Pas akan memuktamadkan sumpah baiah talak tiga yang perlu dilafazkan calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Kelantan, dalam mesyuarat Majlis Syura Ulama (MSU) pada 24 Februari ini.
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, berkata MSU akan membincangkan isu itu secara terperinci termasuk menimbang pandangan ahli badan itu, berhubung keperluan mengekalkan atau menggugurkan taklik talak tiga daripada kandungan sumpah baiah.
Beliau dipetik berkata, mesyuarat yang akan dihadiri semua ahli MSU termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, itu akan berlangsung selepas program pertemuan dan penyatuan fikrah kepemimpinan parti yang belum ditetapkan lokasinya.
“Setakat yang saya dengar, ada pandangan yang rasakan perlu (sumpah baiah talak tiga) dan ada kata tidak perlu, jadi semua ini akan dibincang secara terperinci dalam mesyuarat MSU pada 24 Februari ini dan satu keputusan muktamad akan dibuat selepas itu,” katanya dalam kenyataan semalam dipetik BH online.
Sabtu lalu, Ketua Dewan Ulama, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, menyatakan parti dijangka menggugurkan sumpah baiah talak tiga berikutan kesetiaan ahli dan kekuatan parti itu didakwa semakin kukuh.
Beliau dilaporkan berkata, kandungan sumpah baiah itu akan diselaraskan bagi setiap negeri dan dijangka tidak lagi menyentuh perceraian.
Bagaimanapun Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dilaporkan menganggap lafaz baiah talak tiga sebagai keperluan tetapi akur dengan keputusan MSU.
Sambil menyifatkan sumpah baiah talak tiga mengikut keperluan dan suasana politik di negeri, Hashim berkata, taklik itu berupaya mengekang insiden wakil rakyat Pas daripada lompat ke parti lain ketika krisis politik di Kelantan.
Diminta mengulas dakwaan sumpah baiah talak tiga dan baiah laknat tidak berkesan kepada beberapa pemimpin yang membawa lari kerusi dan membentuk parti baharu, Parti Amanah Negara (AMANAH), calon Parlimen Arau itu berkata, ia adalah perkara biasa dan pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW.
“Dari dulu lagi, malah sejak zaman Nabi Muhammad pun ada orang Islam yang lahir sebagai orang Islam, menjalani kehidupan Islam tetapi mati kafir, ada yang lahir kafir tetapi mati dalam Islam.
“Ini perkara yang selalu berlaku, Pas berikhtiar supaya kita dapat mengawal benda yang menyimpang dari syariat itu tidak berlaku dalam jemaah. Jika berlaku juga, apa nak buat, itu antara mereka dengan Allah,” katanya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan