Selepas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengumumkan
keluar dari Pas pada 31 Disember tahun lalu, banyak pihak sedang
menantikan pendirian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr
Syed Azman Syed Ahmad pula.
Beliau yang secara terbuka menyokong Pakatan Harapan walau
bagaimanapun memberitahu akan membuat keputusan berkenaan parti
pilihannya apabila tiba waktu yang sesuai.
“Saya masih mempunyai waktu. Parlimen belum lagi dibubarkan.
“InsyaAllah, sampai waktunya saya akan menentukan sikap dalam memilih
parti mana untuk bersama-sama membawa perubahan kepada rakyat,” katanya
dalam slot Terus Terang anjuran Invoke Malaysia semalam.
Dimoderatorkan Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh, beliau
dalam bual bicara hampir 50 minit itu juga konsisten dilihat tidak
selari dengan sikap Pas sekarang yang mahu berperanan sebagai Blok
Ketiga.
“Dalam konteks sistem politik di negara kita first-past-the-post
(atau majoriti mudah) yang menjadi peninggalan British, untuk
menumbangkan kerajaan yang memerintah Umno-BN ini, kita mesti ada
gabungan dan persefahaman di antara parti pembangkang yang besar.
“Kita tidak boleh bersendirian dan dalam senario ini saya
berkali-kali katakan tidak ada kuasa ketiga. Hanya sama ada Umno-BN atau
pun Pakatan Harapan.
“Kalau ada pihak mengatakan boleh buat perubahan melalui gabungan
ketiga, itu agak jauh daripada realiti yang berlaku di negara kita,”
jelasnya.
Menurut Dr Syed Azman yang mula bertanding atas tiket Pas di Parlimen
Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum 1999 atas permintaan Presiden
Pas ketika itu, Datuk Fadzil Noor, perubahan hanya boleh berlaku dengan
pengukuhan parti-parti pembangkang melalui Pakatan Harapan pada masa
ini.
Sehubungan itu, beliau bertegas hal yang remeh-temeh perlu
diketepikan terlebih dahulu sebaliknya memberi tumpuan pada perubahan
dan pembelaan kepada rakyat.
“Apapun perbezaan dan jurang yang ada, tetapi keperluan yang kita
lihat sudah menjadi satu yang kritikal di negara kita dengan masalah
rasuah, kepimpinan dan bebanan kos hidup yang dilalui oleh rakyat.
“Ini yang menjadi tanggungjawab setiap ahli politik dan mengetepikan
apa jua perkara titik bengik. Pilihan yang terbaik adalah melalui
Pakatan Harapan,” tegasnya lagi.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan