Oleh Mustapha Sakmud
Kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak yang menyatakan kenaikan barang tiada kaitan dengan pihak kerajaan yang memerintah adalah kenyataan simplistik yang cuba mengelirukan rakyat.
Sebagai pemegang ijazah doktor falsafah dalam bidang sains pprotest
sabaholitik beliau sepatutnya memahami bahawa Kerajaan yang baik adalah
yang memberi manfaat dan menjaga kebajikan rakyat.
Dalam konteks demokrasi, pertukaran kerajaan adalah proses biasa
untuk memilih sebuah parti atau gabungan parti untuk diberi amanah dan
tanggungjawab menjaga rakyat.
Para pemimpinnya perlu berkhidmat untuk menjadi fasilitator untuk mencari solusi penyelesaian masalah yang dihadapi oleh rakyat.
Memang harga barang akan terus meningkat tetapi adalah menjadi tugas
pihak kerajaan dan kementerian yang bertanggungjawab untuk menstabilkan
harga barang agar rakyat tidak terbeban.
Kerajaan yang memerintah perlu menggubal polisi yang menyokong
pertumbuhan ekonomi dan menjana pendapatan rakyat. Struktur gaji rakyat
perlu di kaji semula agar dapat menampung kenaikan harga barang.
Pelbagai insentif perlu diperkenalkan untuk membantu meringankan
bebanan hidup rakyat. Itulah sebabnya dalam belanjawan alternatif
Pakatan Harapan 2018 menggariskan beberapa langkah berani polisi fiskal
untuk membantu meringankan beban rakyat.
Antaranya penghapusan GST, mengurangkan ketirisan dan perbelanjaan
bertindih, memperkenalkan gaji minimum, pendidikan percuma universiti
awam, menstruktur semula pembayaran hutang PTPTN, memperkenalkan semula
subsidi minyak untuk golongan berpendapatan rendah dan beberapa insentif
lain yang berpaksikan belanjawan kerajaan negeri Selangor dan Pulau
Pinang.
Rekod terbaik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menteri kewangan
seharusnya dijadikan contoh teladan di mana beliau berjaya mengekang
kenaikan harga minyak yang memberi kesan secara langsung dan tidak
langsung ke atas barangan lain dan kos sara hidup.
Kenyataan
bahawa isu toleransi kaum dan agama yang tiada kaitan dengan penukaran
sesebuah kerajaan juga adalah juga kenyataan dangkal yang mencerminkan
budaya mengampu yang mengakar dan meresapi pimpinan.
Sebagai orang Sabah dan Kota Belud yang begitu terkenal dengan sikap
muhibbah dan toleransi yang tinggi, beliau sepatutnya tidak lupa dan
sengaja membelakangkan budaya Sabah yang sudah berakar umbi sekian lama,
malah jauh lebih awal daripada konsep 1Malaysia.
Kepelbagaian kaum dan agama merupakan satu rahmat. Sebagai sebuah
kerajaan dan pemimpin bertanggungjawab, kita perlu memimpin rakyat ke
arah mencari titik-titik persamaan dan menghormati perbezaan dalam
mengurus kepelbagaian kaum dan agama.
Nilai-nilai universal dan baik yang terkandung dalam setiap ajaran
agama mesti dijadikan teras untuk menyatukan rakyat Malaysia walaupun
kita bebeza dari sudut akidah.
Pertukaran sesebuah kerajaan adalah fenomena normal di seluruh dunia dan sebahagian daripada proses demokrasi.
Di Sabah menunjukkan rakyat Sabah juga terlibat dalam proses menukar
kerajaan negeri dari zaman USNO, BERJAYA, PBS dan Umno. Pertukaran
kerajaan berlaku apabila majoriti rakyat berasa tidak berpuas hati cara
mereka dilayani.
Salleh Said mungkin masih ingat kerana beliau juga antara yang
terkehadapan terlibat dan melompat. Bererti beliau tahu kelebihan dan
kelemahan pada parti yang memerintah.
Seperti juga manusia, sesebuah kerajaan dan pemimpin ada jangkamasa
hayatnya. Ia akan terus relevan selagi memberi manfaat kepada rakyat.
Jika tidak ia akan mati tanpa nisan dan menjadi sebahagian catatan
sejarah.
Untuk makluman menteri, bendahari Umno dan ADUN Usukan, kenaikan
harga barang dan kos sara hidup yang bakal menjatuhkan kerajaan BN nanti
sebagaimana dapatan kajian IDE itu hanyalah jelmaan akhir suatu protes.
Protes
rakyat sebenarnya bertitik tolak daripada tadbir urus yang korup,
pengabaian terhadap amanah diberikan oleh rakyat, yang pada prinsipnya
tidak menegakkan "keadilan", malah bertindak zalim terhadap sesiapa yang
ingin melakukan pembaharuan dan perubahan kepada kebaikan (islah)
sejajar dengan agenda reformasi.
Hasrat rakyat terutama di Sabah untuk menukar kerajaan dan pemimpin bukan sekadar ingin kaya tapi inginkan kehidupan yang bahagia dengan pendapatan yang boleh menyara keluarga.
Mendapat bekalan air bersih daripada bertahun-tahun minum air tanah,
membebaskan diri dari fenomena banjir yang saban minggu melanda,
mendapat hak geran tanah dari hanya menumpang ehsan kerajaan semasa,
jalanraya yang selesa, peluang pekerjaan anak-anak menyara kehidupan
mereka dan pendidikan insani agar menjadi generasi berjiwa merdeka.
MUSTAPHA SAKMUD adalah timbalan pengerusi, majlis pimpinan negeri PKR Sabah merangkap ahli majlis pimpinan pusat.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan