KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan perasaan kesal
kerana ideanya untuk mewujudkan kereta nasional ke-2 nampaknya kurang
mendapat sambutan.
Perdana Menteri berkata beliau diberitahu tidak ada siapa yang ingin
lihat kereta nasional ke-2 dibangunkan kerana beranggapan “cukuplah”
dengan Proton yang dikatakan gagal.
Dalam tulisan di blognya, Dr Mahathir secara sinis berkata “kita tidak layak dan tidak mampu mengadakan industri automotif.”
Rakyat Malaysia, katanya, lebih rela membeli kereta import termasuk
dari China selain turut memilih kereta buatan Jepun dan kereta Jerman
bagi yang lebih berkemampuan.
“Saya masih ingat kereta Jepun sejurus selepas perang. Kata pengguna
kalau kita toreh dengan kuku, kita akan lihat tin Milo. Tetapi dari
kereta tin Milo inilah datang aneka model Toyota, Nissan dan Suzuki yang
kita guna sekarang.
“Tentulah ini tidak akan berlaku dengan Malaysia. Kereta kita tetap diperbuat dari tin Milo selama-lamanya,” katanya.
Dr Mahathir menjelaskan kerajaan tidak bercadang membuat kereta nasional ke-2 sebagai industri automotif milik kerajaan.
Beliau menarik perhatian bahawa pihak swasta di negara ini sudah
mampu mereka bentuk, membuat model tanah liat dan model ujian serta
mengeluarkan secara besar-besaran kereta bermotor.
“Tetapi kerana awal-awal lagi kita sudah tolak cadangan kereta
nasional ke-2, maka kita akan halang segala cadangan untuk mengeluar
kereta bermotor oleh swasta. Sudah tentu kerajaan tidak akan ada
industri automotif milik kerajaan,” kata perdana menteri.
Dr Mahathir berkata pasaran negara kini penuh dengan segala jenis
kereta import sama ada yang berkualiti baik atau “jenis tin Milo”.
“Dikeluarkan oleh syarikat gergasi, mereka membolot pasaran kereta
Malaysia sehingga tertimbuslah Proton. Akhirnya Proton dijual kepada
orang asing. Tidak ada kereta nasional lagi. Tidak ada industri
automotif lagi. Pekerja, jurutera, pengurus pun tidak mempunyai kerja
lagi. Segala-galanya merosot.
“Malaysia menjadi negara pengguna, negara penanam padi, pemancing
ikan. Tak mengapalah. Ini yang kita mahu dan ini yang kita dapat.
Lupakanlah sahaja Wawasan 2020,” kata Dr Mahathir.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan