PETALING JAYA: Sebuah kumpulan menganjurkan pemulauan Israel menggesa
kerajaan mengarahkan wakilnya ke Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI)
membantah penganjuran satu perlumbangan basikal di Baitulmaqdis sejajar
pendirian negara dan PPB dalam pertikaian ke atas kota suci itu.
Pengerusi Boycott, Divestment & Sanction (BDS) Malaysia, Mohd
Nazari Ismail, berkata Malaysia bertanggungjawab memaklumkan UCI bahawa
penganjuran Giro D’Italia di situ bertentangan dengan resolusi
Perhimpunan Agung PBB mengecam pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu
negara Israel.
“Kerajaan Israel membayar sejumlah wang yang lumayan kepada pengelola
perlumbaan untuk memastikan ia bermula dari Baitulmaqdis. Ini
propaganda Israel untuk meyakinkan dunia bahawa Baitulmaqdis ibu kota
Israel,” katanya dalam kenyataan semalam.
“Selain dari kerajaan dan majlis perbandaran Israel, Giro d’Italia
juga menerima tajaan daripada syarikat-syarikat Israel yang melanggar
undang-undang antarabangsa kerana beroperasi di wilayah Palestin yang
dijajah.
“BDS Malaysia amat kecewa dengan tindakan wakil Malaysia dan Asia ke
UCI, Datuk Amarjit Singh Gill yang enggan memaklumkan UCI bahawa
tindakan mereka bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan tidak
menggesa UCI untuk menukar keputusannya.
“BDS Malaysia menyeru kerajaan yang peka dengan penderitaan rakyat
Palestin supaya mengarah Amarjit untuk bertindak sejajar dengan hasrat
negara yang berjuang untuk pembebasan Palestin dari cengkaman Israel.”
Buat pertama kali Giro D’Italia dianjurkan di luar Eropah dan Israel
akan menjadi tuan rumah untuk perlumbaan peringkat 1 hingga 3 pada 4 Mei
hingga 6 Mei, bermula di Baitulmaqdis.
Tahun lepas pada November, pengelola Giro D’Italia dan kerajaan
Israel berbalah apabila tempat berlepas perlumbaan peringkat pertama
dinamakan sebagai “Baitulmaqdis Barat” atas nasihat kerajaan Italy.
“Di Baitulmaqdis, ibu negara Israel, tiada timur atau barat,” kata
Menteri Kebudayaan dan Sukan Israel Miri Regev lapor akhbar Times of
Israel.
Selepas diancam dengan penarikan diri, pengelola akur dengan tuntutan
Israel dan menukar nama tempat berlepas itu kepada “Baitulmaqdis”.
Di tengah-tengah kontroversi ini ialah status kota itu, yang dianggap
suci oleh orang Islam, Yahudi dan Kristian. Israel menawan bahagian
timur Baitulmaqdis pada 1967 dan mahu kota itu diiktiraf sebagai ibu
negara mereka.
Masyarakat antarabangsa enggan mengiktiraf tuntutan itu ketika rakyat
Palestin mahu bahagian timur Baitulmaqdis menjadi ibu negara Palestin
berdaulat.
Situasa rumit meruncing apabila Presiden Donald Trump menterbalikkan
dasar luar 7 dekad Amerika Syarikat dan secara rasmi mengiktiraf kota
itu sebagai ibu negara Israel.
BDS Malaysia membidas Israel yang didakwa menyalahgunakan acara sukan
global itu untuk meraikan ulangtahun ke-70 penubuhan Israel, yang
ditubuhkan 14 Mei 1948.
“Mei 1948 merupakan malapetaka sejarah dunia apabila 700,000 rakyat
Palestin diusir dan 450 kampung mereka dibakar demi mewujudkan negara
Israel,” kata Nazari.
Gerakan BDS satu kempen sejagat mempromosikan pelbagai bentuk boikot
sehingga Tel Aviv mematuhi undang-undang antarabangsa seperti
pengunduran dari tanah Palestin yang diduduki, memberikan hak kesamaan
penuh kepada orang Palestin rakyat Israel dan membenarkan pelarian
Palestin pulang ke tanah asal.
Tahun lepas pada Disember, PBB mengisytiharkan resolusi AS
mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel adalah tidak sah dan
terbatal selepas 128 negara termasuk Malaysia menolaknya, berbanding 9
negara yang menyokong.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan