Serdang, 24 Mac-Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan Tun Dr
Mahathir Mohamad menjilat ludah sendiri menerusi cadangan memansuhkan
Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) yang terkandung dalam
manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Saya komen pendek saja, dia (Dr Mahathir) jilat ludah sendiri,” kata
presiden PAS di Sidang Media selepas menghadiri Konvensyen Mahasiswa
Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Serdang Jaya hari ini.
Dr Mahathir pada 21 Mac lalu, menerusi siaran langsung di Facebooknya
memberi jaminan akan memansuhkan Auku, jika PH memenangi PRU14.
Pengerusi PH itu berkata, pemansuhan undang-undang itu bermakna
tanggungjawab terletak di bahu ibu bapa untuk memantau prestasi anak.
Hadi berkata, sebelum 1980-an, mahasiswa dan pensyarah bebas
menyertai sebarang aktiviti berkaitan politik kerana kerajaan ketika itu
tidak sedikit pun takut atau terkesan.
“Saya sempat berada pada zaman selepas negara mencapai kemerdekaan.
Ketika itu, tidak ada akta universiti yang mengikat pensyarah dan
mahasiswa”.
“Pemimpin politik boleh masuk kampus dan ketika itu kerajaan tak takut, kita boleh menyertai kegiatan di kampus.”
Bagaimanapun, ahli Parlimen Marang itu berkata, keadaan berubah selepas Auku dilaksanakan pada 1980-an.
“Kita tak tahulah siapa jadi ‘Perdana Menteri’ masa itu wujudkan akta
universiti tak benarkan pensyarah dan mahasiswa campur tangan dengan
politik. Sekiranya yang berpendidikan tidak dibenarkan, adakah nak
serahkan (pentadbiran) kepada yang tak berpendidikan?” soalnya.
Dr Mahathir, yang menerajui kerajaan selama 22 tahun dari 1981 hingga
2003, merupakan calon perdana menteri PH untuk PRU14 sementara menunggu
Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali layak untuk bertanding pada PRU.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan