Oleh Nina Farzuian Md Sharom
SHAH ALAM - Alasan Pas mahu menangguhkan pembentangan Rang
Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016
(RUU355) di Parlimen sehingga selepas PRU14 disifatkan tidak masuk akal.
Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata,
penangguhan tersebut hanya akan menimbulkan kekeliruan kepada semua
pihak berkaitan pembentangan RUU tersebut.
“Mengapa nak tangguh dan main tarik tali lagi? Apabila sudah dibentangkan ia juga perlu diberi penerangan dan penyelesaian.
“Alasan digunakan Pas yang mahu bertanding di 100 kawasan untuk
memastikan RUU355 diluluskan di Dewan Rakyat sama sekali tidak masuk
akal.
"Kalau memang itu alasannya, saya mahu cadangkan Pas bertanding di 222
kawasan kerana lagi mudah bagi mereka laksanakan RUU355 nanti,” katanya
kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed
membayangkan Pas berkemungkinan membawa RUU 355 ke Parlimen hanya
selepas PRU14.
Ini kerana katanya, Pas perlu mengambil kira beberapa aspek dalam isu RUU355 memandangkan PRU14 semakin dekat.
Mengulas lanjut mengenainya Abdullah Sani berkata, pembentangan pindaan
RUU355 sepatutnya disegerakan supaya penjelasan mengenainya dapat
dilakukan.
“Sekurang-kurangnya jika pembentangan diadakan di Parlimen pada sesi
Oktober ini, semua pihak akan lebih jelas mengenai pendirian dan
kaedah-kaedah yang diambil untuk memartabatkan undang-undang patuh
syariah ini,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam (Amanah), Khalid Samad pula
menyalahkan Umno kononnya parti itu yang memberi arahan kepada Pas
supaya menangguhkan pembentangan RUU itu.
“Kita kesian dengan Pas kerana terpaksa mengikut skrip ditetapkan oleh
Umno. Walaupun telah bersusah payah bawa RUU355 ini ke Parlimen, tapi
sekarang bila Umno kata jangan bawa, mereka terpaksa akur.
“Jika kita lihat sekarang, pembentangan RUU 355 setakat ini sudah tiga
kali ditangguhkan. Pembentangan itu juga tidak dibuka untuk dibahaskan,”
katanya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan