Guan Eng: Bagaimana mulakan projek terowong dengan sabotaj BN

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyuarakan keraguan sama ada projek terowong dasar laut akan bermula, dengan adanya pensabotaj yang kerap menyukarkan keadaan untuk negeri itu.

Sambil menamakan Barisan Nasional (BN) sebagai pensabotaj, Lim bertanya bagaimana negeri itu boleh memulakan pembinaan dengan “campur tangan dan sabotaj” itu.

“Pertama, kamu mahu kami mengikut prosedur kerajaan, kamu mahu kami mendapatkan laporan EIA (Penilaian Kesan Alam Sekitar) yang diperolehi tahun lepas. Tetapi, sebelum kami memulakan pembinaan, tangkapan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya harus jujur. Orang mahukan kontrak untuk membina jalan raya. Tiada siapa jangka selepas membina jalan raya, mereka akan berakhir di penjara.

“Saya tidak pasti sama ada projek itu akan diteruskan atau tidak. Jelas terdapat sabotaj oleh BN,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Terowong dasar laut sepanjang 7.2km itu akan menghubungkan Jalan Pangkor di George Town dan Bagan Ajam di Butterworth. Pembinaannya dijadualkan bermula 2023.

Projek 3 jalan utama itu melibatkan lebuhraya dari Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (5.7km), dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang (10.53km) dan dari simpang Jalan Pangkor-Persiaran Gurney ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (4.1km).

Semalam, SPMR dilaporkan menahan seorang pengerusi sebuah syarikat perunding kejuruteraan berpangkat Datuk Seri, bagi membantu siasatan ke atas dakwaan rasuah dalam projek pembinaan terowong dasar laut Pulau Pinang itu.

Dua hari lepas, SPRM juga menahan seorang perunding kejuruteraan di syarikat yang berpangkalan di Kuala Lumpur bagi membantu siasatan tersebut dan beliau direman selama 5 hari bermula hari ini.
Pada 19 Januari lalu, 2 individu berpangkat “Datuk” yang direman 6 hari bagi membantu siasatan kes sama, dibebaskan dengan ikat jaminjaminan.

Lim berkata, tujuan 3 jalan raya utama itu adalah untuk menyelesaikan masalah kesesakan dihadapi rakyat Pulau Pinang, tetapi kini BN cuba mensabotaj projek ini.

“Tahniah jika anda berjaya, tetapi biarlah rakyat Pulau Pinang tentukan sama ada apa yang anda lakukan betul.

“Mengapa pembinaan belum bermula? Ia disebabkan sabotaj. Andalah (BN) yang menghalang dan mensabotaj projek itu.

“Mengapa kerajaan persekutuan tidak mengeluarkan satu sen pun? Segalanya dilakukan kerajaan negeri, melalui penukaran tanah, dan kamu masih mahu menyoal mengapa pembinaan belum bermula, sedangkan kamu yang menghalang semua projek ini.

“Jika Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wee Ka Siong menyoal mengapa pembinaan belum bermula, beliau patut cermin diri dan tanya sendiri. Cermin diri dan anda akan dapat jawapan,” katanya.

Lim juga terus membidas Wee atas soalan “remeh dan tidak penting” mengenai kesahihan perjanjian yang ditandatangani bersama China Railway Construction Corporation (CRCC).

Wee berkata, kesahihan perjanjian dengan CRCC meragukan kerana tidak mempunyai duti setem.
Katanya, ia bukanlah satu perjanjian, tetapi hanyalah “perakuan komitmen” yang bermaksud mereka yang menandatanganinya tidak diwajibkan dari segi undang-undang untuk memenuhi komitmen mereka.

“Wee boleh sampai ke tahap menyoal sama ada dokumen itu disetem atau tidak. Betapa kebudak-budakannya? Sudah tentu ia disetemkan.

“Ini sebuah kerajaan. Adakah kerajaan negeri bodoh? Saya tidak mahu menjawabnya, tetapi exco negeri memutuskan saya patut menjawab untuk menunjukkan betapa bodohnya soalan itu.
“Adakah Wee akan meminta maaf dan menarik semula kata-katanya? Beliau sudah silap. Adakah beliau akan memohon maaf?” soal Lim.

Semalam, Lim ketika menjawab soalan Wee berkata, beliau sepatutnya tahu perjanjian itu sah di sisi undang-undang kerana kerajaan negeri dikecualikan daripada duti setem.

Katanya, pengecualian duti setem diperuntukkan di bawah Seksyen 35 Akta Setem 1949, yang membenarkan pengecualian duti bagi instrumen dilaksanakan kerajaan negeri.

Lim menunjukkan muka surat pertama perjanjian itu yang mempunyai setem berserta tandatangan timbalan pemungut duti setem Shah Alam bertarikh 29 Oktober 2013.

Projek prasarana RM6.3 bilion itu mengundang perhatian BN susulan siasatan SPRM.
Kajian kebolehlaksanaan projek itu yang menjadi pertikaian antara pemimpin BN dan pembangkang, sekarang ini sudah siap 92%.

Kerajaan Pulau Pinang berkata, projek itu bukan keutamaan tinggi dan boleh dilaksanakan kemudian nanti, selepas 3 jalan utama siap dibina
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan