Oleh Ishak Sairozi
Ia pasti menjadi sejarah. Tidak kira berapa kali kemerdekaan negara
ini disambut oleh warganegaranya namun ia tetap akan mengukir sejarah
yang sangat bermakna kepada negara.
Malaysia merupakan satu negara yang unik di mana pelbagai kaum hidup
dalam suasana aman harmoni dan telah merdeka lebih daripada separuh
abad.
Negara ini, dari segi sejarah merdekanya merupakan kisah silam yang
indah tentang perjuangan pelbagai bangsa menuntut kemerdekaan negara.
Malaysia pada tahun ini akan menyambut kemerdekaannya yang ke-60. Di
sebalik 60 tahun kemerdekaan ini kita sewajarnya perlu mengambil iktibar
sejarah kemerdekaan negara ini.
Datuk nenek kita, adalah pejuang merdeka yang sebenar. Bekas-bekas
pemimpin kita adalah pahlawan kita. Toleransi dan penerimaan pada zaman
sebelum merdeka adalah ikhtibar yang harus kita renung dan muhasabahkan
hinggalah dewasa ini.
Kita hidup dalam lipatan memori sejarah perjuangan para perajurit
yang bermandi darah, berpeluh keringat, memerah kudrat demi
kesejahteraan masyarakat pada masa kini.
Justeru, merdeka dan sejarah tidak dapat dipisahkan.
Malangnya, kisah sejarah kemerdekaan hanyalah silibus yang diletakkan sedikit sahaja dalam sukatan pelajaran di sekolah.
Sejarah kemerdekaan hanyalah cerita kecil dalam buku teks sejarah, buku sivik dan kewarganegaraan, serta subjek kajian tempatan.
Kisah tentang kemerdekaan juga hanya diceritakan dalam Kem Biro Tata
Negara, Program Latihan Khidmat Negara dan pegawai yang dipilih
mengikuti program Pegawai Tadbir Diplomatik di mana hanya segelintir
yang mendapat input tentang sejarah merdeka.
Kisah merdeka hanya diceritakan kembali berulang kali ketika bulan 8 memasuki tarikhnya.
Kita tidak berminat untuk bercerita tentang kisah merdeka kita
sekiranya tiada keadaan mendesak yang menyuruh kita berbuat demikian.
Oleh sebab itulah, merdeka pada hari ini, hanyalah sebuah cerita lampau yang seakan tidak bermakna kepada masyarakat era baru.
Pada beberapa tahun kebelakangan ini, kita sebenarnya semakin kurang
semangat kemerdekaan dalam diri kita. Lihat sahaja di jalan raya pada
Ogos.
Kereta berjenama Malaysia banyak di jalan raya tidak kurang juga
jenama luar negara tetapi boleh dikira hanya beberapa sahaja yang
bersemangat patriotik melekatkan bendera di atasnya.
Bendera Malaysia, jalur gemilang tidak berkibar semegah dan sebanyak dahulu.
Bukan sahaja di jalan raya, bahkan organisasi-organisasi kecil dan
besar, di kampung ataupun di bandar, kebanyakannya tiada inisiatif
sendiri untuk mengibarkan jalur gemilang di bangunan mahupun premis
mereka.
Ini menunjukkan semangat merdeka kita sudah semakin pudar.
Menyemai kebanggaan pada bendera merupakan salah satu ciri penting dalam pembinaan negara.
Rakyat Malaysia seharusnya berbangga dengan bendera kebangsaan mereka
kerana ia merupakan lambang kemegahan dan patriotisme kepada negara
yang dapat membantu usaha ke arah mempromosikan dan mengukuhkan lagi
proses pembinaan negara dalam negara kita yang berbilang kaum, agama dan
budaya ini.
Bendera Jalur Gemilang yang melambangkan kesetiaan, kesatuan dan
patriorisme adalah penting untuk kita menanam semangat dan nilai-nilai
nasionalisme dan patriotisme ini dalam kalangan generasi muda.
Salah satu cara untuk menjadikan generasi muda kita patriotik dan
bersemangat nasionalisme adalah dengan mendidik mereka menghormati dan
mencintai bendera.
Menganjurkan kempen “Cintakan Bendera Kita” di sekolah, dalam
kalangan anak-anak muda mustahak bagi memberikan mereka kefahaman
tentang kepentingan bendera kebangsaan dan maksud di sebaliknya.
Dan ini tidak seharusnya diadakan hanya bersempena dengan sambutan hari kemerdekaan, malah sepanjang tahun.
Di samping semangat merdeka yang semakin pudar, kita juga sudah
semakin kurang semangat patriotik terhadap negara yang kita sayangi ini.
Di sebalik kisah hebat negara merangkul pelbagai kejayaan dan
pencapaian di mata dunia masih terdapat rakyat yang tidak cinta dan
sayangkan negara.
Banyak kisah penghinaan terhadap negara sendiri kini sedang kita
hadapi. Pelbagai isu yang menjejaskan perpaduan dan keamanan negara
menunjukkan sikap
tidak patriotik kita terhadap Malaysia.
Di pelbagai tempat di negara ini kita lihat masalah yang berkaitan
dengan sikap kita terhadap persekitaran dan masyarakat memperlihatkan
kita sudah tidak sayang akan negara ini.
Pembuangan sampah merata, vandalisme hinggalah ke kisah pengeboman
yang berlaku di tanah air sendiri adalah cerita yang menunjukkan kita
tidak sayang kepada Malaysia dan keamanan yang dimilikinya.
Kelantangan beberapa pengguna media sosial yang mengutuk Malaysia dan mencabar kedaulatannya turut dikesali.
Akaun palsu yang tumbuh bak cendawan digunakan untuk memburukkan lagi
institusi di Malaysia seperti PDRM, SPRM malah majlis Raja-Raja Melayu
juga tidak terlepas daripada dihina melalui media sosial.
Keterbukaan kita mengikis dan menghakis nilai murni dan cinta kita kepada raja dan negara – prinsip Rukun Negara ke-2.
Menjelang 60 tahun kemerdekaan negara. Kita seharusnya pergi lebih jauh ke hadapan menuju negara maju menjelang tahun wawasan.
Kita perlu sedar negara ini bangun dan terus berjaya kerana kisah lampaunya yang dipenuhi sejahtera pelbagai bangsa.
Perpaduan adalah tunjang utama kemerdekaan negara kita. Justeru,
masyarakat pada hari ini perlu bermuhasabah diri menilai tentang
penghayatan kemerdekaan yang ada dalam diri.
Setiap pihak haruslah bersatu padu mencambahkan lagi benih
kemerdekaan supaya sejarah semakin subur dihayati masyarakat pelbagai
kaum negara ini.
Hari ini, lagu Negaraku semakin kuat bergema di banyak majlis anjuran
kerajaan mahupun bukan kerajaan hasil keberkesanan kempen Negaraku yang
digerakkan kerajaan.
Lagu Negaraku adalah peniup semangat kepada rasa cintakan tanah air.
Dasawarsa yang mencabar ini juga menuntut kita untuk tidak lupakan
ideologi kebangsaan yang kita banggakan.
Seperti yang dilafaz dalam bacaan ikrar, kita ingin mencapai cita-cita Rukun Negara berdasarkan prinsipnya.
Justeru kita harus memberi keutamaan kepada Rukun Negara untuk terus
menjadi nadi yang menyatupadukan kita dalam semangat merdeka.
Keutamaan harus diberi kepada Rukun Negara sebagai tanda
nasionalisme. Pengetahuan tentang Rukun Negara harus dipertingkatkan
melalui institusi pendidikan dan media.
Rukun Negara harus dijadikan kayu ukur penggubalan dasar.
Marilah kita semua bersatu hati untuk berjanji akan menjadikan
merdeka tahun ini sebagai sambutan yang gemilang. Marilah kita sama-sama
kembali menghayati erti kemerdekaan 60 tahun yang kita kecapi.
Marilah kita sama-sama mengibar jalur gemilang kebanggaan kita di semua tempat yang ada.
Marilah kita menyebarkan cerita tentang sejarah merdeka kepada semua generasi muda dan bakal pewaris bangsa.
Marilah kita hakis nilai negatif masyarakat dalam usaha melahirkan masyarakat yang merdeka dan sejahtera.
Akhir kata, mari kita seluruh warganegara, ramai ramai menyambut hari merdeka. Merdeka!
Penulis ialah eksekutif di Yayasan 1Malaysia.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan