Oleh Rozhan Othman
Jumaat lalu, 2 peristiwa menarik berlaku.
Pertama ialah keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengekalkan
sabitan terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang didapati
bersalah kerana memberi ceramah tanpa tauliah di sebuah surau.
Kedua ialah ceramah sebelum solat Jumaat di surau Seksyen 2 Shah
Alam. Penceramah telah membaca sebuah buku, yang di antara lain,
menyebut mengenai peristiwa babi menangis.
Khalid didapati bersalah kerana memberi ceramah mengenai Palestin di
sebuah surau di Klang.
Kandungan ceramahnya tidak menjadi isu pertikaian
dalam kes ini. Tiada dakwaan bahawa Khalid menyatakan sesuatu yang
menyesatkan atau menyinggung sesiapa atau menghina mana-mana pihak.
Beliau disabitkan bersalah semata-mata kerana memberi ceramah tanpa
tauliah.
Oleh kerana ceramah tersebut diberikan di dalam surau, ia dianggap
ceramah agama dan Khalid didakwa di bawah Seksyen 119 (1) Enakmen
Pentadbiran Agama Islam (Selangor).
Sekiranya, Khalid memberi ceramah yang sama di tepi longkang atau di
kedai kopi beliau tidak akan dianggap melakukan kesalahan. Jika dia
memberi ceramah yang sama di gereja atau di kuil, dia juga tidak akan
dianggap melakukan kesalahan. Lebih mudah untuk Khalid memberi ceramah
mengenai Palestin di rumah ibadat agama lain daripada rumah ibadat
agamanya sendiri.
Dalam ceramah di surau Seksyen 2 Shah Alam pula, seorang berpakaian
jubah dan serban putih, kemungkinan besar bergelar ustaz, membaca kisah
dari sebuah buku. Ia mengenai seorang ulama bernama Abu Abdullah
Al-Andalusi. Menurut kisah yang dibaca penceramah ini, Abu Abdullah
ialah seorang ulama terkenal yang mempunyai seramai 12,000 orang murid.
Pada satu hari, Abu Abdullah jatuh hati pada seorang gadis bukan
Islam yang amat jelita. Lalu dia pun meminang gadis ini. Bapa gadis ini
meletakkan syarat jika Abu Abdullah ingin mengahwini anaknya, dia perlu
hidup mengembala babi. Mengikut kisah yang dibaca penceramah ini, Abu
Abdullah pun bersetuju dengan syarat ini dan hiduplah beliau sebagai
pengembala babi.
Anak murid Abu Abdullah menjadi resah dengan ketiadaannya. Pada satu
hari mereka pergi menemuinya. Apabila mereka tiba menemuinya, Abu
Abdullah berasa malu dan sedih lalu menangis. Menurut kisah yang dibaca
penceramah, murid-muridnya pun merasa sedih melihat Abu Abdullah
menangis dan turut menangis. Dan kemudian babi-babi yang berada bersama
mereka pun turut sedih dan menangis!
Seorang yang berfikiran rasional dan munasabah sudah tentu akan
merasa pelik dengan cerita ini. Apakah kisah Abu Abdullah ini kisah
benar atau dongengan? Bagaimanakah seorang ulama yang dikatakan hebat
dengan mudah tumpas pada kejelitaan seorang gadis? Bagaimanakah seorang
ulama yang dikatakan hebat sanggup meninggalkan murid-muridnya serta
amalan yang boleh mendekatkan dirinya pada Allah dan hidup sebagai
gembala babi? Apakah benar babi boleh menangis bila melihat manusia
menangis? Sungguh berempati babi-babi Abu Abdullah!
Namun, ceramah karut ini tidak pula menjadi satu kesalahan. Tiada
pula laporan bahawa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap
penceramah berkenaan. Imam yang memberi khutbah dan memimpin solat
Jumaat selepas ceramah ini pun tidak berkata apa-apa atau menegur
penceramah yang memberi ceramah karut ini.
Tauliah gagal jamin
Sebelum ini, seorang ustaz yang terkenal kerana ceramahnya yang suka
mencaci-cerca orang-orang lain juga dibiarkan sahaja dengan
tindak-tanduknya. Selepas beliau mengkritik seorang raja Melayu, barulah
tauliahnya ditarik balik. Kata-kata serta cemuhannya sebelum itu tidak
mengundang sebarang tindakan pihak berkuasa.
Ini menimbulkan persoalan, apakah sebenarnya tujuan peraturan wajib
memiliki tauliah untuk memberi ceramah agama? Adakah ia untuk memastikan
mereka yang berceramah benar-benar berilmu dan menyampaikan kebenaran?
Atau adakah ia untuk memastikan penceramah tidak mengkritik golongan
pemimpin?
Adakah ia bermakna seseorang yang bertauliah boleh memberi ceramah
yang mengapi-apikan permusuhan atau membawa kisah karut babi menangis
akan dibiarkan saja asalkan dia tidak mengkritik pemerintah dan bukan
dari pihak pembangkang?
Undang-undang digubal untuk memenuhi sesuatu hasrat. Namun,
undang-undang bukanlah suatu yang sempurna. Undang-undang yang baik
adalah adil dan dikuatkuasakan secara berhemah.
Namun, adakalanya ada undang-undang yang baik menjadi zalim bila
dikuatkuasa tanpa hemah dan hikmah atau dikuatkuasakan secara pilih
kasih.
Demikian juga, penguatkuasaan undang-undang secara jumud boleh menyebabkan kezaliman.
Kita semua sedia maklum bahawa Umar al-Khattab menggantung
penguatkuasaan hudud ke atas pencuri ketika berlaku kebuluran di
Madinah. Ini menunjukkan dalam Islam, menjamin keadilan adalah lebih
utama daripada penguatkuasaan undang-undang.
Adalah pelik bila penceramah kisah karut mengenai babi menangis tidak
dikenakan sebarang tindakan. Apabila mereka yang sepatutnya menegakkan
kebenaran dan keadilan membisu dalam keadaan sebegini, tidaklah hairan
kesesatan dan kepalsuan semakin merebak.
Dan tidaklah hairan jika satu hari nanti babi pun menangis melihat kesongsangan di kalangan umat Islam.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan