KETIKA tarikh PRU14 masih menjadi teka-teki pelbagai
pihak, kini ramalan terbaru pula menyatakan kempen dan tarikh mengundi
akan jatuh pada bulan Ramadan, yang bermula pada 17 Mei depan.
Adakah atas faktor kemenangan BN pada PRK Sungai Besar dan Kuala
Kangsar, yang diadakan pada bulan Ramadan, iaitu 18 Jun 2016,
memungkinkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memilih PRU14
diadakan ketika umat Islam berpuasa?
Bagaimanapun, bagi penganalisis politik tempatan, sekiranya PRU14
diadakan pada bulan Ramadan, Pakatan Harapan bakal menerima manfaat
besar.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr
Ahmad Marthada Mohamed berkata, ini kerana Harapan yang dikatakan
didominasi DAP mempunyai lebih masa bagi tujuan kempen dan publisiti.
Menurutnya, mereka mempunyai kelebihan mengadakan kempen kecil-kecilan
seperti berkempen dari rumah ke rumah sehingga kepada kempen besar,
melibatkan program bersama masyarakat di sesebuah parlimen," katanya.
Menurutnya, parti Melayu Islam seperti Umno, Pas, Amanah dan Bersatu
bakal berdepan sedikit kekangan seperti tempoh berkempen pada waktu
siang dan malam.
“Jika PRU pada bulan puasa, parti-parti Melayu Islam mempunyai kekangan
masa untuk berkempen di waktu siang dan kekangan berceramah pada
malamnya. Kalau kita lihat suasana PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar,
begitu juga akan berlaku pada PRU14.
“Solat tarawih habis sekitar jam 10.30 malam, dan pada jam 12 tengah
malam, segala aktiviti berceramah perlu dihentikan. Dalam soal ini,
Umno, Bersatu, Amanah dan Pas tidak mempunyai kelebihan,” katanya.
Beliau berkata, suhu kempen PRU14 juga akan suam jika ia diadakan pada bulan Ramadan, berbanding bulan lain.
“Bagi orang Islam, Ramadan itu bulan penuh berkat, keampunan,
melipat-kali ganda amalan dan ia perlu dihormati. Saya menjangkakan
setiap parti lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan, bagi mengelak
timbul isu yang mencalarkan imej dan parti,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya
Dr Awang Azman Awang Pawi pula berpendapat, Pas mendapat kelebihan
sekiranya PRU14 diadakan pada bulan Ramadan.
“Kenapa saya kata begitu? Kerana pada bulan Ramadan, berapa ramai
pemimpin dan ahli Pas yang menjadi imam untuk solat tarawih? Ini menjadi
satu contoh terbaik memilih pemimpin dalam ajaran Islam.
“Secara tidak langsung, ia menjadi satu kempen yang menjadi nilai
tambah buat Pas. Begitu juga bila Ramadan tiba, pasti banyak program
berbentuk keagamaan diadakan dan siapa paling ramai di situ, kalau bukan
ahli Pas,” katanya.
Menurutnya, tidak banyak kelebihan buat parti lain seperti Umno, DAP, Bersatu, Amanah dan PKR dalam kerja kempen mereka.
“Saya ambil contoh DAP, mereka mungkin lebih senang bergerak pada waktu
siang untuk berkempen tetapi masih perlu menyesuaikan kaedah dan cara
kempen pada bulan puasa.
“Begitu juga Umno, walaupun serba lengkap dari segi jentera dan kewangan, tetapi tenaga jentera pula terhad,” katanya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan