Kesan harga minyak dunia pada hasil negara diketahui setahun

KUALA LUMPUR, 6 Mac — Impak kenaikkan harga minyak mentah dunia kepada pendapatan negara hanya akan dapat diketahui setelah genap tempoh setahun, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata pergerakan naik turun harga minyak mentah dunia sekarang tidak dapat memberikan jangkaan yang tepat kepada penambahan pendapatan negara memandangkan anggaran harga minyak dunia yang diumumkan pada pembentangan bajet 2018, merupakan anggaran purata tahunan.

“Kerajaan membuat anggaran pendapatan sebanyak RM37.8 bilion untuk hasil berkaitan petroleum pada 2018 semasa pembentangan Bajet 2018, termasuk cukai pendapatan petroleum, dividen, royalti dan pendapatan sampingan daripada Petronas.

“Anggaran tersebut adalah berdasarkan andaian purata paras minyak mentah pada US$52 setong.

Bagi tempoh 1 Januari hingga 23 Februari, 2018, purata harga minyak mentah dunia adalah pada kadar US$67.15 secara purata,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) pada Persidangan Dewan Rakyat di sinihari ini.

Wan Azizah meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah terkini penambahan hasil daripada produk petroleum berikutan peningkatan hasil minyak sejak Bajet 2018.

Secara purata, Johari berkata bagi setiap penambahan harga minyak mentah dunia sebanyak US$1 setong, hasil kerajaan persekutuan dianggarkan meningkat dalam lingkungan RM300 juta setahun.

Katanya perbezaan US$67 setong berbanding US$52 setong bagi tempoh kurang dari dua bulan, tidak menggambarkan impak sebenar, memandangkan harga minyak mentah dunia bersifat turun naik.

“Sebagai contoh, sekiranya purata harga minyak dunia sepanjang tahun pada US$67 setong, akan berlaku peningkatan pendapatan sebanyak RM300 juta bagi setiap lebihan US$1 setong, yang bermakna, kita akan mendapat penambahan pendapatan sebanyak RM4.5 bilion.

“Sekiranya purata tahunan (harga minyak mentah dunia) US$60 setong, bermakna kita akan mendapat lebihan pendapatan sebanyak RM2.4 bilion setahun,” katanya.

Johari berkata setiap lebihan pendapatan daripada hasil minyak, akan dimasukkan ke dalam akaun yang disatukan, untuk perbelanjaan pembangunan negara. — Bernama
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan