Pas agak terancam di Terengganu, kata Husam

 


Oleh Arif Atan

Bekas Naib Presiden AMANAH, Senator Datuk Husam Musa berpendapat kerajaan Pas Terengganu boleh jatuh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lantaran tiada perbezaan dasar pentadbiran negeri itu dengan Umno atau berbanding negeri-negeri lain.

Menurutnya, kedudukan Pas akan terjejas ekoran keputusan Umno Terengganu akan meletakkan calonnya di semua lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

“Pas agak terancam di Terengganu. Umno Terengganu sudah membuat ketetapan akan meletakkan calon menentang calon-calon Pas.

“Pertandingan dua atau tiga penjuru dalam PRU akan datang tidak sama dengan PRU14. Kerajaan Pas di Terengganu boleh tumbang dalam PRU akan datang,” katanya kelmarin.

Husam berkata demikian ketika menjawab soalan peserta dalam Dialog Isu-Isu Rakyat & Hal Ehwal Semasa di Rumah Rehat, Temerloh.

Untuk rekod, Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengulangi pendirian untuk tidak akan bekerjasama dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU15.

Ahmad yang juga Ketua Umno Bahagian Kemaman menegaskan tidak wujud Muafakat Nasional (MN) di Terengganu apabila kerajaan negeri diterajui Pas dilihat tidak berlaku adil kepada wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Dua kali lima

Mengulas lanjut, Husam yang juga bekas Naib Presiden Pas itu berpendapat cara pemerintahan parti tersebut di Terengganu adalah dua kali lima sahaja dengan kerajaan negeri lain.

Bekas Exco kerajaan negeri Kelantan berkenaan menyifatkan dasar dan polisi negeri jirannya itu tidaklah bersifat jauh lebih baik dari segi keadilan dan agihan kemakmuran kepada rakyat.

“Apa yang lebih Islamnya kerajaan negeri Terengganu di bawah Pas dengan Umno dan Terengganu dengan negeri-negeri lain?

“Tolong senaraikan tiga. Tiada benda. Apa Islamiknya Terengganu sehingga kita mahu jadi rakyat Terengganu dan mahu Malaysia jadi macam Terengganu?” bidasnya.

Husam menganggap jika Pas di Terengganu mengamalkan nilai-nilai Islam dalam dasar pentadbiran, negeri di Pantai Timur itu sudah muncul menjadi negeri terbaik untuk dicontohi kerajaan negeri lain bahkan kerajaan Persekutuan.

“Pas Terengganu begitu baik sekali. Menteri Besar potong gaji. Kereta pun kecil saja. Rakyat pun bertambah senang. Tiada lagi orang miskin. Yang tiada rumah dapat rumah.

“Nelayan-nelayan kecil dapat bot-bot yang canggih. Enjin rosak ditukar baru, pukat-pukat ditambah,” sindirnya jika Pas di Terengganu terbukti lebih baik berbanding parti dan negeri lain.

Bahkan, Husam berpendapat jika pemerintahan kerajaan negeri Pas di Terengganu lebih Islamik hanya pihak yang menawarkan harga lebih baik serta menjamin pemeliharaan alam sekitar akan dipilih untuk terlibat dalam industri unsur nadir bumi (REE) di negeri itu.

“Saya difahamkan penganugerahan tanah lombong unsur nadir bumi ini diberi kepada orang di luar Terengganu yang menyebabkan anak jati Terengganu sendiri tidak puas hati.

“Tidak telus. Tiada tender terbuka. Tiada rekod hasil lebih tinggi. Saya tahulah juga hal di Terengganu ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor berpendapat Pakatan Harapan (PH) perlu mengambil peluang menyusun strategi atas kemungkinan tumbangnya Pas di Terengganu dalam PRU15.

“Jadi, kalau balik semula kepada Umno pun tiada masalah. Tapi PH pun kena ambil peluang,” kata Husam lagi.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan