Ketua Wanita AMANAH, Dr Siti Mariah Mahmud, berkata kini masa yang sesuai untuk Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh bertindak sesuatu bagi menyelamatkan umat Islam Rohingya.
Katanya, seseorang yang rapat dengan Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin dunia Islam boleh mendesak ulama antarabangsa untuk bertidak.
"Mungkin dalam isu ini PAS melalui presidennya saja yang ada pengaruh ke atas kerajaan Malaysia.
"Tolong lakukan sesuatu. Hentikan pembunuhan beramai-ramai saudara kita di sana," katanya dalam kenyataan umum hari ini.
Anggota parlimen Kota Raja itu bagaimanapun mengingatkan kenyataannya itu adalah ikhlas dan dibuat atas dasar kemanusiaan.
"Jangan politikkan, rayuan ikhlas saya kepada PAS," katanya.
Untuk kesekian kalinya keganasan dilaporkan tercetus di Rakhine, Myanmar - sebuah negara ditadbir kerajaan majoriti beragama Buddha.
Memetik Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM), CNN melaporkan kira-kira 18,500 etnit Rohingya yang beragama Islam menjadi pelarian dalam tempoh seminggu.
Mereka mula meninggalkan rumah masing-masing sejak Jumaat lalu ketika pihak berkuasa menggiatkan "operasi pembersihan" yang tercetus selepas satu serangan bersenjata di sempadan Myanmar berlaku.
Didakwa dilakukan militan Rohingya, seramai 12 anggota keselamatan Myanmar maut dalam kejadian itu.
Pope ke Myanmar PM ke AS
Pada masa sama Naypyidaw tetap mempertahankan tindakan pasukan keselamatannya dan menolak sebarang campur tangan luar.
Sementara itu Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Putrajaya mesti bertindak tegas menyelamatkan etnik Rohingya Myanmar yang sedang dibunuh beramai-ramai.
"Sudah sampai masanya Malaysia mengadakan sidang khas parlimen untuk membahas isu pembunuhan kaum Rohingya," katanya.
Anggota parlimen Kuala Terengganu itu turut menceritakan bagaimana beliau serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan menghantar memorandum ke Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu tidak mendapat layanan sewajarnya.
"Sikap tidak menghormati rombongan kami dengan menghantar kakitangan bawahan menerima memo tersebut amat mendukacitakan," katanya.
Katanya kerajaan mesti memiliki rasa tanggungjawab atas apa yang berlaku di Rakhine pada hari ini kerana Malaysia menyokong kuat kemasukkan Myanmar ke dalam Asean.
"Kegagalan kerajaan membahas dan membuat pendirian rasmi yang tegas di parlimen tahun lepas telah menyebabkan pembunuhan lebih ganas dan meluas oleh pihak tentera Myanmar hari ini," katanya.
Menjelang hari raya korban esok, Raja Kamarul Bahrin berkata ada ramai umat Islam Rohingya - sama ada kecil, tua dan wanita - dikorbankan junta tentera Myanmar secara terancang.
"Apakah kita masih berdiam diri sementara Pope Francis dari Vactican mengumumkan akan ke Myanmar pada waktu terdekat ini?
"Sementara itu Datuk Seri Najib Razak pula sibuk dengan persiapan hendak ke AS berjumpa Presiden Donald Trump yang terkenal dengan sikap perkauman dan anti-Islamnya," kata Raja Kamarul Bahrin.
0 comments:
Catat Ulasan