SELAMAT datang ke perhimpunan terbesar Parti Islam
Se-Malaysia (PAS), Fastaqim 2.0 yang akan diadakan pada hujung bulan
ini. Perhimpunan kali adalah atas dasar istiqamah perjuangan bagi
memartabatkan lagi dasar perjuangan Islam yang didukungi selama ini.
Anggaran ketibaan ahli PAS seluruh negara adalah 200,000 orang, akan
berkumpul di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, Terengganu.
Untuk makluman semua bahawa perhimpunan dalam jumlah kehadiran yang
ramai seperti itu boleh berlaku segala apa kemungkinan. Musim sekarang
ini adalah perubahan antara musim panas kepada musim tengkujuh yang
mungkin boleh terjadi bila-bila masa dari sekarang. Oleh yang demikian
berikut adalah berapa nasihat bagi menghadapi kedua-dua suasana
perubahan musim tersebut.
Strok Haba
Jika pada tengaharinya, panas melampau akan menjengah para peserta.
Cuaca panas terlampau boleh mengakibatkan seseorang individu itu kena
dehidrasi (dehydration) dan strok haba (heat stroke).
Langkah-langkah
proaktif perlu untuk mengelakkan terjadinya kejadian penyakit bawaan
haba (heat illness) seperti stress haba (heat stress) yang boleh
mengakibatkan berlakunya strok haba (heat stroke) jika dibiarkan.
Perlu diingatkan bahawa stress haba (heat stress) juga boleh berlaku
di dalam keadaan cuaca bukan panas, iaitu di suasana persekitaraan yang
mempunyai kadar kelembapan yang tinggi. Ini adalah kerana persekitaran
yang berkelembapan tinggi boleh menghalang penyejatan peluh berlaku
dengan sempurna. Terutamanya apabila seseorang itu berada dalam lautan
manusia. Haba panas setiap individu akan mempengaruhi persekitaran yang
sudah sedia panas.
Seseorang individu itu dikatakan mengalami penyakit bawaan haba (heat
illness) sekiranya memiliki tanda-tanda (signs) dan/gejala-gejala
(symptoms) seperti berikut:
(i) Merasa kepala huyung, pening kepala.
(ii) Mual (Nausea)
(iii) Kelihatan kelesuan yang jelas.
(iv) Badan berhenti mengeluarkan peluh.
(v) Kehilangan kebolehan daya dan kordinasi/kekalutan ataupun hilang keseimbangan badan yang jelas.
(vi) Kekeliruan.
(vii) Bertindak agresif ataupun menunjukkan perangai yang tidak rasional.
(viii) Tahap kesedaran berubah.
(ix) Jatuh pengsan.
(x) Warna kulit bertukar menjadi kelabu-keputihan.
Jika berlaku tanda-tanda di atas;
Dapatkan bantuan segera dari ahli yang mahir. Kor Medik Jabatan Amal
Maylaysia senantiasa bersedia dilokasi-lokasi penting sekitar tapak
FASTAQIM tersebut. Sila dapatkan bantuan dari mereka segera. Doktor dan
paramedik dari Kor Medik JAM akan merawat pantas.
sementara itu, langkah berikut wajar diikuti:
(i) Bawa keluar peserta daripada padang/ tempat berhimpun yang sesak dengan peserta lain.
(ii) Baringkan/rehatkan peserta terbabit di persekitaran yang nyaman.
(iii) Meninggikan kedua-dua kaki dan pinggul untuk melancarkan tekanan darah.
(iv) Melonggarkan/menanggalkan lebihan pakaian.
(v) Membasahkan kulit and pengipaskan badan.
(vi) Meletakkan ais di kawasan tengkok, celahan ketiak dan paha.
(vii) Memberikan air minuman sekiranya sedar.
Walau bagaimanapun, selepas mengambil langkah-langkah seperti di
atas, jika individu berkenaan masih kelihatan sakit, kekeliruan
(confusion), muntah-muntah (vomiting) atau menunjukkan perubahan pada
tahap kesedarannya (altered consciousness), bantuan perubatan haruslah
diperolehi dengan kadar segera.
Amat disarankan kepada semua peserta, sebelum terjadinya kejadian
penyakit bawaan haba (heat illness), ianya boleh dielakkan dengan
mengambil langkah-langkah pencegahan iaitu:
(i) Menghadkan aktiviti luar semasa cuaca panas terik atau menggunakan pelindung dari panas terik matahari.
(ii)
Mengelakkan melakukan aktiviti pada masa cuaca paling panas pada
sesuatu hari, pada kebiasaannya di antara jam 11 pagi - 3 petang.
(iii)
Memastikan badan sentiasa mendapat air yang secukupnya iaitu dengan
meminum air kosong sebelum, semasa dan selepas perhimpunan.
(iv) Disarankan untuk meminum:
~ 2 cawan air minuman (500ml) 2 jam sebelum berhimpun.
~
2-3 cawan air minuman (500-750ml) yang menyejukkan badan atau air
minuman sukan (sports drink) setiap jam semasa berhimpun, bagi aktiviti
yang berlangsung selama 60 minit atau lebih, dan masa 2 jam selepas
melakukan aktiviti.
(v) Pemakaian seharuslah berkebolehan untuk
menyejat peluh daripada kulit dengan baik, berwarna cerah, ringan dan
tidak ketat serta memberikan perlindungan daripada sinaran matahari.
Saya mengharapkan pihak urusetia FASTAQIM akan menyediakan tong-tong air sabil bagi minuman percuma para pengunjung.
Hujan dan Laut Bergelora
Kemungkinan di sebelah petang dan malamnya, hujan akan turun. Keadaan
ini akan merumitkan lagi pergerakan para pengunjung. Senantiasdalah
berada di bawah khemah-khemah yang disdiakan oleh pihak urusetia
FASTAQIM. Jika berlaku keadaan kecemasan, jangan mudah panik. Anda
dinasihatkan senantiasa mendengar arahan pelan tindakan kecemasan (jika
berlaku) dari masa ke semasa oleh Jabatan Amal Malaysia.
Perhimpunan kali ini adalah tepi pantai Tok Jembal. Tanah pasir
pesisir pantai Terengganu amat cantik. Sekali sekala terdetik untuk
mandi pantai dan bersenda gurau di dalam desiran air laut. Pun begitu,
adalah di nasihatkan kepada pengunjung yang tidak biasa dengan air
pantai dan mandi, supaya mendapat khidmat nasihat dari pasukan Marin
Jabatan Amal Malaysia yang senantiasa ada bagi menjaga keselamatan para
pengunjung.
Menurut laporan rasmi tahun lalu, Ketua Polis Terengganu Datuk
Jamshah Mustapa telah mengeluarkan kenyataan bahawa kesemua pantai dan
sungai di kawasan peranginan di Terengganu didapati tidak selamat untuk
aktiviti air terutama pada musim tengkujuh. Kenyataan itu di keluarkan
setelah beberapa kes kejadian lemas dicatatkan berlaku di musim
tengkujuh. Walaupun kenyataan itu dibuat pada tahun lalu, namun musim
tengkujuh bagi pantai timur sudah masuk musimnya sekarang. Sikap
berhati-hati amat penting.
Binatang Berbisa
Tapak FASTAQIM adalah kawasan bersemak di tepi pantai. Kemungkinan
binatang berbisa wujud di tapak tersebut samada ular, kala jengking,
lipan dan seumpamnya. Sebelum melagkah masuk, perhatikan tapak kaki
anda. Suhu persekitaran makin panas mengakibatkan binatang berbisa
seperti mula mencari tempat perlindungan. Ditambahi pula dengan
kehadiran para pengunjung yang mengganggu habitat kehidupan mereka
selama ini. Binatang berbisa ini mendatangkan bahaya kepada manusia.
Jika terpatuk oleh binatang berbisa, langkah segera berikut perlu
diambil (contoh yang diambil ini jika terkena sengatan ular):
1) Bertenang jangan panik. Dapatkan bantuan segera dari Kor Medik dan Penyelamat Jabatan Amal Malaysia atau panggil 999.
2) Hadkan pergerakan lengan atau kaki yang digigit, dan jangan banyak gerak agar racun binatang itu tidak menyebar.
3)
Lepaskan semua perhiasan yang berada di badan seperti, cincin, gelang,
kalung, dan sebaginya, sebelum terjadi pembengkakan. Ini kerana
kemungkinan reaksi pertama badan akan menjadi bengkak (eodema).
4)
Posisikan diri seboleh mungkin dan usahakan kawasan yang kena
gigit/patuk berada lebih rendah dari jantung. Boleh diletakkan belat
supaya anggota yang luka minima pergerakannya (Seperti rawatan patah
tulang).
5) Bersihkan luka, tapi jangan siram dengan air. Jangan sapu losyen atau ubat traditional.
6) Balut kawasan luka dipatuk dengan kain bersih dan kering.
7)
Jangan sesekali ikat ketat anggota yang dipatuk kerana ia boleh
menyebabkan darah tidak mengalir. Ini akan menyulitkan lagi rawatan.
8) Jangan menggunakan ais untuk menekan kawasan patukan binatang berbisa/ular.
9) Jangan memotong luka atau mencuba membuang racun dengan cara yang tidak patut seperti menyedut dengan mulut atau seumpamanya.
10) Jangan minum kafein ataupun alkohol bagi mengurangkan kesakitan.
11)
Jangan mencuba untuk menangkap binatang berbisa/ular itu, tetapi
cubalah untuk mengingat warna dan bentuknya sehingga anda dapat
menggambarkannya sehingga akan membantu dalam perawatan nantinya.
Kebakaran
Akhir sekali, Jika berlaku ancaman yang tidak diingini seperti
kebakaran atau seumpamanya, para peserta dikehendaki jangan sasau-minda
(panic). Patuhi arahan yang akan dikeluarkan oleh pihak penganjur dari
masa ke semasa. Jika para peserta panik dan berpusu-pusu lari keluar
dari tempat berhimpun, kemungkinan akan berlaku himpitan rempuhan
(stampede). Keadaan ini boleh membawa maut.
Semoga dengan nasihat ini memberi kekuatan moral kepada para peserta
bagi terus istiqomah dan berjuang memartabatkan syariah di bumi Malaysia
ini.
DR GHAZALI HASBULLAH
Penasihat Perubatan
Kor Medik Jabatan Amal Malaysia
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan