Sejauh mana kemesraan Pas-BN buahkan hasil?

BAGI pemerhati politik ada perkara yang lebih menarik untuk dilihat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.

Bukan soal siapa menang atau kalah tetapi soal sejauh mana ‘pakatan berbaik’ Pas-BN membuahkan hasil.

Menurut Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff, itu perkara yang paling menarik untuk diperhatikan dalam PRK kali ini.

“Apa yang menarik adalah sejauh mana hasil daripada pakatan mereka berbaik beri kesan kepada pengundi, itu sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, seandainya pakatan berbaik Pas-BN ini membuahkan hasil, dakwanya kedua-dua parti ini membuka lembaran baharu untuk mengadakan kerjasama yang lebih erat.

“Jika berkesan mungkin mereka akan bekerjasama secara rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas misi Pas dalam PRK kali ini yang dilihat senada dengan BN yang mahu melihat PH tewas.

Sinar Harian melaporkan tindakan Pas tidak meletakkan calon pada PRK Sungai Kandis bertujuan memastikan pertandingan satu lawan satu berlangsung.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, ini bagi memastikan undi pembangkang tidak pecah dan PH dapat ditewaskan.

Menurutnya, PH mesti dikalahkan dan ia akan menjadi satu isyarat kepada kerajaan hari ini bahawa rakyat tidak mahu terus dipermain dengan kegagalan mereka menunaikan janji pilihan raya seperti menghapuskan tol, menurunkan harga minyak dan menghapuskan hutang peneroka Felda.

Dalam pada itu ketika ditanya, sama ada pola pengundian kali ini berubah kerana PH dilihat seolah-olah ada beberapa perkara yang dilihat mereka ‘bercakap tidak serupa bikin’, Agus berkata, ia tidak memberi kesan.

“Saya fikir PH akan kekal, meskipun mereka  tak dapat tunai beberapa janji, tapi rakyat selesa dengan kerajaan sekarang tiada perkara yang menyebabkan rakyat perlu ajar PH,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya, tentang kemampuan calon BN Datuk Lokman Noor Adam untuk memenangi PRK kali ini, Agus mendakwa Lokman tiada peluang kali ini.

“Lokman tak perlu buat apa-apa sebab dia dah tahu nak kalah, dia cuma boleh ‘test market’ untuk meneliti beberapa perubahan undi itu sahajalah,” katanya.

Dalam pada itu menyentuh mengenai calon PH Mohd Zawawi Mughni pula, Agus berkata Zawawi miliki cukup pakej untuk mengekalkan kerusi berkenaan ditangan PH.

“Nampak jelas wibawa calon ada pada Zawawi personaliti dia satu (tampak hebat)  beliau tak terpalit dengan rejim dulu,” katanya.

Dalam pada itu menyentuh mengenai calon Bebas pula, Agus berkata, Murti Krishnasamy hanya sebagai ‘kacau daun’ dalam PRK kali ini.

“Beliau boleh pecah undi sikit sahajalah,” katanya.

PRK Sungai Kandis  menyaksikan, pertembungan tiga penjuru antara PH, BN dan Bebas.

Kerusi Dun Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia, pada 2 Julai lalu ekoran kanser limfoma.

Pada PRU14, Mat Shuhaimi memenangi kerusi Dun Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia, Hanafiah Husin (76).
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan