GST sifar, perangi manipulasi harga barang

Oleh Nurul Izzah Anwar

 Tindakan kerajaan PH mengkadarsifarkan GST pada 1 Jun 2018 hanya permulaan dalam memastikan bebanan rakyat dapat dikurangkan. Komitmen menteri hal ehwal ekonomi, Datuk Sri Mohd Azmin Ali dalam memberi jaminan tiada harga barang akan naik selepas dikenakan kadar sifar GST harus disambut baik oleh semua pihak, terutamanya peniaga.

Namun saya menyeru kerajaan PH agar tampil lebih berani dalam memerangi manipulasi harga daripada orang tengah yang boleh mempengaruhi kenaikan harga barang dengan mengambil kadar keuntungan yang keterlaluan. Kita harus belajar daripada kelemahan kerajaan BN yang gagal membanteras manipulasi harga orang tengah dalam pasaran dan mengenakan cukai GST sehingga bebanan kos sara hidup rakyat kian meningkat.

400,000 ahli ‘Friends of KPDNKK’ perlu diberi penjenamaan semula dari segi tugas dan peranan bagi membantu pihak berkuasa memantau kenaikan harga barang dan peniaga yang tidak bertangggungjawab. Usaha untuk mengawal harga barang akan lebih berjaya sekiranya pihak pegawai KPDNKK yang sedia ada bekerjasama dengan orang awam. Laporkan  tindakan memanipulasi harga dan peniaga yang menaikkan harga barang di talian hotline KPDNKK di 1-800-886-800 atau membuat aduan di pejabat KPDNKK yang berdekatan.

Inisiatif yang baik dan inklusif wajar diteruskan dengan mapan, dengan pendekatan matang - bukan ditolak secara nyata hanya kerana ia datang dari pemerintahan Umno-BN yang selama ini dilihat gagal memaksimumkan penguatkuasaan harga barang sehingga menyebabkan rakyat terbeban, khususnya menjelang perayaan penting di Malaysia.

Saya turut menggalakkan inisiatif seumpama ‘Friends of KPDNKK’ dilaksanakan di kementerian-kementerian lain demi mengangkat suara rakyat dan memberdayakan masyarakat secara terus, tanpa sebarang sekatan. Langkah ini pastinya memanfaatkan setiap kementerian yang wajar mengutamakan sokongan rakyat dalam pelaksanaan setiap dasar dan agenda.

*Nurul Izzah Anwar adalah ahli parlimen Permatang Pauh merangkap naib presiden PKR.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan