KAJANG: Jalan Kelab di bandar Kajang lengang dan sunyi, sekali-sekala
kenderaan melaluinya, seolah-olah bertentangan dengan apa yang
dikatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.
Di sinilah letaknya sebuah restoran yang terkenal dengan sate, makanan yang kerap dikaitkan dengan Kajang.
Baru-baru ini, perdana menteri berkata jualan sate di Kajang
melambung susulan pembinaan projek Transit Aliran Massa (MRT) yang
melalui kawasan itu.
Tetapi semasa kunjungan FMT, udara selepas hujan dipenuhi dengan
bauan jalan raya yang basah dan aroma sate yang sedang dibakar di
Restoran Sate Hj Samuri, pakar sate yang kini mempunyai puluhan cawangan
di seluruh negara.
“Tidak ramai orang yang datang ke sini pada hari biasa, Isnin hingga
Jumaat. Tapi ramai pelanggan yang datang ke sini pada waktu malam,” kata
seorang pelayan restoran.
“Kami juga menerima ramai pelanggan pada hujung minggu terutama yang datang dengan keluarga.”
Tetapi, seorang lagi pekerja berkata restoran itu hanya sesak ketika
MRT menawarkan diskaun sebanyak 50%, selepas ia dilancarkan pertengahan
tahun ini. Diskaun tersebut berakhir pada 31 Ogos lalu.
Pekerja itu setuju yang bilangan pengunjung bertambah ramai selepas
MRT dilancarkan. Bagaimanapun, ia hanya berlaku ketika tempoh diskaun
50% MRT.
“Semasa minggu pertama MRT dilancarkan dan ada diskaun sehingga 50%
kepada pengguna, rata-rata yang datang adalah mereka yang turun di
stesen Stadium Kajang dan melintas untuk makan di restoran.”
Menurutnya, jualan sate meningkat dan memberangsangkan semasa hujung minggu dan juga pada hari bekerja.
“Ramai yang akan beratur di kaunter dan ada juga barisan yang
menunggu untuk giliran sehingga ke dalam restoran. Tingkat atas juga
penuh.
“Tapi setelah diskaun MRT tamat, jualan di restoran kembali kepada asal. Sama saja seperti sebelum MRT ada,” katanya.
Kedua-dua pekerja itu bersetuju bercakap dengan FMT dengan syarat nama mereka tidak disiarkan.
Sate Hj Samuri adalah rangkaian restoran dengan 20 cawangan di
seluruh negara, dengan lebih 500 pekerja, menawarkan pelbagai jenis
sate.
Rabu lalu, Najib berkata pembinaan projek mega MRT memberi kelebihan kepada rakyat.
“Saya diberitahu mereka yang menjual sate di Kajang pun penjualan sate melambung lebih tinggi kerana adanya laluan MRT.
“Malah ramai yang datang jumpa saya menyesal mereka tiada laluan MRT.
Mereka kata, bila MRT nak lalu di kawasan kami. Sebab mereka tahu kalau
ada MRT penghuni kawasan senang, kurang kesesakan jalan malah nilai
harta sama ada rumah, kondominium, semuanya bertambah lebih tinggi
nilainya,” kata Najib.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan