Harga rumah tidak naik apabila SST dilaksana

KUALA TERENGGANU, 20 Julai — Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dijangka tidak akan memberi banyak kesan terhadap harga rumah di negara ini, kata Timbalan Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah.

Beliau berkata secara teorinya harga rumah akan turun jika SST dilaksanakan berbanding ketika Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Di peringkat awal ini mungkin kita belum boleh kesan impak pelaksanaan SST terhadap harga rumah.. .tetapi secara teori harga rumah akan turun.

“Berbanding dengan GST, cukai dikenakan terhadap semua komponen barang binaan seperti kayu, besi dan sebagainya dan ini memang yang mana ia menyumbang kepada kenaikan harga rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis kesyukuran dan doa selamat atas pelantikan sebagai Senator dan Timbalan Menteri di kediamannya di Batu Buruk, di sini, semalam.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam sidang media di bangunan Parlimen semalam berkata Kementerian Kewangan mengakui pelaksanaan SST iaitu cukai jualan sebanyak 10 peratus dan cukai perkhidmatan sebanyak 6 peratus  akan membebankan pengguna, tetapi kesannya hanya separuh berbanding GST.

Beliau berkata, SST merupakan cukai seperingkat yang dikenakan ke atas pengilang dan bukannya pengguna, manakala GST adalah cukai pelbagai peringkat yang terpaksa dibayar dan dikutip pada setiap peringkat rantaian bekalan.

Dalam pada itu, Raja Bahrin yang juga pengerusi Parti Amanah Negara Terengganu berkata pihaknya mohon bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi mencari mekanisme terbaik bagi memastikan harga rumah di Terengganu berpatutan dengan pendapatan rakyat di negeri ini.

Beliau berkata langkah itu perlu memandangkan rumah yang agak terhad serta harga pasaran yang tinggi dan di luar kemampuan rakyat Terengganu yang rata-rata mempunyai pendapatan isi rumah terendah di negara ini.

“Mungkin kita boleh letak dalam harga rumah mampu milik dalam RM50,000 hingga RM70,000.. itu pun sudah cukup tinggi dan di luar kemampuan mereka kerana pendapatan yang tidak seberapa ... kerana peluang kerja sangat terhad di sini berbanding di Pantai Barat” katanya.  — Bernama
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan