Saya sedang memandu pulang ketika
mendapat tahu pemergian seorang pemimpin yang amat dihormati dan begitu
dekat di hati rakyat, Sdr Eddie Ng.
Terkejut, seharian saya cuba
menghadam berita sedih yang mengejutkan ini. Seorang yang begitu baik
dan sentiasa ikhlas bekerja keras demi kebaikkan rakyat yang dipimpin
telah pergi meninggalkan kita semua. Orangnya amat disenangi dan mudah
didekati.
Meskipun saya tidak selalu berpeluang
bekerjasama dan bertemu dengan beliau, tetapi bencana alam banjir besar
di Kelantan pada tahun 2014 telah memberi saya peluang mengenali sosok
yang mulia budi pekertinya ini.
Saya ketika itu menyumbang tenaga
sebagai seorang sukarelawan Dapur Jalanan Kuala Lumpur menemukan saya
dengan Sdr Eddie apabila saya dan kawan-kawan Dapur Jalanan ke Balakong
untuk menguruskan hal bekalan makanan mentah untuk dibawa ke Kelantan.
Sungguh, Sdr Eddie antara wakil
rakyat yang sangat komited membantu mangsa bencana alam banjir di
Kelantan ketika itu. Beliau bersama-sama warga Balakong yang lain
mengumpulkan segala bentuk bantuan, makanan, pakaian dan lain-lain untuk
dikirim buat bekalan mangsa banjir di Kelantan.
Dan kiriman ini bukan hanya sekadar
kiriman, sebaliknya Sdr Eddie sendiri telah turun ke kawasan yang
ditimpa bencana banjir untuk menyerahkan sendiri sumbangan yang
dikumpulkan dan bersama-sama turun padang bermandi lumpur membersihkan
rumah mangsa banjir di Kelantan.
Tanpa keluh kesah dan sungutan penat,
tak cukup tidur, tak apa. Asalkan semua berjalan lancar dan segala
bentuk bantuan sampai ke sana dengan selamat.
Sungguh, ikhlas itu kata orang ibarat
semut hitam yang berjalan di atas batu hitam, di dalam pekat malam.
Tidak nampak, tetapi pasti dapat dirasai. Dan inilah saudara Eddie Ng
yang sentiasa ikhlas berkhidmat untuk rakyat, bukan sahaja yang di bawah
tanggungjawab dan pimpinannya tetapi terhadap semua yang memerlukan,
pasti akan diusahakan sesuatu olehnya.
Sdr Eddie, anda seorang yang berjiwa
murni, sentiasa ikhlas dan disenangi semua tanpa mengira latar belakang.
Terima kasih atas segala jasa dan khidmat bakti yang dicurahkan.
Terima kasih kerana memberi inspirasi
kepada kami semua untuk sentiasa ikhlas dalam perjuangan dan memberi
khidmat terbaik untuk semua. Terima kasih kerana memberi contoh yang
baik dan memberi tunjuk ajar melalui perilaku dan pekerti yang mulia.
Sdr Eddie, berehatlah dengan tenang, telah banyak anda lakukan untuk kami semua.
Berehatlah dengan tenang, khidmat
bakti anda akan sentiasa kami kenang. Berehatlah dengan tenang, kerana
anda telah berusaha keras demi Malaysia yang lebih baik. Berehatlah
dengan tenang, jangan risau, insan semulia anda akan sentiasa dalam
ingatan kami semua.
Berehatlah dengan tenang, meskipun
anda akan dirindui, tetapi semangat juang anda akan sentiasa menemani
kami semua. Biarkanlah malam yang panjang berlalu pergi, tinggalkan
segala kekusutan dunia, berehatlah dengan tenang dan damai selamanya.
Terima kasih Sdr Eddie, semoga damai di sana. Berehatlah dengan tenang, kami pasti akan merindui anda.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan