SKANDAL 1Malaysian Development Berhad (1MDB) masih menjadi isu utama
pengundi yang melihat masalah kerugian dan hutang berbilion ringgit itu
memberi kesan kepada negara.
Pakatan Harapan (PH) turut mengambil peluang memberikan pencerahan
mengenai syarikat sarat hutang itu kepada masyarakat luar Lembah Klang
menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Rata-rata hadirin ceramah di Ipoh memberitahu The Malaysian Insight
mereka mendapat gambaran lebih jelas mengenai 1MDB selepas ceramah
perdana "Selamatkan Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi" di Medan Klebang
Restu, Ipoh semalam.
Acara kemuncak jelajah dijangka diadakan pada 14 Oktober ini di
Petaling Jaya yang bakal menghimpunkan pemimpin utama PH antaranya Dr
Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Habibah Khalid, 53, seorang suri rumah mengakui memahami isu 1MDB
selepas mendengar ceramah mantan perdana menteri itu lewat malam
semalam.
"Dia (Dr Mahathir) punya penjelasan pasal 1MDB boleh kami terima.
Pasal Najib dalam isu itu kami tak berapa nak faham sebelum ini. Dr
Mahathir turun kita dapat bayanganlah," katanya yang datang dari Tambun.
Dr Mahathir sebelum itu dalam ucapannya mendakwa Najib menubuhkan
1MDB untuk mendapatkan sumber kewangan bagi membeli kesetiaan orang
bawahan parti.
"Najib (Razak) tubuhkan 1MDB konon untuk bangunkan negara kita. Bukan
kerajaan yang pinjam duit kerana untuk pinjam ada limit yang kena
ditentukan di parlimen.
"Jadi Najib tak pinjam duit. Dia tubuh syarikat sebab syarikat boleh
pinjam banyak," kata Dr Mahathir yang mendakwa duit tersebut telah
dicuri.
Pembayaran hutang RM42 bilion itu juga kini terpaksa ditanggung rakyat, katanya lagi.
Beh Hooi Luan, 53, pula datang ke ceramah berkenaan semata-mata mahu
mendengar ucapan mantan perdana menteri dan mahu Malaysia diselamatkan
daripada masalah hutang.
"Saya datang sini (ceramah), kawan beritahu Dr Mahathir datang.
"Kita mahu tukar kerajaan sebab BN (Barisan Nasional) sudah lama. Isu
1MDB lagi, Dr Mahathir ada sebut tadi dalam ceramah. Negara juga sudah
banyak hutang," kata jurujual di sebuah pasar raya di Ipoh itu.
Bagi Nasaruddin M Soid, 46, kehadirannya adalah untuk mendengar
sendiri penjelasan mengenai 1MDB dan membandingkannya dengan maklumat
diperolehi daripada media massa.
"Saya datang untuk bandingkan apa yang dikatakan di dalam media
tradisional seperti TV3, Sinar Harian dan Berita Harian terhadap Dr
Mahathir.
"Dia (Dr Mahathir) perdana menteri kita dahulu begitu disanjung di
luar tetapi sekarang negara dimalukan dengan skandal 1MDB, nilai mata
wang kita jatuh dan negara memang dalam keadaan yang tenat.
Manakala, bagi anak muda seperti Jiwa Yogeswari, 27, yang berpendapat
isu 1MDB perlu dipanjangkan ke kawasan pedalaman kerana kekurangan
akses menerima maklumat sebenar.
"Saya rasa isu 1MDB kena beritahu di pedalaman. Orang kampung tak tahu. Orang pekan banyak tahu isu semasa.
"Bila Dr Mahathir cerita kisah 1MDB jadi sekurang-kurangnya ada pengetahuan dan dengar sendiri," katanya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan