas oleh pihak berkuasa Yaman, bahkan sebelum dikuasai Houthi.
Disebabkan inilah Arab Saudi dan AbdRabu Mansour Hadi cuba untuk
mengetatkan akses pelabuhan ini yang dimanipulasi Iran-Houthi.
Langkah yang paling wajar bagi menamatkan perang ini adalah dengan
rundingan yakni menguatkuasakan kembali Resolusi PBB 2216 yang menuntut
puak pemberontak Houthi untuk mengembalikan senjata kepada kerajaan dan
kembali ke rundingan bersama AbdRabbu Mansour Hadi. Namun Houthi
ternyata berkeras untuk menguasai Yaman melalui langkah bersenjata dan
enggan menghadiri sebarang rundingan damai seperti pada April 2016.
Maka campur tangan ketenteraan Arab Saudi dan sekutunya – yang juga
berisiko ke atas nyawa orang awam – boleh difahami sebagai satu-satunya
pilihan bukan sahaja untuk menghentikan perang saudara di Yaman, tetapi
juga mencegah serangan Houthi ke atas wilayah Arab Saudi itu sendiri.
Akibatnya, nyawa orang awam di Mekah, Yaman, dan Arab Saudi terus
menjadi taruhan.
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan