DI negara tertentu terutama Asia, politik wang sudah menjadi ‘perkataan kod’ untuk membeli bagi memperoleh kuasa.
Dan selepas itu “untuk mendapatkan
semula apa yang telah dibelanjakan termasuk sedikit keuntungan bagi
pusingan akan datang dalam pembelian undi”.
Salah satu masalah besar ialah orang yang
berkuasa mahu menyimpan wang. Simpan untuk dirinya sendiri. Jadi,
mereka menyingkirkan orang muda yang mampu dan mahu menyertai pasukan
mereka.
Hasilnya, tidak ada bakat dalam parti-parti politik sekarang,
Maka kalau ahli UMNO sayangkan parti yang akan
menyaksikan pemilihan setelah Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi
parti itu tumbang 9 Mei lalu, elakkan politik wang. Sekalipun wujud
sebelum ini, tamatkan kisahnya. Janganlah dihidupkan semula politik
wang.
Kita berkhidmat kepada parti, bila sampai masa kita tawarkan diri, ditakdirkan Allah kita terpilih, kita tetap akan terpilih.
Kita akui bukan semua cawangan dihidapi penyakit
ini dan bukan semua orang yang bertanding merebut jawatan dalam UMNO
mengamalkan rasuah politik. Ada pemimpin yang bersih daripada amalan
rasuah politik dan ada juga ahli perwakilan yang menolak sogokan dan
habuan yang sememangnya diharamkan itu.
Menerusi sistem pemilihan sedia ada yang memberi
ruang kepada 146,500 perwakilan (pusat), siapa yang mampu untuk
menggerakkan politik wang? Maka sudah tentu ada ketelusan pemilihan kali
ini, bukan saja jangan ada sebarang unsur politik wang, besar atau
kecil, tetapi kalau pun ada, perwakilan UMNO hendaklah bertanya kepada
diri mereka masing-masing. Adakah mereka sanggup memilih orang kerana
orang itu menyogokkan wang.
Dalam jumlah perwakilan ramai ini, dipercayai
akar umbi akan memilih bukan berdasarkan kempen yang dibuat semata-mata.
Yang akan dinilai rekod prestasi dalam keadaan rebah bangun politik,
sepak terajang politik dan susah senang politik, di mana kita berada?
Adakah benar kita orang yang aktif, komited, yang tidak berjuang atas
dasar politik wang, yang berkredibiliti dan berkewibawaan? Maka kita
akan dinilai oleh perwakilan.
Politik wang adalah satu bahana yang
sangat-sangat buruk kepada mana-mana parti. Jika seseorang mengejar
jawatan dalam parti sehingga sanggup menyogok orang lain. Pertama,
secara tidak langsung, dia juga bakal disogok apabila dia berkuasa.
Kedua, jika seseorang terpaksa menggunakan
pengaruh wang bagi dia mendapat kedudukan, bermakna orang-orang itu
adalah orang yang tidak mempunyai keyakinan diri. Dia merasakan kuasa
wang yang membolehkan dia mendapat jawatan dan juga barangkali mereka
tidak yakin dengan apa yang mereka lakukan sendiri.
Selain rasuah politik, satu perkara yang
memeranjatkan pada suatu ketika ialah penggunaan bomoh dan pawang oleh
calon yang bertanding. Ada yang kononnya boleh membantu melalui khidmat
‘wali’.
Begitu juga ada khidmat bomoh dan pawang termasuk
bomoh Siam, Orang Asli, Jawa dan pawang Melayu telah digunakan oleh
sebilangan calon yang benar-benar ingin menang.
Penggunaan pawang dan bomoh oleh orang politik
untuk mendapat sesuatu, terutama jawatan penting, bukan perkara baharu.
Lihat saja apa yang terjadi pada awal 1990-an ke atas seorang bekas Ahli
Dewan Undangan sebuah negeri yang bercita-cita menjadi Menteri Besar
dengan menggunakan khidmat seorang bomoh wanita, sehingga kisahnya
berakhir dengan tragis.
Mereka yang memberi adalah sama bersalah dengan
mereka yang menerima. Pemberi adalah penjenayah dan penerimanya juga
penjenayah yang merupakan golongan yang tergamak menjual dan menggadai
maruah mereka tanpa sebarang keraguan.
Kalau tiada pemberi, penerima pun tidak akan
wujud. Kalau ada pemberi tetapi tiada penerima atau ada peminta tetapi
tiada pemberi, maka sudah pasti politik wang tidak akan wujud.
Dan nescaya UMNO akan bersih daripada musibah ini kini dan selamanya.
Persaingan presiden tak rigid
SISTEM pemilihan UMNO yang kali
kedua dilaksanakan selepas pemilihan parti 2013, membolehkan siapa jua
ahli parti dengan kelayakan minimum sekurang-kurangnya menjadi anggota
parti selama sepenggal atau tiga tahun layak untuk bertanding di
peringkat bahagian.
Bagi jawatan peringkat Pusat sama ada Ahli Majlis
Tertinggi (MT), Naib Presiden, Timbalan Presiden dan waima Presiden
sekalipun, kelayakan minimum adalah menjadi ahli jawatankuasa (AJK)
bahagian selama sepenggal.
Sistem pemilihan ini mengadaptasi sistem
Electoral College yang menggabungkan sistem pemilihan dari Amerika
Syarikat dan United Kingdom.
Beberapa persoalan timbul tentang bagaimana ia dilaksanakan dan bagaimana ia dikatakan mampu menyuburkan demokrasi dan telus?
Paling utama sistem baharu ini akan menyaksikan
lebih ramai ahli parti iaitu 146,500 perwakilan terlibat secara langsung
memilih kepimpinan bahagian dan MT. UMNO mempunyai 3.6 juta ahli.
Perwakilan daripada cawangan, yang sebelum ini
hanya menentukan kepimpinan bahagian, kini turut diberi peluang memilih
kepimpinan peringkat pusat.
Berbeza dengan sistem lama, hanya 2,500 perwakilan layak mengundi bagi memilih kepimpinan tertinggi parti.
Di bawah perlembagaan parti, UMNO kini mempunyai
konsep keterbukaan dan tak rigid (ketat) sangat. Katakan dulu ada
halangan untuk dapat pencalonan untuk bertanding di bahagian atau pusat,
sekarang sudah tiada.
Cuma yang diperlukan ialah kelayakan daripada segi keahlian dan jawatan di bahagian.
0 comments:
Catat Ulasan