Perdana Menteri belum dapat inspirasi tarikh PRU15

 


PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui masih belum mendapat ‘inspirasi’ berhubung penetapan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, sepanjang berada di New York, beliau hanya mendapat inspirasi bagi membangunkan kawasan hijau di ibu negara Kuala Lumpur ketika melawat Central Park, taman yang popular terletak di tengah-tengah bandar tersebut.

“Saya berjalan di sekitar Central Park dan kagum dengan bagaimana kawasan hijau seluas 832 ekar di tengah-tengah bandar raya ini dikekalkan dan dipulihara.

“Saya mendapat inspirasi bagaimana untuk memulihara kawasan hijau kita. Namun untuk pilihan raya, saya tidak mendapat apa-apa inspirasi,” lapor Bernama.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, sebarang keputusan mengenai tarikh pembubaran Parlimen bergantung kepada pertemuan dengan pemimpin tertinggi UMNO pada 30 September ini.

“Pada 30 hari bulan, petang ada mesyuarat Top 5 dan biro politik, malam ada MT (Majlis Tertinggi). Jadi kita tunggulah,” katanya.

Namun, beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, beliau belum mendapat sebarang makluman mengenai agenda mesyuarat MT UMNO.

“Saya pun tak tahu apa agenda MT dan sebagainya. Jadi malam tu lah kita akan bincang,” katanya.

Selepas menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke-77, Ismail Sabri akan meneruskan lawatan kerja ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Beliau akan bertemu Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan yang baru dilantik sebagai Presiden UAE pada Mei lalu. –UTUSAN

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan