Kerja mengukuhkan Pakatan Harapan perlu dilakukan

Oleh Zin Mahmud 

 Seminggu selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum ke-14, pendaftaran gabungan parti itu diluluskan.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim sendiri menyampaikan sijil pendaftarannya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu majlis di pejabat PPBM. Kesemua pemimpin parti anggota turut hadir dalam majlis itu.

Peristiwa ini bermakna, kerana inilah kali pertama sejak 1974 iaitu ketika Barisan Nasional (BN) ditubuhkan, sebuah gabungan parti politik dapat didaftarkan. Semua usaha untuk menubuhkan gabungan parti selepas itu gagal dibuat hinggalah adanya PH ini.

Namun begitu, pemimpin dan aktivis PH umumnya tidak memberi perhatian kepada keadaan parti mereka. Ini kerana semuanya sibuk menumpukan perhatian terhadap penubuhan kerajaan baharu.

Sebagai parti yang tidak pernah mentadbir negara, tentulah PH menghadapi kerja-kerja yang besar untuk menggerakkan kerajaan. Ini termasuklah untuk mengisi jawatan-jawatan lantikan politik yang kosong ditinggalkan BN akibat perubahan kerajaan.

Daripada perbualan penulis dengan beberapa aktivis PH, adalah dapat dikesan kesukaran mereka untuk segera menyusun operasi sebagai parti yang memenangi pilihan raya umum. Antara sebabnya ialah kemenangan ini adalah mengejutkan.

Mereka aktif dalam usaha untuk mencapai kemenangan, tetapi rancangan bagi penubuhan kerajaan tidak diberi perhatian.

Sungguhpun begitu mereka juga mempunyai pemimpin-pemimpin yang mempunyai pengalaman lama dalam mentadbir. Paling utama adalah Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan bekas timbalan perdana menteri.

Parti mereka, PPBM terdiri daripada bekas ahli Umno yang sedikit sebanyak mempunyai pengalaman dala mkerajaan. Begitu juga dengan PKR yang sebahagiannya pernah menjadi ahli Umno.

Tetapi bagi pemimpin DAP dan Amanah, mereka tidak mempunyai pengalaman dalam kerajaan pusat. Apa yang ada ialah pengalaman mereka dalam kerajaan negeri sejak tahun 2008. Sedikit sebanyak ia dapat membantu.

Kepentingan aktivis parti untuk berada dalam jawatan kerajaan apabila menang adalah penting. Ia bukan saja jawatan tinggi iaitu di peringkat menteri tetapi juga keseluruhan jawatan politik termasuk setiausaha politik dan setiausaha akhbar.

Begitu juga dengan jawatan-jawatan dalam agensi-agensi kerajaan. Aktivis parti inilah yang akan dapat menterjemahkan aspirasi politik mereka ke dalam kerajaan. Setakat pemimpin mereka sebagai menteri adalah tidak mencukupi.

Sememanglah mereka boleh mengambil sesiapa saja di luar parti untuk mengisi jawatan-jawatan itu, tetapi ia tentulah tidak sama jika yang menyandang jawatan berkenaan adalah aktivis parti.

PH baru ditubuhkan iaitu pada 2015 sebagai menggantikan Pakatan Rakyat. Tetapi PH yang ada sekarang hanya terbentuk pada tahun 2017 dengan penyertaan PPBM beserta Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri.

Kekuatan PH pula bergantung pada parti-parti anggotanya yang bilangan keahlian mereka masih tidak boleh menandingi BN. Parti tertua ialah DAP tetapi politik mereka tidak berbentuk keahlian massa seperti MCA. Mereka tertumpu di bandar dan mengamalkan sistem perkaderan.

PKR yang ditubukan pada tahun 1999 sebagai Parti Keadilan Nasional juga tidak mempunyai keahlian yang menyeluruh di semua tempat di semenanjung. Malah pada awal penubuhannya, ia banyak bergantung pada aktivis PAS.

Amanah, ditubuhkan 3 tahun lalu yang terdiri daripada bekas anggota PAS tidak mempunyai keahlian sebesar parti lamanya. Apatah lagi PPBM ditubuhkan setahun lalu yang tidak dapat menarik cukup banyak ahli Umno sebelum pilihan raya itu.

Maka dapat dirasakan kelemahan jentera parti-parti PH ini dalam pilihan raya baru-baru ini. Untuk mencari calon pun suatu perkara sukar. Apatah lagi untuk mencari aktivis bagi menggerakkan kempen.

