3 lelaki ditahan, Pemuda PPBM dakwa kekecohan akibat sabotaj

SHAH ALAM: Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat mengesahkan 3 suspek ditahan bagi membantu siasatan keganasan dan kekecohan yang tercetus pada forum Nothing to Hide 2.0 anjuran Pemuda PPBM hari ini.

Beliau berkata, 2 daripada suspek itu ialah pelajar kolej swasta.

“Ekoran daripada kekecohan itu, 3 lelaki Melayu ditahan orang awam. Dua orang pakai baju T warna merah lambang Armada (Pemuda PPBM) umur 17 hingga 19 tahun,” katanya ketika ditemui di Dewan Raja Muda Musa di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, Shah Alam, petang tadi.

Beliau berkata, pihaknya akan memanggil penganjur forum itu kerana gagal memastikan keselamatan hadirin walaupun mereka diarah mengambil langkah keselamatan sewajarnya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Kami temui penganjur semalam dan satu daripada syarat dikemukakan kepada mereka ialah memastikan keselamatan semua orang.

“Tetapi, anda nampak apa yang berlaku. Kita akan panggil penganjur untuk bantu siasatan.”
Kekecohan tercetus sekitar 5.30 petang tadi ketika Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan hadirin mengenai tragedi Memali yang berlaku di Baling, Kedah pada September 1985, semasa beliau menjadi perdana menteri.

Sekumpulan peserta yang tidak berpuas hati dengan penjelasan beliau tiba-tiba membaling kasut dan disusuli suar, kerusi dan botol air ke arah pentas khas yang disediakan, di mana Dr Mahathir berdiri ketika itu.

Dewan Raja Muda Musa kemudiannya dipenuhi asap dan insiden tumbuk-menumbuk dikatakan berlaku ketika ahli PPBM meluru ke pentas untuk melindungi bekas perdana menteri berusia 92 tahun itu. Dr Mahathir tidak cedera.

Sementara itu, Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa wujud rancangan sistematik untuk mensabotaj forum itu yang menyebabkan kekecohan tercetus dengan suar berbau kimia dilontar ke arah Dr Mahathir.

“Dalam masa sejam setengah, tiada masalah walaupun pelbagai isu sensitif dibangkitkan.
“Malangnya wujud elemen sabotaj yang sistematik, kami rasa dan percaya ia ditujukan untuk sabotaj program dan mencederakan Tun. Jika dilihat selepas soalan seorang peserta itu, nampak botol, kasut, kerusi, suar dicampak ke arah Tun M, itu jelas,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata, 2 suar ditemui dan pelaku yang difahamkan pelajar, dilihat memakai baju T Pemuda PPBM, walaupun mereka bukan ahli parti itu.

“Kami temui 2 suar. Ini jelas dirancang. Siasatan awal polis mendapati walaupun mereka memakai t-shirt Armada, mereka bukan daripada sayap kami,” katanya selepas kejadian itu terpaksa dihentikan lebih awal daripada perancangan.

“Ketika melarikan diri, mereka menanggalkan t-shirt Armada. Kami juga diberitahu mereka mendapat baju itu secara percuma.

“Mereka adalah pelajar yang digunakan untuk mensabotaj. Kami harap polis akan siasat perkara ini. Kami akan buat laporan polis kerana ada bukti – baju, kasut, video dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, seorang individu cedera apabila sebuah kerusi dilontar ke arahnya, manakala pelaku yang ditahan kemudiannya membuat pengakuan dirakamkan.

Beliau bagaimanapun berkata, parti itu tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak kerana ia masih disiasat polis.

Syed Saddiq berkata, mereka akan terus menganjurkan forum dan dialog pada masa depan, walaupun berlaku kekecohan akibat perbuatan individu “tidak bertanggungjawab”.

“Kami tiada apa-apa untuk disembunyikan. Jika Tun (Mahathir) boleh, kami tidak akan berhenti,” katanya.

Forum itu dianjurkan untuk Dr Mahathir menjawab kritikan terhadapnya secara terbuka. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagaimanapun tidak memenuhi undangan untuk berdebat dan mengemukakan soalan kepada pengerusi Pakatan Harapan itu.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan