Amanah gembira lawan PAS di kubu kuatnya

AMANAH akan bertanding di kerusi negeri kawasan di mana PAS mempunyai majoriti besar di Kelantan, kata Naib Presiden Amanah Husam Musa.

Husam berkata perkara itu sudah lama dipertimbangkan untuk Amanah laksanakan di negeri Serambi Mekah itu.

“Amanah perlu bertanding dan menang di kerusi negeri di mana PAS ada majoriti besar.

“Amanah gembira kerana ia menjadi tugas kami,” kata Husam yang merupakan pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan pada sidang media di Ibu Pejabat Amanah di Kuala Lumpur hari ini.

Antara kerusi negeri yang dinamakan Husam adalah Pasir Pekan, Meranti dan Tanjong Mas.

Husam menambah yang Amanah dianggap parti utama di Kelantan dan kerana itu diberikan lebih banyak kerusi berbanding tiga parti lain gabungan pembangkang.

Bagaimanapun, beliau enggan mengumumkan jumlah sebenar kerusi yang akan ditandingi Amanah dan berkata pengumuman rasmi hanya akan dibuat oleh Majlis Presiden PH.

“Kelantan istimewa kerana PAS memerintah negeri itu.

“Kerana itulah Amanah diberikan peluang mengatasi yang lain (dalam PH) kerana kami akan bertanding di kerusi kubu kuat PAS,” katanya.

Katanya lagi, beliau tidak akan melebih-lebihkan tumpuan kepada kerusi yang diberikan kepada Amanah di Kelantan tetapi sebaliknya akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kemenangan keseluruhan PH di negeri itu.

“Tidak kisah jika parti komponen lain menang. Tetapi saya akan kecewa kalau pihak lawan menang, terutama sekali Umno Barisan Nasional (BN),” katanya menambah yang keputusan pembahagian kerusi itu diputuskan secara bersama oleh semua parti dalam gabungan pembangkang.

Sumber dalaman parti serpihan PAS itu sebelum ini mengatakan yang mereka yakin mendapat 20 daripada 27 kerusi Parlimen untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14, malah yakin "hampir pasti menang" di Kota Raja di Selangor dan Kota Baru di Kelantan.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan