Perkara Perkara Menarik Sekitar Prk N49 Sungai Kandis Selangor

Oleh HAYAR HASSAN

Tanggal 21 Julai 2018, seusai proses Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil(PRK) Dewan Undangan Negeri(DUN) N 49 , Sungai Kandis Selangor, kita telah dimaklumkan bahawa ianya adalah pertarungan tiga penjuru. Calon Pakatan Harapan(PH), Saudara Mohd Zawawi Ahmad Mughni daripada PKR, seorang agamawan lulusan Universiti Al Azhar akan berhadapan dengan Datuk Lokman Noor Adam daripada UMNO yang mewakili BN. Calon ketiga bukannya daripada PAS, tetapi adalah calon bebas Saudara K Murthy. Sebelum ini apabila disebut pertarungan 3 penjuru, sewajarnya calon PAS turut menyertainya!

Pada PRU 14 lalu, PAS turut menyertai dalam pertandingan 4 penjuru dan hanya mampu meraih 7,573 undi(14.9 % daripada jumlah pengundi berdaftar), sedangkan pengundi Melayu adalah merupakan 72 % daripada jumlah keseluruhan pengundi DUN N 49, Sungai Kandis. Sepatutnya PAS turut menyertai PRK ini supaya tohmahan PAS bekerjasama dengan UMNO/BN dapat ditepis. Keputusan PAS untuk tidak masok bertanding PRK ini seolah-olah mengesahkan persepsi masyarakat bahawa PAS dan UMNO/BN sememangnya ada mempunyai persefahaman dan kerjasama, cuma tidak dimeteraikan sahaja!

Suatu perkara yang menarik dan sempat menjadi perbualan hangat orang ramai, sebelum PRU 14 lalu adalah pro dan kontra pertandingan 3 penjuru. UMNO/BN secara jelas berusaha dengan gigih memecahbelahkan Pakatan Rakyat(PR) dan mengharapkan PAS bertanding juga bagi kerusi-kerusi majoriti Melayu. UMNO/BN berharap apabila undi Melayu terpecah tiga, BN akan muncul sebagai pemenangnya. Itu adalah strategi UMNO/BN yang tidak kesampaian. Ternyata daripada keputusan PRU 14 untuk N 49 DUN Sungai Kandis, jumlah undi yang diterima oleh calon UMNO/BN dan PAS adalah 19,091 sahaja, sedangkan jumlah undi yang diterima oleh Allahyarham Mat Shuhaimi Bin Shafie yang mewakili PH adalah 23,998. Rupanya strategi 3 penjuru itu yang membolehkan UMNO/BN adalah tidak tepat dan jauh tersasar daripada realiti.

Pada pendapat saya, pimpinan Pakatan Harapan(PH) telah membuat keputusan yang tepat dan betul apabila tidak terus mengharapkan PAS menyertai PH. Kini PH sudah tidak perlu lagi berfikir-fikir untuk menghulur tangan kepada PAS. Mengenang kembali episod-episod cemas semasa PAS masih berada dalam Kerajaan PR dahulu di Selangor menjelang PRU 14 adalah umpama mimpi buruk kepada semua penyokong PH.

Berkerjasama dan bermaufakat dengan PAS adalah suatu pengalaman pahit bagi semua aktivis PH terutamanya kepada penyokong dan aktivis Parti Amanah. Yang amat pahit diterima adalah label-label yang telah dilontarkan kepada ahli-ahli AMANAH. Sehingga kini tiada pun permohonan maaf atau pun kekesalan daripada pimpinan PAS dan ahli-ahli PAS atas tohmahan tersebut. Biarkan lah cerita itu dalam lipatan sejarah sahaja. Tidak macam DSAI serta keluarga yang boleh melupakan apa yang telah dilakukan oleh YAB Tun Dr Mahathir Mohamad kepada mereka.

Keputusan pimpinan Parti Keadilan Rakyat(PKR) meletakkan seorang lulusan agama, anak jati Sungai Kandis dan bekas pimpinan ABIM Selangor dalam PRK Sungai Kandis ini adalah suatu yang melegakan dan tepat. Kalau kita amati, akhir-akhir ini kumpulan agamawan kurang ditongolkan dan diberikan peranan penting dalam PKR . Nama-nama agamawan seperti Dr Badrul Amin dan Dr Mohd Noor Manuty seperti sudah tenggelam. Kita tidak pasti apa kah arah halatuju PKR selepas era DSAI nanti. Ada kah masih ada peranan agamawan dalam PKR nanti ? Ada kah ustaz-ustaz dalam PKR diberikan peranan sekadar mengepalai bacaan doa dalam majlis-majlis resmi sahaja? Apa kah memadai Ustaz Wan Ji Wan Hussin, bekas aktivis PAS yang dibawa masok ke PKR direkomen sekadar menjadi Pegawai Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang sahaja ?

Kalau kita amati, tokoh-tokoh bekas ABIM dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM) yang pernah diangkat menjadi Ahli Parlimen dan ADUN dalam PKR seperti Datuk Idris Jusi, mantan Ahli Parlimen Batu Pahat dan Datuk Maktar Shafee, mantan ADUN Sungai Bakap, Pulau Pinang telah direhatkan.

Seperti yang kita maklumi, PKR akan mengadakan pemilihan pucuk pimpinan parti dalam bulan Ogos 2018 . Seperti yang telah dimaklumkan , DSAI tidak dapat turut serta untuk berkempen dalam PRK ini. Beliau masih perlu banyak berehat selepas berjaya menjalani pembedahan pada bahu dan belakang di Turki. Untuk PRK ini tentunya PH tidak akan mempunyai masalah untuk mengadakan program-program ceramah kerana tokoh-tokoh PKR yang bakal bertanding dalam pemilihan parti nanti pastinya akan berbondong-bondong datang ke Sungai Kandis untuk berkempen. Tokoh-tokoh pimpinan PH juga tiada masalah untuk turun berkempen kerana Sungai Kandis terletak dekat dengan Putrajaya.

Sebelum ini saya pernah menulis betapa kekalahan teruk PH di Kelantan dan Terengganu adalah mungkin disebabkan oleh tiadanya tokoh-tokoh agamawan yang menerajui PH di kedua-dua negeri tersebut. Pada pendapat saya untuk kawasan-kawasan parlimen dan dewan undangan negeri yang mempunyai peratus pengundi Melayu melebehi 65 %, calon-calon PH wajar terdiri daripada golongan agamawan atau pun aktivis-aktivis yang pernah bergiat dalam NGO-NGO Islam. Imej Islam yang pernah mereka bawa pastinya memudahkan untuk PH mendapatkan undi.

Menengahkan calon-calon agamawan sebagai calon-calon PH adalah salah satu petunjuk untuk meyakinkan pengundi-pengundi Melayu Islam bahawa sebenarnya parti-parti dalam PH sememangnya mempunyai ramai golongan agamawan. Agenda memertabatkan agama Islam itu bukan menjadi hak esklusif PAS sahaja. Parti-parti dalam PH juga sebenarnya mempunyai agenda Islam, tetapi strategi dan pendekatannya mungkin berbeda dengan PAS.

Kita mengharapkan calon PH Ustaz Muhamad Zawawi Ahmad Mughni yang juga pengetua Ma’had Tahfis Al Fateh akan dapat memenangi PRK DUN N 49 Sungai Kandis, Selangor pada 4 Ogos 2018 nanti dengan majoriti yang lebih tinggi lagi daripada yang telah diraih oleh Allahyarham Mat Suhaimi Mat Shafie dalam PRU 14 lalu.

Pengundi-pengundi DUN N 49 Sungai Kandis tidak akan rugi apa-apa seandainya mereka meneruskan tradisi rakyat Selangor menyokong Kerajaan PH Negeri Selangor dalam kita bersama-sama membina satu Malaysia Baru dibawah pimpinan Perdana Menteri Malaysia ke 7 ,YAB Tun Dr Mahathir Mohamad.










Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan