Oleh Rafizi Ramli
Persoalan mengenai bentuk kerjasama di antara PKR dengan PAS
berpanjangan kerana ia 1 keputusan yang memberi kesan kepada semua,
bukannya PKR semata-mata.
Keputusan sama ada PKR menumpukan kepada persediaan pilihan raya
bersama Pakatan Harapan (PH) sepenuhnya, termasuk bersedia menghadapi
pertandingan 3 penjuru dengan PAS atau “berada di dalam 2 kolam” bersama
PH tetapi juga bekerjasama dengan PAS untuk mengelakkan pertandingan 3
penjuru adalah keputusan yang perlu mengimbangi perkara-perkara berikut:
i. Soal prinsip – adakah keperluan mengekalkan kemenangan di Selangor
atau mengekalkan kemenangan di kerusi-kerusi PKR di seluruh negara
mengatasi perkara-perkara prinsip yang selama ini menjadi roh perjuangan
PKR
ii. Soal realiti semasa – apakah situasi sokongan rakyat sekarang
kepada setiap parti untuk menilai sama ada pertandingan 3 penjuru yang
sangat ditakuti itu benar-benar memberi kelebihan mutlak kepada Umno
seperti yang dihujahkan beberapa pihak?
iii. Soal tanggungjawab moral – bahawa PKR mempunyai tanggungjawab
moral untuk berada di barisan paling hadapan dalam usaha menumpaskan
pentadbiran Datuk Seri Najib Razak demi membela rakyat. Keutamaan
membela rakyat adalah nadi yang menghidupkan parti ini sejak hari
pertama saya mengenalinya
Sudah tentu ketiga-tiga perkara di atas adalah pertimbangan berat dan
saling berhubung kait. Ia disukarkan lagi kerana penilaian kepada
ketiga-tiga perkara banyak bergantung kepada persoalan tahap sokongan
pengundi semasa yang tidak dapat dipastikan dengan mudah.
Satu-satunya cara yang paling objektif untuk menentukan tahap
sokongan pengundi semasa ialah dengan bersandarkan kepada
laporan-laporan kaji selidik tahap sokongan pengundi. Masalahnya badan
kaji selidik yang berlainan memberi gambaran dan laporan yang sangat
berbeza.
Perbezaan pendapat yang berpanjangan
Sebab itu, kepimpinan kanan PKR baik di Biro Politik atau Majlis
Pimpinan Pusat (MPP) memang berbeza pendapat mengenai perkara ini sejak
sebelum pun PH ditubuhkan.
Malah semasa Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
mengumumkan penubuhan PH dan saya mengaturkan langkah-langkah sebelum
dan selepas itu, kumpulan yang tidak bersetuju dengan penubuhan PH telah
mengumpul 1 petisyen untuk memecat saya dari jawatan setiausaha agung
pada ketika itu.
Hakikatnya, perbezaan pendapat itu berlarutan sejak pertengahan 2015 hingga sekarang di antara 2 pemikiran berbeza dalam PKR.
Di 1 pihak merasakan keutamaan parti yang tertinggi ialah mengekalkan
tampuk pemerintahan di Selangor. Oleh itu, sebarang keputusan politik
PKR mestilah mengambil kira terlebih dahulu kesannya kepada penguasaan
PKR sebagai tonggak kerajaan Selangor.
Hasil dari pendapat ini adalah mudah: PKR tidak sepatutnya mengambil
langkah yang ada risiko kerana sebarang risiko boleh menyebabkan
ketidaktentuan kepada kerajaan Selangor. Maka, pihak ini sangat menolak
sebarang perbincangan yang boleh menyebabkan berlakunya pertembungan 3
penjuru dalam pilihan raya.
Pendekatan pragmatis begini tidaklah mengejutkan kerana itu perkara
biasa dalam politik. Keakraban segelintir sahabat-sahabat pimpinan dalam
PKR dengan PAS dalam perkara ini bukanlah atas kecintaan kepada PAS
kerana beberapa orang pemuka utama yang membawa aliran ini (seperti
Latheefa Koya, N Surendran dan R Sivarasa) mempunyai rekod yang panjang
mengkritik PAS sebelum itu.
Di 1 pihak lagi merasakan PKR mempunyai tanggungjawab moral untuk
terus memimpin pembelaan rakyat melalui pembentukan 1 gabungan
pembangkang yang berpandukan kepada prinsip keadilan sosial dan
merangkumi semua kumpulan, kaum dan agama bagi menyambung usaha yang
dimulakan melalui Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Relevannya PKR
dalam politik tanah air adalah kerana PKR adalah orang tengah yang
menyatukan pelbagai kumpulan dan parti di dalam barisan pembangkang.
Kumpulan ini meletakkan tanggungjawab itu mengatasi kepentingan
memenangi kerusi kerana prinsip dan rekod perjuangan adalah lebih
penting dari pragmatis politik untuk berkuasa semata-mata. Kemenangan
yang menampakkan PKR sanggup mengorbankan prinsip perjuangan akan
menyebabkan PKR dilihat sebagai tidak berbeza dengan Umno atau
parti-parti lain.
Seluruh dunia tahu bahawa antara pimpinan kanan PKR yang berpendapat
begini adalah saya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (setiausaha agung),
Datuk Johari Abdul (ketua whip), Nik Nazmi Nik Ahmad (ketua AMK), Datin
Paduka Tan Yew Kew (bendahari agung), Syed Ibrahim Syed Noh (ketua
penerangan) dan William Leong sendiri.
PKR terbahagi 2
Sudah tentu perbezaan pendapat dalam perkara besar yang berlanjutan
panjang seperti ini akan meresahkan mana-mana parti. Ramai juga pimpinan
yang menjadi serba salah kerana perbezaan pendapat di antara 2 pihak
seperti ini dan kelihatan tersepit di tengah-tengah.
Maka, tugas Dr Wan Azizah sebagai presiden parti bukanlah mudah. Saya
faham beliau terpaksa mengemudi PKR tanpa dilihat menyebelahi mana-mana
pihak kerana kedua-dua pendapat tadi masing-masing ada baik dan
buruknya. Walau apa pun kritikan terhadap beliau, saya terhutang budi
kepada beliau kerana memimpin PKR membidani lahirnya PH di celah-celah
kecelaruan politik negara tanpa mengendahkan bantahan termasuk dari
aktivis-aktivis masyarakat sivil.
Keputusan awal sejak 2015 ialah supaya PKR membina PH dan dalam masa
yang sama mengambil pendekatan bersaudara dengan PAS atas kepercayaan
perselisihan PAS dengan rakan-rakan dalam PH dapat diredakan.
Matlamat utama ialah untuk membina 1 barisan pembangkang yang kuat
untuk masuk PRU14 dan kaedah paling logik ke arah itu ialah dengan
mendapat persetujuan 1 lawan 1 di antara parti-parti pembangkang utama
negara (termasuk PAS, sama ada ia berada dalam PH atau tidak).
Walau bagaimana pun, dalam keadaan PRU14 semakin hampir dan banyak
perkembangan terkini membayangkan PAS tidak akan bersetuju untuk tidak
bertanding di kerusi-kerusi yang diagihkan kepada Amanah dan PPBM, sudah
tentu persoalan timbul sama ada strategi pragmatis untuk terus
mendampingi PAS itu wajar.
Pertembungan di antara 2 pendekatan ini (pragmatis lawan prinsip)
dirumitkan lagi apabila tiadanya persetujuan mengenai laporan kaji
selidik yang mana yang perlu dijadikan panduan. Lebih-lebih lagi,
laporan-laporan kaji selidik yang digunakan oleh kedua-dua pihak bukan
sahaja berlainan tetapi dapatannya juga adalah bertentangan.
Kumpulan yang masih mahu mendampingi PAS sering memetik
dapatan-dapatan dari Merdeka Center dan Institut Darul Ehsan yang
menurut mereka menunjukkan (dari kaji selidik kedua-dua badan ini)
bahawa PAS adalah parti Melayu yang paling kuat. Oleh itu, pada
perkiraan mereka, sebarang pertandingan 3 penjuru dengan PAS akan
menyebabkan Umno menang besar.
Malah, perkembangan terakhir yang mendorong kepada keputusan untuk
terus berunding dengan PAS walaupun PH telah jauh berlari ke depan
adalah bersandarkan pembentangan terkini Profesor Datuk Dr Redzuan
Othman (dari Institut Darul Ehsan) dan Profesor Mohd Noor Nawawi (dari
Unisel).
Mereka memberi pendapat, berdasarkan kajian mereka, pengundi bukan
Melayu sangat membenci Umno sehinggakan mereka akan tetap mengundi
PKR/PH walaupun PKR dilihat terus berunding dan menjalin kerjasama
dengan PAS. Oleh itu, demi mencapai pertandingan 1 lawan 1, rundingan
mesti diteruskan kerana ia tidak ada kesan besar kepada sokongan
pengundi bukan Melayu kepada PKR.
Saya tidak pernah melihat data yang terperinci dari Merdeka Center
atau Institut Darul Ehsan.
Kaedah dan jenis sampel kaji selidik yang
mereka jalankan juga berbeza dari apa yang dikendalikan oleh Pusat Kaji
Selidik Invoke yang saya rujuk dalam memahami pola sokongan rakyat
terkini.
Sudah tentu dapatan kaji selidik Invoke sangat berbeza malah
bertentangan dengan dapatan Merdeka Center dan Institut Darul Ehsan itu.
Seawal Januari 2017, dalam kaji selidik yang terbesar pernah dibuat di
negara ini mengenai kecenderongan mengundi, kami dapati undi Umno sudah
pun jatuh ke tahap 40%. Itu memungkinkan senario pertandingan 3 penjuru
yang berpihak kepada PH jika undi bukan Melayu kekal tinggi dan PH
berjaya mendapatkan 30% sokongan Melayu. Setakat kaji selidik terkini
iaitu Julai 2017, kaji selidik Invoke menyimpulkan undi Melayu PH adalah
hampir sama dengan undi Melayu Umno iaitu sekitar 30+ %.
Pertembungan 2 set data berbeza yang masing-masing menyokong pendapat
1 pihak juga disebabkan oleh latar belakang setiap badan yang
mengeluarkan dapatan tersebut.
Invoke ditubuhkan oleh saya. Maka dapatannya dituduh berat sebelah
hanya untuk menyokong pandangan saya dan rakan-rakan. Kaedah dan sistem
yang digunakan oleh Invoke menepati piawaian antarabangsa dan saya
pastikan data dan dapatan dibuka kepada orang ramai agar jika benar ada
manipulasi, ia boleh dibuktikan segera.
Institut Darul Ehsan adalah milik Kerajaan Selangor dan bergantung
belanjawannya kepada ihsan Menteri Besar Selangor. Malah, kaji selidik
IDE hanyalah melibatkan pengundi di Selangor (bukannya di seluruh
Malaysia) dan sehingga kini, saya masih belum diyakinkan sama ada sampel
yang dipilih adalah benar-benar rawak seperti kehendak sebuah kaji
selidik.
Bagi Merdeka Center pula, saya tidak pernah melihat laporan
kecenderongan pengundi seluruh negara yang terkini. Merdeka Center juga
tidak pernah menyiarkan berapa orang yang ditelefon, berapa kadar jawab,
bagaimana sampel itu dipilih untuk memastikan ia benar-benar rawak dan
pelbagai soalan lain. Saya juga tahu pengurusan Merdeka Center juga
diberi tanggungjawab menguruskan 1 projek bernama #teamSelangor di bawah
Kerajaan Selangor yang dimaklumkan melibatkan peruntukan RM13 juta.
Bagi saya pula, sementara saya menerima pelbagai input dari Institut
Darul Ehsan dan Merdeka Center, kaji selidik mereka yang dikemukakan
untuk menyokong pendapat kumpulan yang mahu terus berunding dengan PAS
ini tidaklah menggambarkan keadaan sebenar dan tidaklah sebebas yang
didakwa kerana keterlibatan mereka secara rapat dengan pentadbiran
Azmin.
Oleh sebab ini jugalah (dan peranan maklumat yang berbeza-beza dari
kaji selidik seperti yang saya sebut di atas), perbezaan pendapat kami
di peringkat pimpinan berpanjangan sejak 2015 dan menjadi lebih kuat
dengan dapatan terkini yang dibentangkan oleh Redzuan dan Mohd Noor
mengenai sokongan pengundi Cina yang tidak begitu terkesan dengan
kerjasama PKR-PAS.
Usaha mustahil membuahkan hasil
Mengambil kira perkara-perkara ini, saya bimbang perkara ini akan
terus berlanjutan dalam bulan-bulan terakhir sebelum PRU14 kerana ia
mengheret sama PH dalam keadaan secara rasionalnya, sebarang rundingan
di antara PKR-PAS yang tidak melibatkan PH adalah 1 usaha yang mustahil
membuahkan hasil.
Saya menyebut begitu kerana PKR tidak boleh merundingkan bagi pihak
Amanah dan PPBM dalam keadaan sebahagian besar tuntutan PAS itu
melibatkan Amanah, PPBM (dan juga DAP). PAS berkehendakkan supaya
kerusinya di Selangor dan seluruh negara tidak disentuh. Ini bermakna
Amanah dan PPBM tidak ada kerusi untuk bertanding. Saya tidak yakin PKR
dan DAP akan menyerahkan kerusi kepada Amanah dan PPBM semata-mata untuk
memenuhi tuntutan PAS.
Oleh itu, dalam keadaan rundingan itu mustahil membuahkan apa-apa
kerana PKR tidak ada kuasa dan mandat untuk memaksakan persetujuannya ke
atas PH, rundingan pada saat ini hanya akan melengah-lengahkan
rundingan kerusi di peringkat PH yang sedang berjalan.
Dengan kenyataan demi kenyataan PAS yang bukan sahaja menolak
pelawaan kumpulan dari PKR yang mahu berkawan tetapi menghina PKR dari
semasa ke semasa, strategi terus melayan karenah PAS dan menyakitkan
hati rakan dari PH hanya akan menyebabkan kekalahan seberapa ramai calon
PKR termasuklah dari kalangan mereka yang tidak bersetuju dengan
pendekatan itu.
Ini kerana dalam proses cuba memujuk PAS itu, PKR akan dilihat tidak
berprinsip dan mementingkan diri. Apabila rundingan itu gagal akhirnya
(kerana ia mustahil dicapai seperti disebut di atas), PKR bukan sahaja
tidak mendapat undi dari penyokong PAS, malah hilang undi bukan Melayu
dan pengundi tegar PH yang marah dengan tindakan membelakangkan PH itu.
Itulah latar belakang kenapa tidak ada titik pertemuan atau kompromi
di kalangan pimpinan PKR di peringkat Biro Politik atau Majlis Pimpinan
Pusat mengenai isu ini. Perbezaan pendapat ini telah berlanjutan terlalu
lama dan kita tidak lagi boleh mengheret anggota biasa PKR dan rakyat
keseluruhannya ke dalam kancah ini.
Perbezaan pendapat ini juga telah membahagikan parti ini kepada 2
kumpulan sejak kebelakangan ini sehinggakan mengelirukan akar umbi untuk
meneka pandangan setiap pemimpin pusat. Oleh kerana ada di kalangan
pemimpin pusat yang turut memegang jawatan kanan di peringkat PH,
perbezaan pendapat ini ada kesan kepada persediaan PRU14.
Di satu pihak, yang bersetuju dengan Azmin untuk terus berunding
dengan PAS termasuklah naib-naib presiden Tian Chua, Shamdul Iskandar,
Xavier Jeyakumar dan Dr Shaharuddin. Pimpinan lain yang dikenali ramai
yang bersetuju dengan pandangan ini ialah Zuraida Kamaruddin (ketua
wanita), ahli-ahli Biro Politik iaitu Sivarasa, Datuk Saifuddin Abdullah
(yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan), Datuk Kamaruddin Jaafar,
Fahmi Fadzil (Pengarah Komunikasi) dan N Surendren. Ahli MPP pula
termasuklah Elizabeth Wong, Hee Loy Sian, Siti Aaishah Sheikh Ismail, Dr
Mohamad Nur Manuty, Latheefa, Afif Baharuddin dan Haniza Talha.
Di satu pihak yang tidak bersetuju dan mahukan komitmen penuh kepada
PH, selain saya sendiri, termasuklah Saifuddin, Nik Nazmi, Tan Yew Kew,
Syed Ibrahim, Johari, Sim Tze Tzin (pengarah strategi), Fariz Musa
(ketua setiausaha pengelola), William Leong, Jeneral (B) Datuk Hadi
(pengerusi Lembaga Disiplin) dan Christina Liew (pengerusi Sabah).
Pimpinan lain yang berpendapat begini di peringkat MPP antaranya ialah
Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, Wong Chen, Rodziah Ismail, Fuziah
Salleh, Manivanan, Gooi Hsiao Loong, Azan Ismail, Dr Idris Ahmad, Dr
Azman Ismail, Hassan Karim dan Aminuddin Haron.
Pembahagian pimpinan mengikut pendapat masing-masing sebegini berlaku
dari peringkat Biro Politik ke MPP hinggalah ke peringkat akar umbi.
Oleh yang demikian, sampai masanya ia diputuskan secara keseluruhan
mengikut Perlembagaan parti supaya jalan buntu itu diselesaikan mengikut
kaedah terbaik iaitu demokrasi.
Saya mengesyorkan supaya 1 kongres khas kebangsaan dipanggil dengan
segera untuk memutuskan perkara ini dengan melibatkan pengundian
perwakilan cabang-cabang PKR dari seluruh negara seperti yang
diperuntukkan perlembagaan parti. Setelah undian dibuat dan kedua-dua
pihak ada peluang yang adil untuk membentangkan hujah masing-masing,
saya yakin apa pun keputusannya keseluruhan anggota PKR dari atas hingga
bawah bertanggungjawab memikul apa-apa kesan dari keputusan itu tanpa
boleh menuding jari kepada 1 pihak lagi.
Hanya dengan keputusan yang dimuktamadkan mengikut kaedah kongres
khas ini barulah kita boleh berlaku adil kepada rakyat Malaysia,
rakan-rakan PH dan diri kita sendiri.
Rafizi Ramli adalah naib presiden PKR dan Ahli Parlimen Pandan
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan