PETALING JAYA: Lawyers For Liberty berkata tidak salah sekiranya
kerajaan meringankan hukuman mati ke atas bekas pegawai polis, Sirul
Azhar Umar yang disabitkan kesalahan membunuh warga Mongolia, Altantuya
Shaariibuu pada 2006.
Pengarah Eksekutifnya Eric Paulsen berkata, ini kerana manifesto
Pakatan Harapan (PH) ada menyenaraikan janji membuat penambahbaikan
undang-undang yang melanggar hak asasi manusia iaitu menghapuskan
hukuman gantung secara mandatori.
“Ini ada dalam manifesto Pakatan Harapan. Jadi saya rasa tindakan ini
belum lagi, kita tidak tahu sama ada akan dilakukan atau tidak. Tapi
sekiranya dilakukan saya rasa tidak melanggar prinsip, ia ada di dalam
manifesto mereka,” katanya
Jumaat lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata hukuman
mati terhadap Sirul mungkin diganti dengan hukuman penjara supaya dia
boleh diekstradisi ke Malaysia.
“Kita mungkin akan batalkan hukuman gantung, tapi digantikan dengan
hukuman penjara supaya beliau boleh kembali ke tanah air,” katanya
sambil menambah usaha membawa Sirul pulang ke Malaysia akan terbantut
jika hukuman mati dikekalkan.
Mengulas lanjut, Eric berkata pembunuhan Altantuya merupakan kes yang
besar dan sangat serius kerana ia melibatkan Unit Tindakan Khas (UTK).
“Ia melibatkan isu yang sangat penting, bukan pembunuhan yang biasa
sebab dia menggunakan (bom) C4. Ini perkara yang sangat besar dan kita
perlu tahu siapa yang mengarahkan Altantuya dibunuh,” katanya.
Beliau juga mencadangkan kerajaan PH dan Peguam Negara mengkaji
semula peruntukan undang-undang yang mempunyai hukuman gantung
mandatori.
“Dari situ saya syorkan sesuatu moratorium akan dikuatkuasakan
secepat mungkin agar semua hukuman gantung yang telah diputuskan
digantung sementara hukuman mereka dan digantikan dengan hukuman penjara
seumur hidup,” katanya.
Pada April 2009, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati ke atas
Sirul dan bekas ketua inspektor, Azilah Hadri kerana membunuh Altantuya,
28, di sebuah hutan di pinggir Kuala Lumpur pada Oktober 2006 dengan
badannya diletup menggunakan bahan letupan gred tentera.
Mereka bagaimanapun dibebaskan Mahkamah Rayuan pada Ogos 2013, tetapi
Mahkamah Persekutuan pada Januari 2015 mengembalikan sabitan bersalah
itu dan menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka berdua.
Sirul melarikan diri ke Australia sebelum penghakiman Mahkamah
Persekutuan dan ditahan di pusat tahanan imigresen Australia di Sydney
sejak 3 tahun lalu, sementara Azilah menunggu hukuman mati di Penjara
Kajang.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan