'Majoriti akar umbi tentukan siapa layak jadi nakhoda Umno'

Oleh Shakira Buang

Akar umbi Umno hari ini berdepan cabaran besar dalam menentukan siapa paling layak mengetuai parti Melayu itu sekali gus memperbaiki kelemahannya selepas kalah teruk pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

Penganalisis politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, tidak semestinya hanya pemimpin tertinggi yang ada sekarang sesuai memikul tanggungjawab itu kerana segala keputusan akhirnya terletak kepada akar umbi Umno sendiri.

"Buat masa ini kita melihat timbalan presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) yang sedang memainkan peranan sebagai presiden dan (Datuk Seri) Hishamuddin (Hussein) sebagai timbalan presiden.

“Bagaimanapun dalam pemilihan kali ini, akar umbi boleh mengenal pasti pemimpin yang mereka mahukan dan tidak wujud lagi andaian pemimpin daripada atas menjadi pilihan.

“Sebaliknya pemimpin dari bawah atau akar umbi boleh menentukan calon yang baik untuk menjadi pemimpin mereka. Jika majoriti berasakan pemimpin bukan daripada yang ada sekarang, maka hakikat itu perlu diterima," katanya

Pada 22 Mei lalu, Zahid yang menggalas tugas sebagai pemangku presiden Umno mengesahkan tiga jawatan tertinggi iaitu presiden, timbalan presiden dan naib presiden akan dipertandingkan dalam pemilihan kali ini.

Pengumuman itu dibuat selepas timbul bantahan terhadap cadangan agar tiga jawatan itu kekal tidak dipertandingkan seperti sebelum ini.

Antara yang membantah cadangan tersebut termasuk Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin dan bekas Menteri besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Zahid berkata kini tidak timbul lagi persoalan jawatan tertentu tidak dipertandingkan dan pihaknya juga mahu memastikan transformasi dapat dilakukan dalam Umno.

Pada PRU lalu, Umno menerima tamparan buruk dalam sejarahnya apabila hanya mampu mempertahankan 47 kerusi parlimen, seterusnya menyaksikan BN buat kali pertama kali tewas selepas 61 tahun berkuasa.

Mengulas lanjut, Sivamurugan berkata pemimpin yang lebih muda seperti Khairy juga layak mengemudi Umno, namun sekali lagi menegaskan ia bergantung kepada sejauh mana sokongan akar umbi terhadapnya.

"Ramai yang menguar-uarkan kenapa tidak Khairy Jamaluddin sebagai pemimpin muda dan sebagai seorang yang dianggap dinamik (memimpin Umno). Jika ahli sendiri mahukan beliau mengapa tidak?
"Tetapi jika ahli masih mahu timbalan presiden (Ahmad Zahid) dan Hishammuddin, itu juga harus dihormati. Jadi akhirnya saya merasakan pemimpin yang perlu mengetuai Umno adalah mereka yang mendapat sokongan majoriti. Tak kisahlah Zahid, Hishammuddin atau Khairy sendiri," katanya.

Ku Li juga boleh ketuai Umno

Ditanya mengenai keupayaan Tengku Razaleigh Hamzah menerajui Umno, Sivamurugan juga tidak menolak tokoh veteran berkenaan sebagai calon yang berwibawa untuk menerajui parti Melayu itu pada masa hadapan.

Katanya, penyokong parti politik kini tidak lagi melihat batasan usia sebagai penghalang, bahkan kombinasi antara pemimpin yang lama dan muda juga berupaya meraih sokongan di peringkat akar umbi.

"Boleh sahaja (Ku Li mengetuai Umno) kalau itu yang dimahukan majoriti. Jadi, kesemua itu harus diambil kira oleh ahli - yang tidak perlu lagi bersikap emosi tetapi memikirkan bagaimana hendak ke hadapan," katanya

Tambah Sivamurugan, pemilihan Umno pada kali ini dilihat sangat penting bagi kelangsungan parti Melayu itu, seterusnya melakukan muhasabah dan memperbaiki kesilapan lalu.

Menurutnya, ahli Umno khasnya pada masa ini mahukan parti itu memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkesan seperti mana yang pernah dilakukan HARAPAN.

Pada masa sama pemimpin parti itu juga harus menghindar keghairahan dalam berebut jawatan dan sengketa sesama sendiri.

"Maksudnya, tidak terlalu ghairah dalam mencari kedudukan dan juga jawatan dalam parti sebaliknya perlu ghairah untuk melihat kepada punca kekalahan dan mencari di mana silapnya," katanya.
Tambah Sivamurugan Umno hari ini juga harus belajar menangani sindrom penafian yang didakwanya menjadi antara faktor utama kekalahan parti itu pada PRU14.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan