PH beri seminggu 4 parti muktamad agihan kerusi di 3 negeri

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) memberi masa seminggu kepada 4 parti komponennya untuk menyerahkan senarai pengagihan kerusi dan lambang salah satu parti untuk mewakili gabungan pembangkang itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata 4 parti pembangkang itu belum menyelesaikan rundingan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di 3 negeri.

“Kita telah selesai agihan kerusi kepada parti-parti dalam PH, iaitu Kedah, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, Johor, Terengganu, Pahang dan Pulau Pinang,” katanya pada sidang media di pejabat ketua pembangkang di Parlimen hari ini.

“Tiga negeri belum selesai, ada masalah kecil-kecilan yang akan diselesaikan tidak lama lagi,” katanya sambil menambah 4 parti itu mempunyai seminggu untuk berbuat demikian.

Pada 3 Mac lalu, Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata, PH Selangor akan menyelesaikan pembahagian kerusi DUN dalam 10 hari.

Katanya, ada 15 kerusi belum selesai dibahagikan, namun beliau tidak mendedahkan kerusi yang masih dalam pertikaian itu.

Rundingan kerusi DUN Selangor sepatutnya diselesaikan hujung Januari lalu, tetapi dilanjutkan sehingga hari ini atas permintaan PH Selangor kerana gagal mencapai kata sepakat apabila PKR, PPBM dan Amanah cuba mendapatkan lebih banyak kerusi yang ditandingi PAS serta Umno pada PRU lalu.

Pilihan logo untuk PRU14

Dr Mahathir berkata, PH memberi seminggu kepada setiap parti untuk memilih logo yang akan digunakan untuk mewakili gabungan itu pada PRU14, jika Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) gagal meluluskan permohonan mendaftarkan gabungan itu.

“Kita telah putuskan seminggu untuk mesyuarat Majlis Presiden akan datang untuk putuskan simbol akan dipilih dan digunakan oleh PH.”


Bekas perdana menteri itu berkata, manifesto PH akan diumumkan pada 8 Mac ini di Shah Alam.

Pada 27 Februari lalu, Dr Mahathir dilaporkan berkata, PH akan menggunakan lambang salah satu parti komponen jika JPPM gagal meluluskan permohonan mendaftarkan gabungan itu.

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula gembira jika PH menggunakan lambang parti itu pada PRU14.

Pengarah di Institut Kajian Politik Malaysia di Universiti Utara Malaysia, Kamarul Zaman Yusoff bagaimanapun menjangkakan PH berkemungkinan besar menggunakan lambang PPBM atau PKR.

PH pertimbang permintaan Maria Chin

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, gabungan pembangkang itu akan membincangkan permintaan aktivis politik, Maria Chin Abdullah untuk bertanding atas tiket PH.

“Kita akan bertemu dia, tetapi kita belum memutuskan apa-apa lagi.

“Ini kerana kita kena lihat impaknya kerana kita tidak mahu melihat pertandingan 3 penjuru atau 4 penjuru. Ini hanya akan beri kemenangan pada Barisan Nasional,” katanya.

Maria berundur daripada Bersih 2.0 yang diketuainya dan menawarkan diri untuk bertanding di kerusi Parlimen atas tiket PH pada PRU14, tetapi beliau tidak bercadang menyertai mana-mana parti politik.

PH terima Hindraf sebagai rakan strategik

Dr Mahathir berkata, PH menerima Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) sebagai rakan strategi gabungan itu.

Katanya, Hindraf ialah pertubuhan aktif dan perlu diberi layanan istimewa.

“Kita perlu cari tempat untuk mereka dan memberi sedikit pertimbangan dan kedudukan mereka yang tidak diputuskan lagi.

“Kita akan bagi layanan pada mereka. Mereka juga sudah beritahu tak nak kerusi bertanding dan mereka kata akan sokong kami habis-habisan.”
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan