Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelihatan takut akan
bayang-bayang Tun Dr Mahathir Mohamad apabila beliau mengumumkan
peruntukan bernilai RM1.3 bilion untuk lima projek infrastruktur di
Langkawi.
Tumpuan yang begitu besar terpaksa diberikan Najib kepada Langkawi
adalah semata-mata kerana Tun Mahathir memberi bayangan mungkin akan
bertanding di Parlimen Langkawi pada pilihan raya akan datang.
Ternyata kegusaran Barisan Nasional ini berasas apabila Najib
terpaksa mengumumkan sejumlah peruntukan yang begitu besar kepada sebuah
kawasan parlimen.
Malahan seluruh keringat BN digerakkan untuk mengekang kemaraan Pakatan Harapan (HARAPAN) di Parlimen Langkawi.
Serangan
Ketua Pemuda Umno YB Khairy Jamaludin kepada Tun Mahathir, bahawa tidak
mungkin beliau dapat membangunkan Langkawi, menyerlahkan lagi ketakutan
Umno kepadanya dan HARAPAN secara umum.
Untuk rekod sepanjang 22 tahun Tun Mahathir bergelar perdana menteri,
beliau berjaya membawa pelbagai bentuk pembangunan kepada Langkawi
sehingga pulau legenda itu terkenal di mata dunia.
Malah Tun Mahathir digelar sebagai arkitek pembangunan di Langkawi.
Tun Mahathir juga berjaya menjadikan Langkawi sebagai pusat
pelancongan bertaraf dunia, termasuk membina sebuah lapangan terbang
antarabangsa dan menjadikan pulau legenda itu tumpuan beberapa acara
besar termasuk pameran maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi
(LIMA).
Malah
jasa terbesar Tun Mahathir kepada Langkawi adalah mengumumkan status
Langkawi pada 1987 menjadi pulau bebas cukai yang ternyata membawa
banyak keuntungan dan kebaikan kepada penduduk sejagat.
Kegusaran Najib dan BN kepada Tun M adalah kerana HARAPAN mengumumkan
bahawa beliau bakal kembali ke kerusi perdana menteri jika HARAPAN
berjaya merampas Putrajaya.
Justeru itu BN akan gunakan seberapa daya untuk menewaskan Tun
Mahathir dan HARAPAN di Langkawi demi menggagalkan rencana tersebut.
Saya yakin pengundi-pengundi di Langkawi matang dan bijaksana dalam
menilai siapa yang sebenarnya menabur jasa dan siapa yang sebenarnya
retorik dalam meraih undi.
Saya menyeru seluruh penduduk Langkawi untuk memartabatkan Tun
Mahathir dan calon-calon HARAPAN sebagai wakil rakyat, seterusnya
menumbangkan Umno dan Barisan Nasional di peringkat persekutuan.
HARAPAN menang di Langkawi bererti menang di Putrajaya.
SYED BADLI SHAH B. SYED OSMAN Adalah penolong setiausaha Angkatan
Muda Keadilan Nasional dan setiausaha Angkatan Muda Keadilan Selangor.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan