Pemuda Amanah: Azmin perlu disiasat

Langkah Sheraton' yang didakwa didalangan oleh bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali perlu diambil tindakan undang-undang kerana melanggar prinsip perlembagaan dan undang-undang negara, kata Naib Ketua Pemuda Amanah Perak, Mohd Fitri Asmuni.

Menurutnya, tindakan sekumpulan ahli parlimen yang didalangi Azmin itu melanggar prinsip demokrasi berparlimen dengan cubaan meruntuhkan sebuah kerajaan yang sah.

"Saya percaya di sebalik 'langkah Sheraton' didalangi Azmin dan kumpulannya seperti mana disebut oleh pimpinan PH, seperti mana kita tahu ia satu langkah untuk meruntuhkan kerajaan PH yang sah, yang melalui proses demokrasi melalui pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018.


"Langkah mereka ini adalah satu langkah yang dibuat tanpa berasaskan undang-undang, ia boleh boleh disiasat mengikut Seksyen 124 (b) dan Seksyen 124 (c) Kanun Keseksaan (penal kod).

"Ini kerana tidak ada asas undang-undang untuk mereka melakukan perkara itu. Kerana pertukaran kerajaan itu hanya boleh dilakukan dengan kaedah-kaedah yang ditetapkan oleh perlembagaan.

"Antaranya seperti melalui pilihan raya, undi tidak percaya di parlimen atau perdana menteri memohon kepada Yang di-Pertuan Agong supaya parlimen dibubarkan. Tetapi apa yang dilakukan olrh Azmin itu tidak ada satu pun asas yang bertepatan dengan undang-undang," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan satu perjumpaan oleh sekumpulan ahli parlimen diadakan di Hotel Sheraton di Petaling Jaya pada Ahad lalu, yang didakwa sebagai satu komplot untuk mewujudkan kerajaan melalui 'pintu belakang' bersama parti-parti tertentu.

Ia disusuli dengan pemecatan keahlian PKR melibatkan 11 anggota parlimen parti itu termasuk Azmin dan bekas naib presiden, Zuradai Kamaruddin.

Sementara itu Mohd Fitri berkata, langkah yang dilakukan kumpulan Azmin dengan mengumpul sokongan untuk meruntuhkan kerajaan yang sah melalui pintu belakang itu melanggar undang-undang yang ditetapkan.

"Melalui peruntukan undang-undang yang ada, Azmin boleh dituduh di mahkamah sama ada secara individu atau berkumpulan. Ia bergantung kepada proses siasatan.

"Justeru saya percaya satu siasatan perlu dibuat terhadap mereka dan laporan polis perlu dibuat.
"Perkara ini perlu diambil tindakan serius supaya menjadi pengajaran kepada ahli-ahli politik lain supaya tidak berulang di masa akan datang," jelasnya yang juga seorang peguam.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan