Oleh Hayar Hassan
Sehari dua ini, akhbar-akhbar arus perdana, stesyen-stesyen TV
tempatan dan portal-portal berita sibuk memperkatakan tentang hasil
Laporan Royal Commission Of Inquiry (RCI)
berkaitan skandal kerugian perniagaan pertukaran wang asing(Foreign Exchange/FOREX) yang melibatkan Bank Negara Malaysia.
Seperti yang dilaporkan oleh akhbar Sinar Harian tanggal 1 Disember
2017, RCI berkenaan berpandangan bahawa
terdapat elemen menyembunyikan fakta dengan sengaja memandangkan Laporan
Tahunan Bank Negara tidak menunjukkan kerugian sebenar yang dialami akibat urus
niaga forex dari tahun 1992 hingga
tahun 1994. Selanjutnya RCI itu
percaya Tun Dr Mahathir Mohamad merelakan tindakan-tindakan Datuk Seri Anwar
Ibrahim(DSAI) yang mengakibatkan Bank Negara Malaysia rugi RM31.5 billion.
Tan Sri Nor Mohamed Yakcob pula telah dinamakan sebagai pihak yang
bertanggungjawab terhadap urusniaga tersebut.
Dari awal lagi, sebelum penubuhan RCI ini, banyak pihak berpendapat bahawa motif penubuhannya adalah
kerana politik. Tun Dr Mahathir Mohamad dan DSAI yang menjadi pimpinan utama
Pakatan Harapan(PH) waktu ini adalah saingan utama kepada kelangsungan UMNO/BN
untuk terus menguasai pentadbiran Putrajaya. Oleh yang demikian, keyakinan
pengundi dan rakyat kepada dua sosok utama PH ini perlu diruntuhkan atau
dicemarkan menjelang PRU ke 14.
Tidak hairan lah , selepas laporan RCI itu diedarkan kepada Ahli-Ahli Parlimen pada hari terakhir
persidangan Parlimen, YAB Perdana Menteri secara riang dan berseloroh
menyatakan bahawa Parlimen “ sudah boleh
dibubarkan”. Disamping itu YB Timbalan Perdana Menteri menyatakan bahawa UMNO/BN sudah “ 95 % bersedia menghadapi PRU ke 14”. Naib
Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamudin Tun Hussein pula berkata bahawa “ Bekas pimpinan bukan ancaman UMNO”. Itu
lah sebahagian daripada strategi-strategi politik yang lazim dibuat oleh
orang-orang politik.
Persoalannya sekarang, “ Apakah
keyakinan pengundi-pengundi terhadap PH akan tergugat atas isu ini ?” Adakah
Tun Dr Mahathir Mohamad dan DSAI akan mendiamkan diri sahaja terhadap
strategi-strategi yang sedang dibuat oleh UMNO/BN ?
Ternyata jelas bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad bukan lah seorang yang
mudah mengalah dan kekurangan idea untuk bertindak. Peguam Tun Dr Mahathir
Muhamad, Hanif Khatri dengan segera mengumumkan bahawa beliau telah diarahkan
untuk menulis surat kepada sekretariat RCI
menuntut mereka menghentikan pengedaran penemuannya, menghentikan
pengedaran atau menerbitkan laporan semasa sehingga mereka memasukkan kesemua
492 muka surat penyerahan bertulis Tun Dr Mahathir Mohamad ke dalam laporan
berkenaan.
Seandainya pihak Sekretariat gagal berbuat seperti yang ditegaskan
oleh peguam Tun Dr Mahathir itu, peguam Tun Dr Mahathir Mohamad akan memfailkan permohonan semakan terhadap dapatan laporan RCI itu . Tarikh yang diberikan adalah tanggal 10 Disember 2017.
Dalam hal ini kita masih menunggu reaksi-reaksi DSAI dan juga Tun
Daim Zainuddin yang diberitakan nama-nama mereka berdua turut disebut dalam
laporan RCI berkenaan.
Tun Dr Mahathir Mohamad,
sebagai seorang yang cukup berpengalaman dalam dunia politik dan pentadbiran
Negara, tentunya sudah menjangkakan akan isi kandungan laporan RCI itu. Tidak hairan lah beliau dengan pantas dan
segera memberikan reaksinya. Itu lah
kelebihan Tun Dr Mahathir, beliau begitu teliti dan cukup arif akan
masalah-masalah yang sedang dihadapinya. Beliau sudah dapat membaca akan sepak
terajang saingan politiknya !
Sudah pun tersiar cerita kemungkinan bagaimana reaksi-reaksi rakyat
seandainya UMNO/BN benar-benar serious untuk mengambil tindakan undang-undang
terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad atas isu RCI
dagangan mata wang asing(Forex) ini.
Mungkin gelombang Reformasi 1998 akan berulang lagi. Pada waktu itu apabila
DSAI dizalimi rakyat bangkit membuat protes . Ada kah kita bakal menyaksikan episod yang serupa
berulang kembali ?
Dalam hal ini kalau diamati wawancara akhbar Mingguan Malaysia(MM)
dengan YAB Timbalan Perdana Menteri pada hari semalam, 2 Disember 2017, ianya
menjadi cukup menarik. Wawancara itu dibuat menjelang Perhimpunnan Agong UMNO
yang akan diadakan pada selasa akan datang(5 Disember 2017).
Diberitakan bahawa YAB Pemangku Timbalan Presiden UMNO itu meminta
agar ahli-ahli UMNO tidak berlebihan dalam membuat serangan terhadap Tun Dr
Mahathir Mohamad. Dibimbangi, serangan yang kasar dan berlebihan akan
membuatkan rakyat simpati terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad!
Apa pun kita perlu mengambil kira komen –komen yang diberikan oleh
pimpinan PH. Semalam, sewaktu ceramah PH di Ipoh, Timbalan Presiden Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Mahyuddin Yassin menyatakan bahawa
laporan RCI itu tidak akan menjejaskan semangat serta keazaman PH untuk
merampas tampuk pemerintahan Putrajaya.
Timbalan PPBM , Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula menyatakan bahawa
adalah sesuatu yang pelik dan janggal apabila pihak PDRM hanya diminta
memulakan siasatan ke atas Tun Dr Mahathit Mohamad dan DSAI hanya selepas RCI selesai menjalankan siasatan.
Lazimnya PDRM mendahului siasatan mereka dan pegawai-pegawai PDRM kemudiannya
memberikan keterangan kepada siasatan RCI
berkenaan. Dikhabarkan bahawa RCI Forex ini dibuat secara tergesa-gesa dan semata-mata
mempunyai motif politik ! Lebih menarik lagi Ketua Polis Negara(KPN)
memaklumkan bahawa siasatan PDRM berkaitan kes Forex akan mengambil masa yang panjang !
Sehingga kini kita hanya perlu bersabar sebelum menyaksikan aksi dan
silat-silat politik yang bakal dipertontonkan oleh kedua belah pihak.
Adakah UMNO/BN sekadar mahu mencemarkan imej Tun Dr Mahathir Mohamad
selaku Pengerusi PH ? “Sekadar Gertak
Sambal”, kata orang Indonesia.
Berkemungkinan kah dengan pendedahan laporan RCI ini akan membuatkan Tun
Dr Mahathir Mohamad lembut sedikit membuat kritikannya terhadap UMNO/BN?
Berkemungkinan juga kah Tun Dr Mahathir Mohamad akan lebih keras
lagi mengkritik pimpinan UMNO/BN. Membongkar semua rahsia mereka ! Sama-sama
lah kita tunggu dan lihat episod-episod seterusnya.
0 comments:
Catat Ulasan