Azmin cuba batal saman Puncak Niaga RM14 bilion

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini berkata beliau akan memfailkan permohonan untuk membatalkan tuntutan saman sebanyak RM14 bilion oleh Puncak Niaga Holdings Bhd terhadapnya.

Beliau berkata tuntutan saman itu disifatkan tidak berasas dan berniat jahat.

“Saya telah pun berikan arahan kepada peguam yang mewakili saya dan kerajaan negeri untuk ambil tindakan sewajarnya hari ini.

“Tindakan seterusnya akan saya serahkan pada peguam. Apa-apa kita akan selesaikan di dalam mahkamah.

“Ini untuk menjaga kepentingan negeri,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Smart Desa Selangor di Shah Alam Conventiom Centre (SACC).

Pada 22 November lalu, Puncak Niaga memfailkan tuntutan saman sebanyak RM14 bilion ke atas Azmin, bekas menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kerajaan negeri berhubung pengambilalihan industri air negeri itu.

Akhbar The Edge melaporkan Puncak Niaga mendakwa Azmin dan Khalid menyalahgunakan kuasa mereka dengan mengancam untuk memaksa kerajaan persekutuan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air untuk pengambilalihan itu.
azmin
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali berucap ketika di Majlis Pelancaran Smart Desa Selangor di Shah Alam Conventiom Centre (SACC).

Dalam satu kenyataan dengan Bursa Malaysia, Puncak Niaga mendakwa kerajaan Selangor “bertanggungjawab terhadap perbuatan Khalid dan Azmin”.

Pengurusan kes itu ditetapkan hari ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Puncak Niaga menuntut ganti rugi, faedah ganti rugi dan perbezaan kos antara penilaian Puncak Niaga dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) pada RM2.08 bilion hingga RM2.35 bilion dan pertimbangan pembelian sebenar pada RM1.55 bilion di bawah perjanjian pembelian saham bertarikh 11 November 2014 antara Puncak Niaga dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

Ia juga menuntut kehilangan peluang perniagaan di dalam dan di luar negara berjumlah RM13.5 bilion.

Selangor dan Putrajaya menandatangani memorandum persefahaman pada 2014 yang menyaksikan negeri itu mengambil alih 4 syarikat konsesi air yang beroperasi.

Di bawah penstrukturan semula air Selangor, kerajaan negeri mengambil alih aset air yang dimiliki oleh Puncak Niaga, Syabas dan Konsortium Abass bernilai lebih RM6 bilion.

Penyatuan aset air masih berterusan kerana pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) masih belum selesai.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan