Oleh
Tanggal 27 Oktober ini genap 30 tahun Operasi Lalang.
Pada tarikh itu tiga dekad yang lalu, 106 orang ditahan tanpa bicara
manakala lesen penerbitan tiga buah akhbar ditarik balik.
Episod itu
kekal jadi peringatan tentang apa yang boleh berlaku sekiranya tidak ada
sistem semak dan imbang. Episod itu meninggalkan parut yang dalam pada
jiwa Malaysia.
Sebagai mengenang hari itu, The Malaysian Insight menemu
bual mereka yang terlibat — tahanan dan ahli keluarga, warden pusat
tahanan dan polis.
DALAM tempoh 12 bulan yang lalu, Dr Mahathir Mohamad terpaksa
menghadam beberapa soalan tidak nyaman yang disorongkan kepadanya
tentang tindakan beliau pada masa lampau terhadap seteru politiknya
dahulu yang kini menjadi sekutu.
Ada ketikanya jawapan beliau terdengar jujur. Ada ketikanya jawapan
itu terdengar begitu mempertahankan diri. Ada ketikanya pula bekas
perdana menteri itu terdengar seperti mahu masa silam itu tidak diungkit
lagi.
Tetapi penganalisis politik percaya ada banyak yang perlu dilakukan
oleh Dr Mahathir dan Pakatan Harapan (PH) yang kini dipimpinnya untuk
membuktikan kepada umum yang beliau dahulu bukanlah beliau yang
sekarang.
Menjelang peringatan ulang tahun ke-30 Operasi Lalang, atau Ops
Lalang, Jumaat ini, penganalisis berkata insiden tiga dekad lalu itu
harus jadi sempadan yang tidak harus ditempuh lagi sekiranya Dr Mahathir
berjaya memimpin pembangkang menang pilihan raya umum tidak lama lagi.
Lalang adalah nama kod yang diberikan kepada operasi polis itu yang
bermaksud pengacau yang mesti ditebas buang seperti lalang di kebun.
Pada 1987, polis melancarkan operasi besar-besaran menangkap 106
aktivis politik, hak sivil, pendidik dan pemimpin agama di bawah Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Sejumlah 40 orang — termasuk kebanyakan rakan-rakan Dr Mahathir dalam
PH — kemudiannya diperosok ke dalam penjara tanpa bicara untuk
sekurang-kurangnya dua tahun.
Banyak yang menghabiskan masa beberapa tahun dalam tahanan di Kamunting.
Penganalisis politik yang juga ahli sains politik, Profesor Dr
Mohamad Agus Yusof berkata 22 tahun Dr Mahathir di puncak kuasa penuh
dengan masa-masa pahit dan manis, tetapi Ops Lalang kekal jadi titik
hitam sepanjang tempoh pentadbirannya.
Katanya, Ops Lalang meninggalkan kesan yang besar kepada kebebasan
untuk berbincang, keberanian untuk memberikan pendapat berbeza dan
membantutkan percambahan pemikiran dalam masyarakat khasnya di
universiti-universiti.
"Titik hitam di sini adalah apabila kerajaan di bawah beliau mencabul
hak-hak politik dan sivil rakyat. Mencabul sistem kehakiman, alergik
kepada kritikan kepada sesiapa sahaja yang mengkritik awak, apabila awak
mula memberi tekanan kepada golongan yang tidak sehaluan. Itu
kesilapan-kesilapan politik beliau," kata Agus.
Selain penangkapan 106 orang awam itu, pihak berkuasa menarik balik
lesen tiga buah akhbar iaitu The Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan.
Dalam Kertas Putih menjelaskan penangkapan aktivis dan penutupan
akhbar tersebut, kerajaan berkata tindakan itu perlu bagi mengawal
ketegangan kaum yang dicetuskan oleh individu tertentu.
Ketegangan kaum itu muncul selepas keputusan Kementerian Pendidikan
melantik lebih kurang 100 penyelia bukan berbahasa Mandarin ke sekolah
jenis kebangsaan Cina. Langkah itu dibantah oleh wakil rakyat
pembangkang, pelajar dan pertubuhan pendidikan Cina.
Pada 11 Oktober, lebih kurang 2,000 penyokong Dong Jiao Zong, sebuah
persatuan guru-guru dan pemegang amanah sekolah Cina, berhimpun di Kuala
Lumpur menggesa tindakan pulau di sekolah-sekolah Cina.
Perhimpunan itu disertai oleh Timbalan Presiden MCA, Lee Kim Sai; pemimpin DAP, Lim Kit Siang dan pemimpin Gerakan.
Biarpun tindakan pulau itu dibatalkan, 57 buah sekolah meneruskan tindakan boikot.
Pemuda Umno kemudian bertindak balas dengan menganjurkan perhimpunan
yang disertai oleh hampir 10,000 orang di Stadium TPCA di Kampung Baru,
diketuai oleh Najib Razak yang ketika itu ketua Pemuda Umno.
Pengkritik bagaimanapun sejak sekian lama mendakwa Ops Lalang
sebenarnya lebih bermotifkan politik untuk menangani penentangan
terhadap kepimpinan Dr Mahathir.
Penganalisis politik Wong Chin Huat berkata biarpun tidak ada
wartawan yang ditangkap dalam operasi itu, penutupan tiga buah akhbar
meninggalkan bekas pada media sehingga ke hari ini.
"Ia berjaya menanam bibit ketakutan pada wartawan dan rakyat Malaysia amnya untuk menyekat diri sendiri," kata Wong.
Keluar daripada bayang-bayang
Agus berkata walaupun kesan Ops Lalang masih dapat dirasai tiga dekad
kemudian, Dr Mahathir masih ada peluang kedua untuk membetulkan
kesilapan lampau yang beliau buat.
"Dr Mahathir perlu menggunakan peluang kedua ini, jika PH menang,
untuk memperbetulkan kesilapan yang beliau buat masa dia perintah
dahulu," kata pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini.
Katanya, Dr Mahathir harus memimpin rakyat untuk "maju dari segi
politik ke peringkat yang lain" dan meninggalkan politik masa lalu yang
ditandai dengan budaya ketakutan.
"Kita kena letak negara kita setaraf dengan dunia antarabangsa di mana kita meraikan globalisasi, meraikan demokrasi," katanya.
Tambah Agus, melalui kepimpinannya Dr Mahathir harus menggalakkan
pandangan yang berbeza agar kesilapan dalam pentadbiran dapat
dibetulkan.
"Walaupun kerajaan buat salah, dan kita hendak pertahankan kesalahan
itu kerana kita anggap ini institusi yang perlu dijaga. Maka kita tidak
akan berkembanglah.
"Apabila institusi salah kita pertahankan. Jadi bagaimana kita mahu melangkah ke depan.
"Bagi saya kita perlu tegur perkara yang salah itu sebagai salah dan
angkat benda yang betul itu sebagai betul. Ini masyarakat yang perlu
kita bina," katanya.
Menurut Agus, pemimpin masa depan harus menerima yang masyarakat
Malaysia hari ini tidak lagi sama dengan masyarakat tiga dekad yang
lalu.
"Masyarakat sudah cerdik, mereka tahu bagaimana mahu menjaga negara.
Awak mungkin pensyarah, jurutera, tukang sapu tetapi semuanya sayangkan
negara.
"Jadi saya kira kalau kita mahu maju ke depan, mahu jaga keselamatan negara, tidak mahu perang, kita hormati hak sivil rakyat.
"Insya-Allah itu asas bagaimana kita harus bergerak ke depan," katanya
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan