Oleh Timmy Say
Sejurus sehari selepas diasak bertubi-tubi di dalam satu sesi
pertemuan panas dengan anak muda minggu lalu di Petaling Jaya bersama
sahabat baru beliau Lim Kit Siang, Tun Dr Mahathir Mohamad mengadu di
blog.
Katanya anak-anak muda hari ini terlalu fokus kepada salah laku kerajaan BN yang lepas, terutamanya Ops Lalang di zaman beliau.
Tapi Dr Mahathir tidak sedar segala pertanyaan daripada anak muda di
forum tersebut adalah satu petanda kejayaan kempen sahabat-sahabat baru
beliau yang diketuai Kit Siang dan pembangkang selama ini yang
memburukkan dan menyalahkan beliau di atas segala masalah di dalam
negara selama berdekad lamanya sebelum ini.
Apa label yang tidak diletakkan pada beliau? Firaun, korup, pemimpin
yang mengayakan anaknya melalui nepotisme dan juga diktator. Semua ini
diulang-ulang seperti sejarah sehinggalah ia tersemat di dalam sanubari.
Malah pada 2012, Tony Pua pernah menggelar Dr Mahathir sebagai nyanyuk.
Sebenarnya, anak-anak muda ini hanya dahagakan jawapan-jawapan yang
mudah. Antara soalan panas yang ingin diketahui ialah apakah betul Datuk
Seri Anwar Ibrahim ini peliwat atau Dr Mahathir yang memfitnah beliau?
Sehingga kini perkara ini belum terjawab.
Mengapakah Dr Mahathir sanggup menggunakan ISA (Operasi Lalang)
terhadap para ahli politik pembangkang di zamannya? Apakah Dr Mahathir
akan mengaku beliau tersilap dan memohon maaf? Tapi Dr Mahathir sekadar
menyatakan beliau dinasihatkan oleh pihak polis untuk menggunakan ISA,
sedangkan beliau adalah menteri dalam negeri ketika itu.
Jawapan-jawapan sedemikian diberikan Dr Mahathir menyebabkan
anak-anak muda terasa kecewa seolah-olah intelek mereka sedang
dipermainkan.
Di forum tersebut, bukan sahaja Dr Mahathir yang terasa panas, Kit
Siang juga terasa hangatnya sehingga beliau terpaksa menyeru anak muda
untuk melihat ke depan setelah diasak mengenai soalan-soalan mengenai
salah laku sahabat beliau, Dr Mahathir di zaman pemerintahannya.
“Masa depan lebih penting daripada peristiwa dahulu,” tegasnya,
sambil menegaskan perkara paling penting hari ini ialah “menyingkir
Perdana Menteri Datuk Seri Najb Razak dan membina semula negara”.
Kerenah Kit Siang yang cuba mempertahankan Dr Mahathir yang
diburuk-burukkannya menyebabkan beliau kini digelar sebagai seorang
politikus oportunis.
Dua hari selepas forum itu berakhir, ahli DAP Dr Aziz Bari
menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan DAP dan PPBM, apabila
beliau tampil membelasah Dr Mahathir.
Seperti pandangan anak-anak muda, Aziz bertegas adalah salah Dr
Mahathir untuk terus menegaskan beliau bertindak atas nasihat polis
berkenaan tangkapan besar-besaran di bawah ISA pada 1987 dan kes liwat
Anwar.
Aziz turut mengingatkan pembangkang terdapat garis yang membezakan
“untuk menjadi bodoh” atau “oportunis” di dalam persahabatan mereka
dengan Dr Mahathir.
Melihat kerenah dan u-turn yang terpaksa dilakukan Kit Siang demi
mengekalkan persahabatan dengan Dr Mahathir, penulis terfikir mengapa
Kit Siang tidak mahu menyahut cabarannya kepada anak muda sendiri untuk
memandang ke depan dan terus berkawan dengan Najib terlebih dahulu.
Bayangkan, sekiranya beliau dapat bersahabat dengan Dr Mahathir
ketika masih berkuasa, sudah tentu segala apa yang dialaminya bersama Dr
Mahathir hari ini tidak perlu dilaluinya. Bahkan, negara sudahpun dapat
diselamatkan dan tidak akan berisiko menjadi negara gagal.
Daripada menghabiskan masa cuba menggulingkan kerajaan menggunakan Dr
Mahathir, mungkin lebih elok bagi Kit Siang pandang ke depan untuk cuba
bersahabat dengan Najib.
Kit Siang tidak perlu tunggu kerana kemungkinan besar Najib akan
menjadi sahabatnya satu hari nanti apabila beliau kehilangan kuasa
adalah sangat tinggi. Tapi apa gunanya bersahabat dengan Najib ketika
itu? Bukan ia sekadar akan mengundang episod yang sama seperti
persahabatan dengan Dr Mahathir?
Lebih elok Kit Siang berkawan dengan Najib sekarang.
Sekurang-kurangnya boleh terus membantu mentadbir negara daripada terus
menjadi pembangkang. Usah risau pasal isu 1MDB kerana masa akan
menyebabkan isu 1MDB pudar seperti isu Operasi Lalang dan skandal forex
yang tidak lagi menjadi isu penting bagi Kit Siang.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan