PAS ikat dulu fatwa dengan enakmen syariah

Oleh Faiz Fadzil

 Kenyataan ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (Takiri) mencadangkan untuk satu akta digubal untuk memberi kuasa undang-undang kepada fatwa negeri agar dijadikan rujukan bagi ‘mengikat’ Mahkamah Sivil dalam isu berkaitan Islam adalah satu kenyataan yang tidak berpremiskan kepada prinsip keadilan sejagat (rules of natural justice) dan keluhuran Perlembagaan.

Fungsi mahkamah dalam memutuskan sesuatu kes adalah berpandukan kepada prinsip dan peruntukan undang-undang dan fakta sesuatu kes.

Mengikat mahkamah dengan fatwa akan menjejaskan proses keadilan dalam memutuskan sesuatu kes kerana mahkamah tidak boleh menilai sesuatu fakta dan keterangan secara mendalam dan menafsirkan prinsip dan undang-undang dengan betul kerana akta yang dicadangkan tersebut akan meletakkan fatwa sebagai asas rujukan keputusan sesuatu kes yang mengikat.

Maka, keadilan yang perlu dilihat dilaksanakan samaada dalam undang-undang sivil dan syariah akan gagal.

Cadangan akta ini juga akan menyekat kebebasan mahkamah dalam membuat keputusan sedangkan kebebasan mahkamah adalah intipati utama sistem keadilan dan kebebasan kehakiman.

Fatwa adalah bersifat nilai panduan (persuassive value) dan bukannya nilai mengikat (binding value).
Fungsi mufti berbeza dengan hakim. Mufti membuat fatwa berasaskan pertanyaan dan soalan.

Manakala hakim membuat keputusan setelah mendengar fakta dan panduan undang-undang.

Justeru, kedudukan undang-undang sedia ada bahawa fatwa adalah berfungsi sebagai panduan kepada mahkamah adalah selari dengan prinsip keadilan dan kebebasan kehakiman.
Tambahan lagi, fatwa berbeza mengikut negeri.

Contohnya dalam isu penamaan “bin Abdullah” yang berbeza antara Perlis dan fatwa kebangsaan.

Begitu juga isu kewajipan zakat pendapatan yang berbeza antara Perak dan fatwa negeri lain.

Fatwa juga dikeluarkan oleh Majlis Fatwa setiap negeri yang mana ia ditadbir di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan oleh itu, ia adalah berkaitan bidang kuasa negeri dan bukannya bidang kuasa persekutuan mengikut Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan.

Seharusnya sebagai penggubal undang-undang, Takiri mendapatkan nasihat undang-undang daripada pakar perundangan parti beliau sebelum membuat kenyataan yang membelakangkan keluhuran Perlembagaan dan prinsip keadilan.

Takiri sepatutnya terlebih dahulu mencadangkan kepada kerajaan PAS Kelantan supaya menggubal enakmen ‘mengikat’ mahkamah syariah di Kelantan dengan fatwa kerana tiada peruntukan dalam mana-mana Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri termasuk Kelantan yang mempunyai peruntukan bahawa fatwa mengikat mahkamah.

Kanun mencabar timbalan menteri besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah untuk menyahut seruan Takiri ini.

Kanun juga mencabar Takiri untuk mengemukan RUU persendirian melalui mana-mana ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengusulkan cadangan ini sekiranya kerajaan negeri Kelantan berdolak-dalik dalam isu ini.

Faiz Fadzil adalah Ahli Jawatankuasa Kanun Amanah Negara (Kanun), juga timbalan ketua Pemuda Parti Amanah Negara
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan