Saman, saman, saman... Jangan tak saman!

Oleh Shahbudin  Husin

Pas dilaporkan mahu menyaman Husam Musa berhubung dakwaannya bahawa parti itu menerima dana RM90 juta daripada Umno melalui transaksi akaun di Affin Bank Bhd.

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan dakwaan Husam itu sebagai fitnah jahat yang merupakan sambungan rantaian apa yang pernah didakwa oleh Sarawak Report sebelum ini.



"Pas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Husam sebagaimana kita ambil tindakan kepada Sarawak Report," kata Tuan Ibrahim lagi.

Dulu ketika Sarawak Report mula-mula menyiarkan dakwaan berkaitan dana RM90 yang diterima Pas itu, Tuan Ibrahim juga yang paling awal membuka mulut dengan menyifatkannya sebagai fitnah, tidak benar dan berniat jahat.

Kali ini, apabila Husam membuat dakwaan dalam ceramahnya di Kelantan beberapa hari lalu berkaitan penyaluran wang itu dilakukan melalui Affin Bank, sekali lagi Tuan Ibrahim juga yang mula-mula bersuara mengenainya.

Kenapa Tuan Ibrahim saja yang paling awal bersuara sedangkan Husam sudah membuat dakwaan itu sejak beberapa hari lalu dalam ceramah yang diadakannya di Kelantan, bahkan videonya juga mudah ditonton melalui internet?

Di mana Hadi Awang sendiri, Mohd Amar Nik Abdullah, Nasaruddin Tantawi atau Nik Abduh Nik Aziz dalam menafikan dakwaan yang dibuat Husam itu?

Dalam video tersebut, Husam bukan saja mendakwa duit RM90 juta itu disalurkan melalui Affin Bank, malah berjanji untuk mendedahkan lagi maklumat mengenainya menjelang pilihan raya umum akan datang.

"Jadi masa pilihanraya esok-esok  kita buat  tubiklah (keluarkan maklumat mengenai wang melalui Affin Bank itu) kalau dia (Pas) dengan Umno.

"Kalau dia tidak dengan Umno, Umno yang buat tubik (keluarkan maklumat itu)," kata Husam lagi.
Jika benar apa yang disebut Husam itu, bermakna bukan saja Penasihat Amanah Kelantan itu yang ada maklumat mengenai wang yang didakwa disalurkan kepada Pas melalui Affin Bank, malah ia juga berada dalam genggaman Umno.

Ini sudah bahaya beb...

Tiada lain, hanya satu cara saja untuk Pas membersihkan namanya sekarang ini iaitu segera menyaman Husam. Biar di mahkamah nanti Husam mendedahkan segala bukti-bukti berdasarkan apa yang pernah disebutnya itu.

Jika dapat menunjukkan bukti, maka di pihak yang benarlah Husam, manakala jika sebaliknya, bersihlah pula nama Pas.

Tetapi, ia mesti dimulakan dengan Pas terlebih dahulu menyaman Husam. Kalau tidak berani atau berlengah-lengah mengambil tindakan saman terhadap Husam, keyakinan ramai ialah mungkin benar Pas ada menerima wang daripada Najib atau Umno sebagaimana yang didakwa itu.

Seperti kes saman Pas terhadap Sarawak Report, setelah sekian lama iaitu sejak Ogos 2016 portal tersebut menyiarkan berita berkaitan dana RM90 juta itu,  notis tuntutan meminta maaf dan menarik balik artikel sebaliknya hanya dihantar kepada editornya, Claire Brown pada 13 Disember yang lalu.

Meskipun diberi tempoh seminggu untuk memberi respon dan Sarawak Report tidak mengendahkan notis tuntutan itu yang bermakna ia sedia berjumpa di mahkamah, malangnya sehingga menjelang pertengahan Februari 2017 sekarang ini,  masih juga tiada khabar berita mengenai saman tersebut.

Maka, di mana-mana orang mula bertanya, Pas mahu saman atau tidak sebenarnya?

Kenapa mengambil masa begitu lama dan bertangguh lagi sedangkan alasan sambutan Krismas di London yang dikatakan berlarutan sehingga pertengahan Januari yang menyebabkan urusan saman tertunda sebelum ini sudah pun lama berlalu?

Janganlah pula dalam mahu menyaman Husam ini, Pas mengambil masa yang begitu lama juga seperti mana yang dilakukannya kepada Sarawak Report itu.

Pas kali ini hanya ada satu pilihan terhadap Husam jika benar ia tidak pernah menerima wang RM90 juta itu. Saman, saman, saman dan jangan tak saman!

Jika tidak, seperti mana yang disebut Husam, kalau bukan beliau, Umno yang akan mendedahkannya menjelang pilihan raya nanti.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan