Oleh Dr Awang Azman Awang Pawi
DR Hatta Ramli menang kerusi Parlimen Kuala Krai buat pertama kali
pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) atas tiket PAS. Beliau memperoleh
undi sebanyak 55%.
Pada PRU13 pula meskipun menang sekali lagi di kerusi tersebut,
jumlah undi dimenangi menurun sebanyak 4% sungguhpun lawannya pula
bukanlah nama nama besar dalam politik Kelantan.
Hatta mulai bertanding atas tiket PAS pada 1999 dan 2004 di Parlimen
Gombak. Namun pada kedua-dua PRU tersebut beliau tewas di tangan Umno.
Kerusi Parlimen Gombak ini kemudian berjaya diambil alih oleh Mohamed Azmin Ali pada PRU 2008 dan 2013.
Perpecahan dalaman PAS menyebabkan ramai golongan teknokrat dan
profesional memilih keluar parti dan seterusnya membentuk sebuah parti
baru dikenali sebagai Parti Amanah Negara (Amanah).
Selama ini, golongan ini banyak dilabel sebagai Erdogan dan
Anwarinas, merujuk pada mereka yang lebih mahukan kerjasama dengan PKR
dan DAP diteruskan.
Hakikat ini membawa kepada penubuhan parti baru itu pada September 2015.
Perpecahan PAS dan tertubuhnya Amanah menyebabkan Dr Hatta berdepan
laluan dan cabaran politik yang paling sukar di kawasan Parlimen Kuala
Krai.
Sebagai pengarah pilihan raya beliau tentu dapat membaca senario
politik di Kuala Krai yang masih lagi mempunyai budaya politik
tradisional. Dengan kata lain, pengundi tempatan masih berpegang pada
budaya lama seperti menyokong sepenuhnya arahan parti untuk mengundi
sesiapa sahaja calon PAS asalkan calon tersebut dilihat mesra rakyat.
Dan kini Hatta bukanlah lagi bertanding atas tiket PAS.
Sudah pasti masalah terbesar Amanah di Kuala Krai ialah kelemahan
jentera kempen. Selama ini Hatta menang kerana menggunakan jentera
kempen PAS yang lebih kuat, termasuk kempen dari rumah ke rumah.
Prasarana politik Amanah setakat ini belum lagi terserlah,
sekurang-kurangnya di Kuala Krai.
Apabila bertanding atas tiket Amanah, sentimen isu baiah dan lafaz
cerai taklik akan sentiasa dimainkan oleh jentera kempen di akar umbi.
Isu kekerapan di kawasan juga akan dijadikan bahan kempen politik.
Sudah tentu sentimen ini dimanfaatkan untuk menyekat parti Pakatan Harapan (PH)bertapak di Kuala Krai.
Di Kuala Krai, pengundi lebih menghargai isu-isu yang bersifat
personal touch dan berbesar hati apabila calon mereka boleh jadi imam,
sentiasa bersama rakyat ketika majlis kenduri-kendara dan mengadakan
pelbagai aktiviti penduduk setempat.
Apabila ada kematian bukan sahaja membantu mengimamkan solat jenayah,
tetapi turut mengusung jenazah hingga ke liang lahad dan kalau boleh
memandu sendiri kenderaan jenazah ke tanah perkuburan. Demikian antara
kriteria penduduk tempatan ketika ditanya kriteria calon pilihan mereka.
Pertandingan tiga penjuru
Pertandingan tiga penjuru kini tidak dapat dielakkan antara Amanah,
PAS dan Umno. Berdasarkan situasi di Kuala Krai, Hatta dijangka tidak
bertanding di Kuala Krai.
Beliau sebaliknya dijangka akan dihantar untuk bertanding di kawasan
bandaran yang lebih menyerlahkan peranannya sebagai ahli politik yang
memperjuangkan isu-isu nasional dan pandangan seumpama ini lebih sesuai
untuk kawasan pengundi bandaran atau kelas menengah Melayu dan kawasan
campuran dengan etnik Cina dan India.
Peranan Hatta dianggap aset penting kepada PH dan peranannya lebih
terserlah di kawasan bandaran. Buktinya, beliau dilantik sebagai salah
seorang timbalan pengerusi PH Wilayah Persekutuan.
Pelantikan ini merupakan satu isyarat kemungkinan besar beliau akan
bertanding di kawasan bandar di luar Kelantan. Selain itu, faktor
peluang Hatta untuk menang sangat tipis di Kuala Krai merupakan faktor
utama beliau akan bertanding di kawasan lain.
Berdasarkan situasi di parlimen Kuala Krai, pertandingan sebenar
Parlimen di Kuala Krai pada PRU akan datang lebih tunduk memihak kepada
persaingan antara PAS dan Umno.
Siapa calon PAS?
Pada masa kini ada beberapa calon berpotensi PAS yang sedang dikenal
pasti. Antaranya ialah Abdul Latif Abdul Rahman, yang kini Adun
Mengkebang dan juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krai.
Lulusan pengajian bahasa Arab dan al-Quran ini juga ketua Dewan
Pemuda PAS Negeri. Ada yang berpendapat sekiranya Abdul Latiff
meninggalkan DUN Mengkebang, peluang Umno menang lebih cerah kerana
selama ini beliau menjadi benteng terakhir untuk Umno bertapak di situ.
Bagi tujuan strategik lebih baik beliau memberi fokus pada DUN
Mengkebang dan tugas beliau kini sebagai timbalan speaker DUN Kelantan
memancarkan potensi dan masa depan politik beliau yang kelihatan lebih
cerah di peringkat negeri Kelantan.
Selain itu, nama ketua Penerangan Pemuda PAS negeri juga antara nama
yang berpotensi dicalonkan. Nazman Che Ibrahim merupakan lulusan ijazah
kejuruteraan mekanikal UTM dan dikenali sebagai aktivis di Kelantan,
kini menganggotai Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Nama peguam dari Kuala Krai, Hilmi Abdullah juga disebut-sebut
sebagai calon berpotensi. Beliau ialah AJK PAS Kuala Krai dan terlibat
dalam Penyelarasan Task Force Kuala Krai.
Populariti dan personaliti politik mereka sesuai dengan situasi di
Parlimen Kuala Krai. Cuma disebabkan Abdul Latif sudah dipilih menjadi
wakil rakyat Mengkebang, namanya sangat popular di kalangan rakyat.
Nama dua calon selebihnya popular kalangan ahli parti dan disegani
parti lawan. Ketiga-tiga calon ini sama-sama kuat kerja dalam parti.
Calon luar PAS
Ketika ini muncul juga nama dua calon PAS dari luar yang bermain di
bibir orang politik di Kuala Krai. Nama Tuan Ibrahim Tuan Man dan
Nasrudin Hasan Tantawi disebut-sebut.
Ura-ura nama Nasrudin ini sudah lama terdengar. Hujah akar umbi ialah
jika Hatta boleh dihantar dari Gombak ke Kuala Krai, mengapa tidak nama
calon luar tersebut? Lagipun kawasan Parlimen Kuala Krai ialah kawasan
selamat PAS sama seperti kawasan selamat Umno di Felda.
Namun sudah ada ura-ura juga terdapat bantahan daripada akar umbi dan meminta peluang diberikan peluang kepada calon tempatan.
Politik PAS sangat unik di Kelantan kerana di beberapa kawasan
tertentu terdapat kawasan Parlimen seperti di Kuala Krai, Kubang Krian
dan Pengkalan Chepa seolah-olah disediakan untuk calon luar yang popular
dan berjawatan untuk bertanding di Kelantan.
Berdasarkan sentimen semasa di Kuala Krai, PAS mendahului Umno.
Namun, PAS tidak boleh selesa dengan sentimen semasa yang berubah-ubah.
Hal ini kerana di Kuala Krai, Umno melalui kerajaan Barisan Nasional
telah membawa banyak pembangunan termasuk projek pembinaan Lebuh Raya
Kota Bharu-Kuala Krai, pembinaan Hospital Kuala Krai bernilai lebih
RM300 juta, pembaikan jalan raya dan pembinaan jalan raya berturap.
Malah projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang dijangka
siap dalam tempoh lima tahun turut dijangka membawa limpahan pembangunan
di Kuala Krai yang boleh menjadi pesona penarik undi buat Umno dalam
kalangan penyokong PAS di Kuala Krai
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan