PETALING JAYA: Seorang pemimpin Pemuda PKR memberi amaran kepada
Pakatan Harapan agar jangan mudah memungkiri dasar-dasarnya, selepas Tun
Dr Mahathir Mohamad mencadangkan manifesto pilihan raya gabungan itu
bukan sesuatu yang tidak boleh diubah.
Ketua Strategi Pemuda Pakatan Harapan, Syukri Razab berkata,
kenyataan perdana menteri boleh menjadi duluan kepada kerajaan untuk
memungkiri janji-janji yang terkandung dalam manifesto bersama untuk
pilihan raya lepas.
“Tindakan ini seolah-olah menggambarkan manifesto yang dibuat sebelum
Pilihan Raya dahulu tidak dibina atas asas yang benar-benar kukuh.
Walhal kita semua maklum manifesto itu adalah natijah daripada pungutan
suara rakyat hasil daripada berpuluh tahun perjuangan pakatan
pembangkang sebelum ini,” kata Syukri.
Beliau berkata satu janji sudah dimungkiri, iaitu apabila kerajaan
berkata ia akan mengubah suai Biro Tata Negara (BTN), walaupun ia
berjanji untuk memansuhkan program yang dikritik sebagai “alat membasuh
otak” kerajaan dulu.
Beliau tertanya apakah kerajaan PH bawah Dr Mahathir juga akan mengekalkan Akta Universiti dan Kolej Universiti.
Semalam, Dr Mahathir mempertahankan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof
sebagai pilihan PH untuk jawatan speaker Dewan Rakyat walaupun gabungan
itu sebelum ini berjanji untuk melantik seorang wakil rakyat.
“Saya ingatkan manifesto bukan ‘Bible’, ia hanyalah panduan.
Kadang-kadang kita boleh melakukan sesuatu, kadangkala kita dapati ia
tidak boleh dilakukan. Jadi, kita perlu praktikal,” katanya.
Syukri berkata walaupun manifesto bukan kitab suci, dokumen tersebut
perlu dimuliakan sebagai janji-janji yang membuka laluan kepada Pakatan
Harapan membentuk kerajaan.
“Jika benar-benar terdapat keperluan untuk meminda sesuatu janji, hal
tersebut mestilah dibuat dengan memuliakan suara rakyat mengikut kaedah
pungutan suara,” tambahnya.
“Hal ini penting supaya rakyat memahami bahawa Kerajaan hari ini tidak akan senang-senang untuk mengubah janji.”
0 comments:
Catat Ulasan