Paling penting ialah ejen pengundian, PACA. Dalam pilihan raya lalu, NGO seperti Invoke banyak membantu PH. Kemenangan PH adalah datangnya daripada rakyat tanpa jentera parti.

Jadi lepas urusan membentuk kerajaan ini reda, para aktivis PH wajar memikirkan usaha dan kerja mengukuhkan parti. Selain daripada setiap parti mengukuhkan jentera masing-masing, mereka juga perlu mengukuhkan hubungan antara parti anggota PH.

Pihak lawan pasti berusaha melemahkan PH, antaranya adalah dengan melaga-lagakan antara sesama anggotanya. Jika mereka mampu memecahkan PR dulu dengan melagakan PAS dan DAP, maka tidak menghairankanlah pihak lawan akan melakukan perkara sama terhadap PH. Umpamanya melagakan PKR dengan PPBM. Malah tanda-tanda gejala ini sudah kelihatan sebelum kerajaan baharu ditubuhkan lagi.

Tetapi untuk memperkukuhkan parti bukan perkara mudah. Kerja-kerja ini perlu segera dimulakan dan akan meliputi keseluruhan satu penggal ini, bagi menghadapi pilihan raya ke-15. Soal dana pasti menjadi perkara utama. Persoalan yang timbul adalah bagaimana untuk memperoleh dana bagi parti tetapi secara beretika.

Kerja-kerja pengurusan parti terletak pada setiausaha kerja atau jawatan yang sepadan dengannya. Setiap parti mempunyai struktur dan kaedah pentadbiran yang berbeza. Langkah asasnya ialah menambah ahli yang berkualiti.

Tetapi untuk rakyat menjadi ahli parti, ia pasti didorong dengan fahaman politik yang ereka dokong. Ia dikuatkan pula dengan kepemimpinan di semua peringkat. Budaya parti juga menjadi tarikan kepada orang ramai.

Fahaman politik pula perlu dibentuk melalui proses wacana berpanjangan. Kejelasan ideologi pula wajar diterangkan kepada ahli dan rakyat supaya perjuangan sesebuah politik itu mempunyai makna. Bukan sekadar masalah kehidupan seharian.

Apakah fahaman politik PPBM, PKR, DAP dan Amanah? Perkara ini perlu dijelaskan pada orang ramai.

Ia bukan semata-mata untuk melawan BN. Tentunya fahaman politik keempat-empat parti itu berbeza di antara satu sama lain. Tetapi mereka mempunyai fahaman politik teras yang membolehkan parti-parti itu bergabung dalam PH.

Maka PH sendiri mempunyai fahaman politik umum yang dapat diterima oleh kesemua parti anggotanya. Umpamanya urus tadbir baik dan kedaulatan undang-undang.

Mungkin parti politik ini perlu mempunyai badan pemikir masing-masing untuk berwacana tentang fahaman politik. Daripada mereka ini kelak akan muncul bakat baharu untuk dibekalkan oleh parti kepada kerajaan pimpinan mereka.

Antara jawatan penting dalam parti adalah Ketua Penerangan. Secara tradisi ketua penerangan menghubungi parti dengan rakyat. Kalau dulu, organ atau akhbar parti merupakan institusi penting dalam parti.

Pada masa sekarang, tentulah ia digantikan dengan media Internet. Melalui media parti, ia bukan saja sebagai penyalur maklumat, tetapi lebih penting ia merupakan tempat perbahasan dan penjelasan fikiran parti.

Penulis dan wartawan parti berperanan penting dalam hal ini. Mereka ini kelak yang turut akan menjadi setiausaha akhbar kepada menteri dari parti mereka.

Jadi usaha memperkukuhkan parti ini turut melibatkan pendidikan politik pada rakyat. Gerakan menguatkan PH dan parti-parti anggotanya jika dilakukan sepanjang 5 tahun ini akan meperkasakan PH menjelang pilihan raya umum ke-15 nanti.

Ketika itu barulah tidak menjadi masalah untuk mencari calon bertanding mewakili PH, serta aktivis berkempen.

Pemimpin baharu pula perlu sentiasa dicari dan dipupuk. Ketandusan pemimpin yang baik pasti menjejaskan negara. Besar mana sokongan rakyat sekalipun, tanpa pemimpin yang baik, ia hanyalah seperti menang sorak tetapi kampung tergadai.

Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan