Kerusi Parlimen: Anwar pegang kepada konsensus PH, tidak perlu terburu-buru

Presiden PKR yang menang tanpa bertanding Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan akan mengikut konsensus yang ditetapkan oleh parti gabungan dalam Pakatan Harapan untuk meletakkannya sebagai Ahli Parlimen.

Beliau berkata kesepakatan itu harus dipegangnya dan beliau tidak akan terburu-buru untuk menjadi ahli parlimen dalam waktu terdekat ini.

” Yang saya tahu pandangan konsensus dari awal bahawa peralihan kuasa berlaku dalam tempoh yang terdekat melalui penyertaan saya dalam Parlimen.

“Sekarang ini kita beri sokongan padu kepada Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri) menerajuinya.

“Saya beri laluan dan peluang penuh untuk beliau kemudi kerajaan tanpa tekanan atau gangguan,” ujarnya dalam sidang media yang diadakan di Ibupejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata, ada pandangan yang dilihat jangkal kerana konsensus itu, ada pihak yang mahukan beliau menjadi ahli Parlimen agar dapat melakukan peralihan kuasa.

“Sekarang belum lagi… saya masih teliti. Ada yang mempelawa saya (menyerahkan kerusi) saya hargai. Tapi jangan kita doakan orang mati.

“Andainya akan berlaku selama dua tahun tidak ada yang mati atau berlaku setelah lima tahun, ada yang kata unnatural.

“Saya kurang mengerti fahaman ini sedangkan orang yang memahami politik, akan memahami peralihan ini sesuatu perkara biasa.

“Ini kerana keputusan itu dibuat ketika saya masih lagi dalam penjara. semua pimpinan parti waktu itu menyatakan bahawa ia harus berlaku sama ada segera atau sebaliknya.

“Saya kata tak perlu segera. Apa yang perlu disegerakan adalah proses pemilihan.

“Proses itu harus berlaku dengan bermulanya penyertaan saya sebagai ahli parlimen,” ujarnya yang mengulas mengenai beberapa ahli Parlimen PKR sebelum ini yang sedia memberikan laluan kepada Anwar.

Anwar turut menjelaskan beliau akan bertemu dengan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan itu, untuk memaklumkan kemungkinan memberi ruang kepada beliau menjadi ahli parlimen.
” Saya akan berbincang dengan Tun M untuk memberi ruang kepada saya menjadi ahli parlimen untuk memulakan proses reform parlimen,” ujarnya.

Ditanya media sama ada beliau berhasrat untuk bertanding di kerusi PRK Dun Seri Setia, Anwar dengan berseloroh menyoal kembali wartawan: “Saya nak jadi menteri besar kah? Tak perlulah. Saya tidak terfikir pun ini masuk dalam perancangan. Saya diminta untuk sertai parlimen sebagai penyokong kerajaan.

“Untuk reform Parlimen adalah agenda besar agar kuasa Parlimen itu tidak hanya tertumpu kepada kabinet tetapi diberikan kesempatan untuk Parlimen berfungsi sebagai sebuah Parlimen dalam negara demokrasi,” ujarnya yang membayangkan beliau mahu menumpukan kepada backbanchers  kerajaan.
Sebelum ini beberapa ahli Parlimen PKR telah menyatakan kesediaan mereka untuk menawarkan kerusi kepada Presiden PKR itu.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong sebelum ini berkata, Ahli Parlimen PKR sedia mengosongkan kerusi mereka bagi memberi laluan kepada Anwar.

Ia turut disuarakan oleh Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul yang sedia mengosongkan kerusinya untuk Anwar.

Terdahulu, timbul spekulasi bahawa Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran ditawarkan RM25 juta untuk mengosongkan kerusinya buat Anwar bagaimanapun menafikan khabar angin tersebut.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan