Pulau Pinang mencatatkan jumlah
pelaburan dalam sektor pembuatan kedua tertinggi di Malaysia sebanyak
RM10.8 bilion pada 2017 walaupun berdepan beberapa cabaran semasa kata Ahli Parlimen Tanjong Chow Kon Yeow.
“Pulau Pinang berada di kedudukan
yang sangat memuaskan. Kejayaan ini merupakan hasil komitmen tinggi dan
daya tahan yang ditonjolkan semua pihak dalam memastikan keberlangsungan
dan peningkatan pelaburan negeri itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan titah Agong di Parlimen sebentar tadi.
Bagi mengukuhkan lagi sektor
pelaburan, beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mencadangkan agar
Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) diberi kuasa sebagai
agensi pusat kebangsaan bagi hal-ehwal pelaburan untuk mengelakkan
sebarang pertindihan kuasa dengan agensi lain.
Menurutnya, walaupun sehingga kini
terdapat 32 agensi Persekutuan dan Negeri bagi mempromosi pelaburan atau
memberi insentif kepada pelabur, kebanyakannya mempunyai peranan dan
fungsi bertindih dan perlu dikaji semula.
“Oleh itu, wujud satu cadangan agar MIDA diberi kuasa sebagai agensi pusat kebangsaan bagi hal-ehwal pelaburan,” katanya.
“Saya menyarankan agar MIDA dan
agensi-agensi promosi pelaburan negeri perlu terus meningkatkan
kerjasama untuk meningkatkan promosi pelaburan bagi Malaysia secara
keseluruhannya,” katanya.
Pewujudan MIDA sebagai agensi promosi
pelaburan ‘one-stop’ katanya memainkan peranannya di peringkat pusat
manakala agensi promosi pelaburan negeri memainkan peranan di peringkat
negeri.
“Semua agensi lain perlu mempunyai
peranan dan fungsi yang khusus dan batasan kuasa yang jelas bagi
memastikan kecekapan perkhidmatan bagi mempromosikan pelaburan nasional.
“Polisi-polisi terutama yang
melibatkan insentif haruslah dinilai semula dan ‘repackage’ berdasarkan
‘benchmark’ antarabangsa. Kecekapan dalam mempertimbang dan membuat
keputusan berkaitan cadangan projek dan mesyuarat bersama para pelabur
juga harus diberi perhatian,” ujar beliau.
Dalam masa yang sama beliau
membangkitkan tentang permohonan status MSC Malaysia yangtelah dibekukan
buat sementara waktu bermula 1 Jun 2018.
Perkara ini jelasnya telah menjejaskan beberapa pelabur baru yang dalam proses membuat permohonan bagi mendapatkan status MSC.
“Bagi memudahcara kemasukan pelabur
baru, Kerajaan Persekutuan disaran untuk mengambil langkah mempercepat
kelulusan permohonan status MSC ini,” kata Kon Yeow.
Selain itu, beliau turut menyarankan
agar kerajaan menggiatkan usaha untuk meningkatkan jumlah bakat tenaga
kerja mahir dalam bidang teknikal dan vokasional.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan